- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 9:02pm

Pembangunan Wilayah Tangani Ketidakseimbangan Sosioekonomi

Must read

Dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), pembangunan wilayah bermatlamat untuk menangani ketidakseimbangan sosioekonomi dan menggalakkan pertumbuhan yang saksama antara wilayah dan negeri serta kawasan bandar dan luar bandar.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke Sebelas (RMK-11), tumpuan telah diberi untuk memperkukuh kerjasama antara negeri serta memoden dan mempelbagaikan asas ekonomi bagi merangsang pertumbuhan merentas wilayah.

Pencapaian sasaran terpilih bagi RMK-11 dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi Wilayah

Kawasan pertumbuhan dan bandar utama telah dimanfaatkan untuk mewujudkan peluang pelaburan dan melonjakkan ekonomi bandar.

Selain itu, platform kerjasama serantau ASEAN, iaitu Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) telah dimanfaatkan untuk memudah cara pembangunan di kawasan sempadan.

Akses dan ketersambungan kepada infrastruktur dan kemudahan asas pula telah ditambah baik untuk menjana lebih banyak aktiviti ekonomi di kawasan kurang membangun.

Namun begitu, ketidaksamaan dan ketidakseimbangan antara negeri, dalam negeri dan wilayah masih wujud dan jurang pembangunan di antara kawasan luar bandar dan bandar pula masih berterusan.

Pencapaian sasaran terpilih bagi RMK-11 dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar

Oleh itu, dalam tempoh RMK-12, usaha akan dipergiatkan untuk mempercepatkan pembangunan yang lebih inklusif bagi negeri dan wilayah serta merapatkan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dan bandar.

Usaha ini termasuk memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi wilayah, membangunkan bandar yang mampan dan mentransformasi kawasan luar bandar bagi merapatkan jurang pembangunan.

Sehubungan itu, Kerajaan akan memberi tumpuan kepada Sarawak dan Sabah dalam penyediaan infrastruktur asas yang akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 kilometer (km) jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo.

Perkara ini dinyatakan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semasa membentangkan usul mengenai RMK-12 (2021-2025) bertemakan Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan di Dewan Rakyat pada 27 September 2021.

Jelas beliau, usaha ini adalah bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang perlahan di Sarawak dan Sabah termasuk juga negeri-negeri di Semenanjung iaitu Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.

Statistik Keluaran Dalam Negeri Kasar Per Kapita Mengikut Wilayah (2015 dan 2020)

Bagi tujuan itu, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan akan diagihkan kepada negeri-negeri tersebut.

Peruntukan ini ditumpukan kepada penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.

Statistik pendapatan penengah bulanan isi rumah (2014 dan 2019)

Seperti yang beliau umumkan semasa sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu, peruntukan berjumlah RM7.7 bilion iaitu RM3.61 bilion untuk Sabah dan RM4.09 bilion untuk Sarawak disediakan bagi pelaksanaan JENDELA sepanjang tempoh RMK-12.

Dengan peruntukan ini, liputan jalur lebar akan dipertingkatkan melalui pembinaan infrastruktur digital termasuk pembinaan menara atau pemancar telekomunikasi dan sehingga Ogos 2021, sebanyak 2,645 infrastruktur digital siap dipasang di Sabah dan 2,117 di Sarawak.

Bagi menambah baik bekalan elektrik, loji janakuasa baharu akan dibina dan talian penghantaran Grid Timur-Barat Sabah akan dinaik taraf sementara projek pembinaan hidroelektrik Baleh di Sarawak dijangka siap pada tahun 2025.

Bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan, ia akan dapat dipertingkatkan dengan siapnya Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak.

Manakala, pembinaan 26 buah klinik baharu akan dapat menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di klinik desa di kedua-dua negeri.

Selain itu, pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah akan memberi manfaat kepada 26 ribu isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak.

Bagi menjamin keselamatan dan meningkatkan hubungan ekonomi dengan Kalimantan, Indonesia, pos kawalan sempadan yang baharu di Manalunan, Simanggaris dan Kalabakan, Sabah akan dibina.

Sementara itu, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu dan Serikin, Sarawak akan dinaik taraf.

Selain itu, Projek Jalan dari Sempadan Ba’kelalan/Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) menghala ke Lawas akan dimulakan pembinaan pada tahun 2022.

Dengan pelaksanaan strategi dan inisiatif untuk melonjakkan Sabah dan Sarawak ini, pertumbuhan purata KDNK tahunan negeri Sabah dijangka meningkat pada kadar 6.5 peratus dan negeri Sarawak pada kadar 5.3 peratus dalam tempoh 2021 hingga 2025.

Perdana Menteri yakin bahawa Sarawak dan Sabah mempunyai keupayaan dan kekuatan sumber yang boleh dioptimumkan sepenuhnya dan dengan itu, pertumbuhan sebenar boleh menjadi lebih tinggi daripada jangkaan ini.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article