- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 8:43pm

Liputan Bekalan Air Setakat Suku Kedua 2022 Mencapai 83.7%

Must read

Liputan bekalan air secara keseluruhan di Sarawak telah meningkat daripada 81.1% kepada 83.7% setakat suku kedua tahun 2022.

Peratusan tersebut merangkumi kawasan luar bandar dan kawasan bandar, iaitu peningkatan daripada 61.9% pada 2018 kepada 67.2% di luar bandar manakala di kawasan bandar pula telah mencapai 99%.

Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, YB Datuk Haji Julaihi bin Haji Narawi menjelaskan, pelaksanaan pembangunan bekalan air adalah berdasarkan pada Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.

Pelan induk berkenaan merupakan pendekatan menyeluruh Kementerian Utiliti dan Komunikasi untuk pembangunan mampan kemudahan air mentah dan terawat di Sarawak yang merangkumi pelan hala tuju jangka masa pendek sehingga tahun 2025, jangka masa sederhana sehingga 2040 dan jangka masa panjang sehingga 2070.

Pembangunan bekalan air di Sarawak dilaksanakan berdasarkan pada Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak

Objektif pelan induk tersebut adalah untuk membangunkan sistem grid air yang merangkumi pembangunan sumber air mentah, perawatan dan pengagihan air yang akan menghubungkan semua loji utama yang merentasi seluruh Sarawak dan membentuk grid air yang berterusan.

Datuk Haji Julaihi memaklumkan perkembangan tersebut dalam ucapan penggulungan beliau semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November lepas.

Dalam pelan jangka masa pendek, Sarawak Water Supply Grid Programme for Stressed Areas merupakan program yang dilaksanakan selaras dengan pelaksanaan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Sarawak yang bertujuan untuk menangani dengan segera masalah bekalan air yang serius, terutama di kawasan luar bandar.

Kementerian Utiliti dan Komunikasi Sarawak akan terus melaksanakan program SAWAS sebagai alternatif untuk memastikan penduduk luar bandar mendapat bekalan air bersih (Foto JBALB)

Program tersebut merangkumi pelaksanaan beberapa projek yang dikenal pasti di bawah Program Grid Bekalan Air Sarawak, program Sarawak Alternative Water Supply (SAWAS), Pengurusan Kadar Air Tidak Terhasil (NRW), Pendigitalan Sistem Bekalan Air dan kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air sedia ada.

Menurut Datuk Haji Julaihi, program-program tersebut dilaksanakan menggunakan dana alternatif yang diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak dengan jumlah RM4 bilion yang melibatkan 298 projek bekalan air (Termasuk program SAWAS) di seluruh Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar yang menghadapi masalah bekalan air yang serius.

Biarpun berdepan pandemik COVID-19, sebanyak 220 projek daripada keseluruhan 298 buah projek ataupun bersamaan dengan 74% telah berjaya disiapkan, jelas beliau.

Sementara itu, 69 buah projek sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan sembilan (9) buah projek lagi dalam peringkat penyerahan tender dan dijangka bermula pada tahun 2023.

Pihak kementerian yakin bahawa pelaksanaan kesemua projek berkenaan akan dapat menambah baik bekalan air di luar bandar.

Bagi mencapai liputan penuh bekalan air bersih, selamat dan berterusan selaras dengan sasaran Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, pihak kementerian memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM19.2 bilion untuk memastikan sasaran tersebut dapat dicapai.

Command Centre JBALB diwujudkan bagi memudahkan pemantauan infrastruktur bekalan air serta sistem rangkaian air secara dalam talian

Oleh yang demikian, beberapa projek utama dan kritikal yang perlu dilaksanakan segera telah dikenal pasti.

Projek-projek tersebut adalah projek Sistem Bekalan Air Baharu Landeh, Kuching, Naik Taraf Loji Rawatan Air Salim Fasa 3, Sibu, Loji Rawatan Air Baharu Beluru, Miri, Loji Rawatan Air Baharu Engkilili, Sistem Bekalan Air Wilayah Mukah, Sistem Sumber Air Mentah Nyabau, Bintulu, Loji Rawatan Air Baharu Kanowit, Loji Rawatan Air Baharu Lawas, Loji Rawatan Air Baharu Kapit, Naik Taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong, Saratok dan Loji Rawatan Air Baharu Song.

Pada masa yang sama, kementerian akan meneruskan program SAWAS bagi memastikan penduduk di kawasan terpencil menerima bekalan air bersih dan selamat.

Setakat ini, sebanyak lima (5) pakej SAWAS Fasa 1 bernilai RM50 juta yang memberi manfaat kepada 594 isi rumah telah siap dijalankan.

Bagi pelaksanaan Fasa 2 SAWAS dengan kos bernilai RM135 juta, 13 pakej daripada 22 pakej keseluruhan telah pun siap dan seramai 1,548 isi rumah yang telah mendapat manfaat.

Antara inisiatif lain yang telah dilaksanakan kementerian juga termasuklah pengurusan pengurangan kadar air tidak terhasil (NRW).

Salah sebuah kawasan luar bandar yang menerima bekalan air di bawah program SAWAS (Foto JBALB)

Sehingga Disember 2021, purata NRW di seluruh Sarawak berjaya dikurangkan kepada 45% berbanding dengan 46% pada 2020.

Datuk Haji Julaihi mengakui bahawa pihak kementerian berdepan cabaran dalam mengurangkan kadar NRW yang disasarkan pada 25% menjelang tahun 2030.

Sehubungan dengan itu, kementerian beliau melalui semua agensi bekalan air telah menjalankan program Pengurusan Pengurangan NRW secara menyeluruh.

Langkah-langkah yang telah diambil ialah seperti menggantikan paip dan meter lama yang tidak berfungsi, memantau dan mengawal kebocoran sistem bekalan air, melaksanakan Sistem Maklumat Geografikal (GIS), pembentukan dan pemantauan melalui District Meeting Areas (DMAs) serta pengurusan tekanan air.

Selain itu, pihak kementerian juga telah memperkenalkan inisiatif pendigitalan sistem bekalan air yang merangkumi perkhidmatan seperti pembayaran bil air, permohonan meter air, permohonan dan pembaharuan lesen jurugegas paip, penyambungan paip dan sijil produk bekalan air secara dalam talian melalui e-Utilities, iWater dan Service Sarawak.

Satu (1) lagi inisiatif ialah pewujudan Command Centre Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) yang memudahkan pemantauan infrastruktur bekalan air serta sistem rangkaian air secara dalam talian.

Program pemasangan meter pintar juga telah dilaksanakan. Setakat ini, sebanyak 36,500 unit meter pintar sudah siap dipasang di Bahagian Kuching seperti di Samariang sebanyak 5,000 unit, Darul Hana 500 unit dan di Bau 3,000 unit.

Di Bahagian Serian, sebanyak 16,000 unit meter pintar telah dipasang dan 12,000 unit meter telah dipasang di Bahagian Samarahan.

Program pemasangan meter pintar akan diteruskan sehingga menjangkau kesemua pengguna di seluruh Sarawak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article