- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 8:54pm

SCS Perlu Bergerak Pantas Seiring Perubahan Semasa

Must read

Program High Performance Team (HPT) Retreat adalah satu inisiatif yang menghimpunkan semua ketua jabatan dan pegawai kanan bagi membincangkan idea dan menambah baik Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak atau disebut sebagai SCS (Sarawak Civil Service).

HPT Retreat telah diadakan sejak 2011 dan kali terakhir diadakan pada 2019 di Port Dickson. Selepas kali terakhir HPT Retreat diadakan telah menyaksikan pelbagai cabaran dihadapi masyarakat dunia seperti pandemik COVID-19 dan peperangan di antara Ukraine dan Russia yang mendatangkan kesan dan perubahan terhadap ekonomi dan sosial.

Pada tahun ini, HPT Retreat 2022 yang merupakan penganjuran kesepuluh, bermula dari 14 hingga 17 Disember di Langkawi International Convention Centre dengan membawa tema ‘Revisit, Rethink and Recharge’.

Tema tersebut dipilih bersesuaian dengan keadaan semasa selepas dunia berdepan COVID-19 sejak dua (2) tahun lepas.

Menyedari perubahan gaya hidup dan kesan terhadap ekonomi yang dialami disebabkan oleh cabaran-cabaran yang didepani di seluruh dunia, jentera SCS perlu melihat kembali keputusan-keputusan yang telah dibuat dalam HPT Retreat sejak lebih 10 tahun yang lalu.

Perkara tersebut ditekankan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki sebagai memulakan ucapan amanat beliau sebelum beliau membentangkan hasil perbincangan HPT Retreat 2022 kepada Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki menyampaikan ucapan amanat dan pembentangan hasil HPT Retreat 2022 kepada Premier Sarawak

Beliau menjelaskan, pada masa yang sama, anggota perkhidmatan awam negeri perlu mengetahui sejauh mana pencapaian SCS berdasarkan pada keputusan yang telah dibuat sejak 10 tahun lepas.

Bertitik tolak dari situ, SCS juga perlu mengenal pasti isu dan cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha mencapai objektif seperti yang telah ditetapkan dalam tempoh tersebut.

Seiring dengan perubahan semasa dan peralihan kepimpinan politik yang melibatkan polisi dan perubahan landskap ekonomi, SCS perlu ‘revisit’ untuk menambah pelan tindakan sokongan baharu bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Menurut Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar, Sarawak bertuah kerana mempunyai pemimpin seperti Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari yang berwawasan dan inovatif serta telah memperkenalkan begitu banyak idea baharu dan inovatif.

“Sebagai penjawat awam, saya bangga menjadi sebahagian daripada pasukan yang bekerja keras untuk merealisasikan visi Premier Sarawak.”

“Teladan dan komitmen beliau yang tidak berbelah bahagi untuk kepentingan terbaik Sarawak dan rakyat telah memberikan inspirasi,” ujar beliau.

Idea-idea inovatif bagi mengukuhkan ekonomi Sarawak agar berdaya tahan pada masa depan seperti inisiatif ekonomi digital, green economy dan blue economy, pembangunan hidrogen dan sebagainya telah membuka mata supaya jentera perkhidmatan awam negeri seiring dan sejalan dengan kepimpinan Premier Sarawak.

Pembangunan dan pengurusan bakat dalam perkhidmatan awam negeri seiring perubahan semasa merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam HPT Retreat 2022

Oleh yang demikian, SCS perlu bergerak pantas dan ‘recharge’. Sebagai ketua dalam perkhidmatan awam negeri, Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar menyatakan kesungguhan untuk memastikan SCS bergerak sepantas kepimpinan Premier Sarawak agar idea-idea beliau dapat diterjemahkan ke dalam tindakan untuk mencapai hasil yang diharapkan.

“Inilah peluang bagi kami anggota perkhidmatan awam untuk meningkatkan kapasiti dalam menyampaikan perkhidmatan secara cekap dan berkesan,” tambah beliau.

Situasi ekonomi yang pantas berubah juga menuntut SCS supaya bergerak seiring dengan ekspektasi rakyat yang semakin meningkat.

Oleh sebab itulah SCS perlu mengkaji semula semua perkara-perkara yang boleh menjadi penyebab kepada kegagalan atau kelewatan sesuatu inisiatif yang telah dirancang sejak 10 tahun lepas.

Permasalahan dan isu-isu yang boleh menghalang matlamat untuk dicapai seperti yang ditetapkan perlu dikenal pasti, diambil perhatian seterusnya disusuli dengan tindakan yang terbaik demi kebaikan rakyat. Perkara yang melibatkan prosedur dan Ordinan yang perlu dipinda juga diberi perhatian.

SCS perlu bergerak pantas selari dengan peralihan ke arah ekonomi digital yang merupakan inisiatif utama Premier Sarawak dalam usaha mencapai aspirasi Sarawak maju

Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar juga menyatakan kesediaan SCS untuk menggiatkan sesi keterlibatan dan mendapatkan lebih banyak maklumat daripada pemegang taruh, menteri-menteri kabinet serta rakyat bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai ekspektasi dan cadangan bagi tujuan penambahbaikan.

Melalui maklum balas yang diterima, SCS dapat merangka penyelesaian yang boleh menjadikan sistem penyampaian perkhidmatan awam lebih cekap dan memenuhi ekspektasi semua pihak.

Dalam masa yang sama, SCS akan memastikan teknologi digital dimanfaatkan apabila terdapat keperluan bagi mengurangkan birokrasi di samping menyediakan akses digital yang memudahkan pengguna.

Bagi melaksanakan tindakan, (recharge) SCS perlu bergerak pantas seiring kepimpinan negeri dalam menyampaikan perkhidmatan bagi menyokong aspirasi Sarawak maju.

Dalam hal ini, tindakan yang akan diambil ialah menyusun semula dan melaksanakan penstrukturan semula SCS, terutama di peringkat pengurusan tertinggi dan profesional selain membuka peluang kepada gaya kepimpinan baharu bagi mendapatkan perspektif berbeza dalam usaha menggerakkan lebih banyak idea inovatif untuk menyelesaikan masalah.

Penekanan akan tertumpu pada pengasuhan dan pembangunan kepimpinan dalam SCS serta membuka lebih banyak peluang kepada pegawai-pegawai muda sebagai persediaan menjadi pemimpin pada masa akan datang.

Beliau turut menyatakan keterujaan pemimpin dan pegawai muda dalam SCS untuk menampilkan idea-idea inovatif dalam bidang pengurusan dan penyampaian perkhidmatan yang cekap kepada pemegang taruh.

Tumpuan juga diberikan kepada pengemaskinian pengetahuan dan kemahiran penjawat awam melalui pembelajaran berterusan dan peningkatan kemahiran yang dapat memenuhi ekspektasi rakyat dan pemimpin dalam pentadbiran negeri.

Antara lain, kesejahteraan dan kebajikan penjawat awam SCS, terutama dari aspek pembangunan kerjaya akan diberi lebih penekanan selain hal-hal berkaitan pengiktirafan atas sumbangan yang telah diberikan, faedah seperti kemudahan perumahan yang lebih baik kepada mereka yang berkhidmat di luar bandar, akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik serta pembangunan kemahiran dan pengetahuan yang berterusan.

Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar mahu penjawat awam SCS berasa bangga sebagai satu pasukan dan seterusnya dapat menyumbang dalam menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

Oleh sebab itulah menurut beliau, HPT Retreat yang diadakan kali ini telah memberi penekanan terhadap pelbagai inisiatif dan cadangan yang telah dibincangkan dalam kesemua siri HPT Retreat yang lalu.

Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar (enam, kiri) bersama ketua-ketua jabatan yang lain menyambut ketibaan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari ke program HPT Retreat 2022

Secara keseluruhan, sebanyak 151 cadangan telah dikemukakan, namun hanya sebahagian daripadanya dibentangkan di hadapan Premier Sarawak.

Sebanyak lapan (8) buah kumpulan dibentuk daripada seramai 210 orang peserta mengemukakan hasil perbincangan yang telah diperhalus sepanjang HPT Retreat 2022 diadakan.

Perkara-perkara yang dibentangkan merangkumi inisiatif penambahbaikan berkaitan pembangunan dan pengurusan bakat, penguatkuasaan dan keselamatan, transformasi luar bandar, ekonomi digital, perekayasaan pendapatan untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, pembangunan bakat tempatan dan pekerja asing dan transformasi Pejabat Residen Bahagian dan Pejabat Daerah.

Sesi bergambar bersama para peserta bersama Premier Sarawak pada hari terakhir HPT Retreat yang diadakan di Langkawi International Convention Centre
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article