- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 8:07pm

10 Projek Infrastruktur Kawasan URDA Siap Sepenuhnya

Must read

Ordinan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) yang telah diluluskan pada 2006 (Bab 64) mulai berkuat kuasa pada 1 Ogos 2008 untuk menerajui pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Tugas utama RECODA adalah untuk merancang, menyelaras dan mengurus pelaksanaan Pelan Pembangunan SCORE, justeru RECODA memainkan peranan penting dalam mempromosi, menarik dan memudahkan pelaburan ke kawasan SCORE.

Sarawak terletak di kawasan yang strategik di Wilayah Asia Tenggara dengan mempunyai kawasan yang besar seluas 124,449.51 KM2 persegi, di mana 100,000 KM2 (80%) merupakan kawasan SCORE.

Bagi mempercepatkan pembangunan SCORE, (3) tiga agensi di bawah RECODA telah dibentuk pada 2017 dan salah satunya adalah Agensi Pembangunan Ulu Rajang atau Upper Rajang Development Agency (URDA) yang meliputi kawasan seluas 41,186.5 KM2.

Penubuhan URDA antara pendekatan strategik Kerajaan Sarawak ke arah memperkasakan usaha pembangunan di kawasan pedalaman serta luar bandar di Sarawak dan ia kini menjadi fokus RECODA dalam merancang pelan pembangunan yang mampu membawa limpahan kemajuan dan impak ekonomi ke kawasan berkaitan.

Peruntukan yang telah diagihkan untuk Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) ditumpukan untuk melaksanakan projek infrastruktur dan projek bekalan air di mana URDA mempunyai 43 projek infrastruktur berimpak tinggi termasuk kemudahan, pelan induk dan bangunan untuk dilaksanakan.

Kawasan URDA kebanyakannya terletak di kawasan pedalaman, maka salah satu daripada cara URDA untuk membangunkan kawasan-kawasan tersebut adalah dengan membina infrastruktur asas.

Kesemua projek yang dilaksanakan di kawasan URDA tidak kira projek jalan, jambatan, bekalan air dan sebagainya dijangka akan membawa impak yang sangat besar bukan sahaja terhadap kemajuan di kawasan tersebut tetapi juga terhadap komuniti yang tinggal di kawasan tersebut.

Pada 1 Februari 2023 (Rabu) yang lalu, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pembangunan Negeri di Kompleks Kerajaan Negeri di Jalan Bletih, Kapit.

Sekitar lawatan YAB Premier Sarawak ke Kapit bersempena Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pembangunan Negeri di Kompleks Kerajaan Negeri di Jalan Bletih, Kapit (Sumber gambar: laman sosial Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi)

Dalam mesyuarat tersebut, beliau telah mendengar taklimat berkenaan status terkini 43 projek pembangunan infrastruktur yang telah dilaksanakan oleh URDA.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Haji Ismawi Bin Haji Ismuni, 43 projek yang diselia oleh URDA kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan di mana sebuah (1) projek dalam peringkat reka bentuk terperinci, empat (4) dalam proses mewujudkan dokumen tender dan 28 sedang dilaksanakan.

Sekitar lawatan YAB Premier Sarawak ke Kapit bersempena Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pembangunan Negeri di Kompleks Kerajaan Negeri di Jalan Bletih, Kapit (Sumber gambar: laman sosial Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi)

Projek-projek tersebut termasuklah pelbagai infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan serta bekalan air dan setakat ini, sebanyak 10 projek telah berjaya disiapkan.

43 projek infrastruktur ini termasuklah projek jalan, projek bekalan air, kemudahan-kemudahan asas dan sebagainya yang dijangka akan membuka jalan kepada pembangunan sosioekonomi terutama dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan ke dalam kawasan URDA dalam semua sektor ekonomi.

URDA telah ditubuhkan pada 2017 dan telah menerima peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi melaksanakan projek-projek pembangunan yang sesuai untuk kawasan URDA.

Inisiatif ini bertujuan untuk menambah baik infrastruktur di kawasan luar bandar dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan dalam komuniti ini.

Semasa mesyuarat lembaga pengarah URDA tahun ini (2023), sembilan (9) jawatankuasa kecil telah diwujudkan, setiap satu diketuai oleh wakil rakyat dari rantau ini.

Jawatankuasa kecil ini akan menangani cabaran dan isu untuk mempercepatkan pembangunan sosial ekonomi di kawasan tersebut.

Antara lain agenda mesyuarat diadakan menyentuh mengenai prestasi pelaksanaan projek khususnya di Bahagian Kapit yang disampaikan oleh URDA, Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan serta Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Premier Sarawak memaklumkan bahawa, dalam tempoh tiga (3) tahun ini, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana sebanyak RM400 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Bahagian Kapit yang merangkumi projek di bawah URDA, projek rakyat dan projek-projek kecil.

Menurut beliau lagi, Bahagian Kapit semakin pesat membangun kini dengan beberapa projek-projek pembangunan yang dilaksanakan berjalan dengan lancar walaupun ada di antara projek tersebut mengalami kelewatan yang disebabkan masalah logistik.

Menurut Premier Sarawak, terdapat kontraktor pelaksana yang berdepan dengan masalah membawa masuk bahan pembinaan ke tapak projek.

Dalam mengatasi masalah logistik tersebut, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak akan mencari alternatif lain bagi menyelesaikan isu tersebut.

Buat masa ini, satu-satunya alternatif yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah ini ialah membawa masuk bahan binaan melalui sungai.

Bukan saja bahan-bahan binaan yang akan dibawa, malah ia sekali gus akan dapat mengurangkan kos logistik selain daripada hanya menggunakan darat untuk penghantaran bahan binaan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pembangunan Negeri di Kompleks Kerajaan Negeri tersebut.

Premier Sarawak mengadakan lawatan ke tapak Projek Pembinaan Bangunan Pejabat URDA di Kapit (Sumber gambar: laman sosial Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi)
Sekitar lawatan YAB Premier Sarawak ke tapak projek Pembinaan Bangunan Pejabat URDA di Kapit (Sumber gambar: laman sosial Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi)

Dalam pada itu, Premier Sarawak berkata, bandar Kapit akan mengalami perubahan landskap pembangunan dengan pelaksanaan projek pembesaran bandar Kapit.

Beliau memaklumkan bahawa pelan induk untuk pembesaran bandar Kapit itu sebenarnya sudah ada dan projek itu akan merangkumi pembangunan termasuk pusat komersial, perumahan dan jalan-jalan asas yang akan menghubungkan bandar lama terus ke jalan utama ke Sibu.

Pelan induk Kapit melibatkan pembaharuan bandar dan pembesaran perbandaran baharu akan memanfaatkan Sarawak khususnya bahagian tersebut kerana terletak di sempadan negeri berhampiran ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan Timur.

Sementara itu, RECODA telah membangunkan pelan induk khusus untuk membangunkan Kapit, Bakun dan Belaga di bawah URDA bagi merangsang potensi pertumbuhan dan menarik lebih banyak pelaburan di wilayah tengah itu.

Sidang media bersama Premier Sarawak selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pembangunan Negeri di Kompleks Kerajaan Negeri (Sumber gambar: laman sosial Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi)

Selepas sidang media berkenaan, Premier Sarawak mengadakan lawatan ke tapak Projek Pembinaan Bangunan Pejabat URDA di Kapit.

Fasa pertama pembinaannya baru-baru ini telah disiapkan yang melibatkan penukaran dan pengubahsuaian empat rumah kedai sublot, yang diperoleh pada Julai 2020, menjadi sebuah bangunan berfungsi tunggal.

Fasa kedua akan merangkumi kerja reka bentuk dalaman, kerja mekanikal dan elektrikal (M&E) serta pemasangan perabot longgar dan bangunan itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun ini.

Ketika di Kapit, Premier Sarawak juga telah berkesempatan meluangkan masa menyampaikan cek bantuan dana sekolah mubaligh di bahagian Kapit bagi tahun 2022 daripada Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM944,800 dan menyampaikan sijil pelantikan baharu ketua masyarakat di Bahagian Kapit.

Merakam gambar kenangan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pembangunan Negeri di Kompleks Kerajaan Negeri di Jalan Bletih, Kapit (Sumber gambar: laman sosial – Facebook URDA)
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article