- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 7:11pm

RUU Ombudsman Sarawak Diluluskan

Must read

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Ombudsman Sarawak 2023 selepas dibaca kali ketiga.

Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan membentangkan RUU tersebut dan dibahas oleh seramai 22 ahli DUN pada hari pertama persidangan yang telah berlangsung pada 20 November 2023.

Beliau memaklumkan, undang-undang tersebut akan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti agensi kerajaan dengan membenarkan orang awam melaporkan penyelewengan atau salah laku dalam perkhidmatan awam kepada ombudsman.

Ombudsman akan memastikan adanya elemen semak dan imbang bagi membolehkan kerajaan menambah baik prosedur dan sistem penyampaian perkhidmatan awam, seterusnya meningkatkan kepercayaan orang ramai.

Datuk Amar Haji Awang Tengah membentangkan RUU Ombudsman Sarawak pada hari pertama Persidangan DUN Sarawak pada 20 November 2023

Pada masa yang sama, ombudsman juga akan memastikan keadilan, ketelusan dan akauntabiliti penyampaian perkhidmatan kerajaan yang penting untuk Sarawak menuju status maju menjelang 2030.

Menurut beliau, Kerajaan Sarawak memperkenalkan undang-undang ombudsman berdasarkan pada peruntukan dalam Perkara 7, Senarai II (Senarai Negeri) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk menggubal hal-hal berkaitan dengan jentera Kerajaan Negeri, khusus untuk perkhidmatan negeri.

Datuk Amar Haji Awang Tengah yang merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan menjelaskan, objektif utama ombudsman adalah untuk meningkatkan standard akauntabiliti pentadbiran awam di samping menyediakan langkah-langkah terhadap penyelewengan oleh agensi perkhidmatan awam negeri.

Dari segi struktur, Ombudsman Sarawak akan diketuai oleh Ketua Ombudsman, Timbalan Ketua Ombudsman serta tiga (3) hingga lima (5) ombudsman (pegawai) lain yang memiliki kepakaran dan pengalaman yang relevan dan berkaitan.

Yang di-Pertua Negeri berkuasa melantik ombudsman yang akan mengangkat sumpah jawatan untuk tempoh maksimum tiga (3) tahun yang juga berkemungkinan akan dilantik semula.

Di bawah peruntukan undang-undang berkenaan, Ombudsman Sarawak mempunyai kuasa untuk menerima, menyiasat dan menyelesaikan aduan termasuk menolak sebarang aduan yang dirasakan tidak berasas atau remeh, mengesyorkan tindakan pembetulan atau pencegahan yang perlu diambil oleh agensi Kerajaan Negeri, memantau pelaksanaan syor yang dibuat oleh ombudsman serta menyedia dan menerbitkan laporan berkaitan penyelewengan.

Selain itu, ombudsman juga mempunyai kuasa untuk mengarahkan pemeriksaan bahan yang boleh membantu siasatan, membuat penemuan fakta berdasarkan bukti dalam siasatan, memasuki dan memeriksa lokasi yang telah dibuat aduan dan perkara-perkara lain berkaitan dengan pelaksanaan kuasa ombudsman yang boleh diambil tindakan.

Datuk Amar Haji Awang Tengah menerangkan, RUU Ombudsman Sarawak melambangkan hala tuju strategik Sarawak ke arah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030 seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Jelas beliau, tadbir urus yang berintegriti tinggi, baik, cekap dan komited akan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk menarik pelaburan serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan sangat penting untuk Sarawak mencapai status maju.

Ombudsman adalah konsep yang diiktiraf dan diterima pakai oleh kebanyakan negara demokrasi di seluruh dunia dengan 115 daripada 195 negara mempunyai institusi ombudsman.

Ombudsman memainkan peranan penting dalam memastikan suara rakyat didengari dan kerajaan beroperasi demi kepentingan terbaik rakyat.

Sweden adalah negara contoh terbaik berdasarkan peranan perintisnya dalam mewujudkan sistem ombudsman sejak 214 tahun lalu, iaitu bermula pada tahun 1809 oleh King Charles XII.

Sejak itu, keyakinan terhadap sistem pentadbiran negara tersebut dapat ditingkatkan dengan menjunjung prinsip akauntabiliti awam dan tadbir urus yang baik.

Oleh sebab itulah menurut beliau, Sweden dijadikan sebagai suri teladan untuk Sarawak menubuhkan Ombudsman Sarawak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article