- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 8:54pm

Pertanian Berasas Teknologi Untuk Makanan Masa Depan

Must read

Usaha Sarawak membangunkan sektor pertanian berasaskan teknologi moden adalah satu inisiatif terbaik untuk meningkatkan pengeluaran, produktiviti dan kecekapan bagi memberi nilai tambah yang tinggi kepada agromakanan sekaligus untuk menjamin makanan masa depan di negeri ini.

Langkah ini juga dilihat mampu menjadikan Sarawak sebagai pengeksport produk pertanian yang berkualiti tinggi, justeru ia patut disokong dan diberi perhatian serius oleh rakyat dan semua pihak yang bertanggungjawab.

Secara dasarnya, implementasi teknologi pertanian moden seperti teknologi maklumat, Internet of Things (IOT) dan Kecerdasan Buatan (AI) telah mendapat momentum di Sarawak.

Konsep pertanian pintar yang menggabungkan gajet dengan teknologi AI

Penggunaan teknologi ini dalam pertanian boleh membantu meningkatkan kecekapan pengeluaran, mencapai hasil yang lebih tinggi, dan memastikan keselamatan makanan dan pada masa yang sama, ia juga dapat menarik lebih ramai generasi muda untuk terlibat dalam aktiviti pertanian.

Walau bagaimanapun, kadar penerimaan teknologi pertanian moden di kalangan komuniti pertanian di Sarawak masih sangat rendah disebabkan oleh kos pelaburan yang lebih tinggi, kekurangan kemahiran dan juga pengetahuan.

Salah satu contoh teknologi pertanian jitu yang digunakan di Sarawak ketika ini adalah pemberi makan pintar dan roda paddle pintar dalam penternakan udang.

Pertanian lestari berkonsepkan pertanian mapan yang tidak mencemarkan alam sekitar

Difahamkan bahawa sistem ini telah berjaya dilaksanakan oleh sebuah syarikat swasta di ladang udang mereka di Luba Stoh, Santubong, Telaga Ai dan Sambir sejak 2019 malah telah menghasilkan produk berkualiti serta peningkatan pengeluaran lebih daripada 50 peratus berbanding kaedah konvensional.

Sistem tersebut juga turut dilaksanakan oleh 20 penternak ikan tilapia di Batang Ai sebagai projek perintis melalui kerjasama antara sebuah syarikat swasta dan Pertubuhan Penternak Sarawak.

Pelaksanaan sistem ini bertujuan bagi meningkatkan pendapatan bulanan penternak kepada sekurang-kurangnya RM6,000 sebulan daripada sekitar RM1,000 pada masa kini.

Dalam pada itu, M-FICORD telah mengambil pelbagai inisiatif untuk mempromosikan penggunaan teknologi pertanian moden di Sarawak.

Kecerdasan Buatan (AI) telah merevolusi serta membawa kemajuan terhadap industri pertanian (Foto: https://lp2m.uma.ac.id/2023/03/20/revolusi-pertanian-bagaimana-ai-mengubah-industri-pertanian/)

Antara inisiatif yang diambil termasuk;

  1. Penyediaan latihan dan pengembangan dalam pertanian moden;
  2. Pembangunan Taman Pertanian Jitu dan Taman Agroteknologi Sarawak (SARTECH);
  3. Kerjasama dengan sektor swasta dan institusi untuk membangunkan teknologi pertanian pintar;
  4. Menyediakan sokongan kewangan seperti geran dan pinjaman

Dalam hal ini, tumpuan telah diberikan kepada pengeluaran agro makanan dengan berteraskan teknologi pertanian terkini.

Pada masa yang sama, aspek keselamatan dan kualiti hasil tanaman turut diberi penekanan bagi menghasilkan produk yang berkualiti, berkhasiat dan bernilai tinggi.

M-FICORD juga turut menggalakkan amalan pertanian lestari kerana ia merupakan satu konsep pertanian mapan yang tidak mencemarkan alam sekitar.

Amalan pertanian lestari berfungsi untuk mengurangkan penggunaan baja sintetik dan racun perosak, mengurangkan kemerosotan tanah, dan menambah proses penjujukan karbon dioksida dalam tanah.

Antara kelebihan produk pertanian lestari adalah, ianya selamat dimakan, mengurangkan pencemaran alam sekitar selain menstabilkan pendapatan petani.

Kaedah tanaman secara fertigasi memberi hasil yang berkualiti tinggi serta bersih dan mesra alam

Sebelum ini, Menteri M-FICORD, YB Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dalam satu kenyataan ada menyatakan bahawa kementeriannya telah mengambil langkah-langkah perlu bagi membangunkan ekosistem pertanian yang lebih berdaya tahan.

Antara inisiatif yang diambil M-FICORD katanya ialah mengutamakan sekuriti makanan dengan membangunkan industri padi dan beras, meningkatkan keluaran daging lembu dan produk tenusu serta memperbanyakkan lagi program pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Selain itu katanya, Sarawak akan memperluaskan program pembangunan pertanian pintar dalam usaha meningkatkan pengeluaran, produktiviti dan kecekapan bagi memberi nilai tambah yang tinggi kepada agromakanan.

Konsep pertanian pintar ini menitik berat penggunaan teknologi dan peralatan pertanian moden seperti jentera automasi dan IoT iaitu elemen penting meningkatkan pengeluaran dan produktiviti tanaman.

Jika kita lihat pada masa kini, konsep pertanian pintar yang menggabungkan gajet berteknologi tinggi dan AI untuk tanaman semakin mendapat tempat dalam kalangan petani muda di seluruh dunia.

Teknologi dron merevolusi sektor pertanian demi kelestarian sumber makanan negara

Hal ini kerana, penanaman pintar menjimatkan masa dan wang dengan bantuan penderia dan AI yang berupaya menganalisis data bagi mengekalkan persekitaran pertanian optimum dan hasil yang baik.

Teknik pertanian pintar ialah konsep baharu yang merujuk kepada pengurusan ladang menggunakan teknologi seperti IoT, robotik, dron dan AI untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti produk sambil mengoptimumkan tenaga manusia.

Selain itu, teknik pertanian pintar turut mengurangkan sisa, meningkatkan produktiviti dan membolehkan banyak pengurusan sumber dibuat melalui penderiaan jauh. Jelas bahawa, sistem pertanian pintar, penggunaan mekanisasi dan automasi serta aplikasi IoT mendatangkan banyak kebaikan kerana ia bukan saja mampu menarik minat petani daripada golongan anak muda, malah berjaya meningkatkan produktiviti pengeluaran serta menjamin makanan di masa hadapan dengan adanya pengurusan yang cekap.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article