- Advertisement -
4,994
published news
and counting

Merevolusi Sistem Kerajaan Digital

Must read

Hari ini, aplikasi digital kerajaan semakin berkembang, menggabungkan kemajuan data besar dan kecerdasan buatan (AI) sebagai langkah utama merevolusi sistem kerajaan digital atau e-kerajaan.

Perkembangan ini memperkemaskan lagi cara kerajaan berinteraksi dengan rakyat, lantas meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam supaya mudah diakses, lebih cekap dan telus di samping dapat meningkatkan penyertaan rakyat dalam tadbir urus kerajaan.

Perkhidmatan Awam Malaysia di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan tidak terkecuali dalam evolusi digital menerusi pembangunan aplikasi digital rasmi kerajaan.

Dalam sektor perkhidmatan awam, rakyat mempunyai pelbagai urusan dan tujuan menggunakan aplikasi digital kerajaan sama ada untuk mencari maklumat, mendapatkan perkhidmatan mahupun untuk tujuan partisipasi awam.

Aplikasi bagi carian maklumat menyediakan pengguna maklumat penting seperti pemakluman keselamatan awam, kemas kini tentang acara tempatan, kandungan pendidikan mengenai perkhidmatan kerajaan dan sebagainya.

SarawakGov misalnya, merupakan aplikasi rasmi Kerajaan Sarawak yang secara umumnya menyediakan maklumat terkini mengenai Sarawak.

Aplikasi tersebut mengandungi maklumat mengenai pengumuman dan berita, acara rasmi kerajaan, ramalan cuaca, maklumat bencana, status halal premis makanan dan banyak lagi.

Pengguna juga boleh mengakses aplikasi berkenaan menerusi laman sesawang www.sarawak.gov.my dengan log masuk SarawakID. SarawakGov dibangunkan oleh Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Jabatan Premier Sarawak.

Infografik menunjukkan cara mendaftar SarawakID. Aplikasi identiti tunggal ini dibangunkan sebagai gerbang yang menyediakan pelbagai perkhidmatan dalam talian kerajaan

Bagi tujuan mendapatkan perkhidmatan, kerajaan memperkenalkan aplikasi yang membolehkan orang ramai membuat pembayaran pelbagai jenis bil, pembaharuan lesen termasuklah mendapatkan saluran bantuan kebajikan.

Aplikasi digital yang menawarkan perkhidmatan kerajaan telah mentransformasi dan memudahkan proses konvensional serta menjimatkan masa dan sumber di pihak kerajaan dan rakyat. Pelanggan tidak perlu hadir ke pejabat ataupun ke kaunter untuk berurusan secara bersemuka.

Salah satu contoh ialah SarawakID. Aplikasi identiti tunggal ini membolehkan pengguna mengakses pelbagai perkhidmatan dalam talian kerajaan seperti pembayaran bil utiliti, pembaharuan lesen, permohonan bantuan dan insentif kerajaan termasuklah penyemakan status permohonan ke perkhidmatan awam.

SarawakID dibangunkan sebagai gerbang yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan lain Kerajaan Sarawak antaranya e-Recruitment, permohonan Biasiswa Pinjaman Kerajaan Negeri Sarawak (BPKNS), permohonan nikah eMunakahat dan bermacam-macam lagi.

Selain itu, pengguna juga boleh mengakses SarawakID untuk membuat permohonan dan rayuan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), iaitu bantuan keperluan asas makanan berbentuk baucar digital yang disalurkan ke aplikasi S Pay Global.

Untuk tujuan meningkatkan partisipasi awam, aplikasi seperti bot sembang kerajaan dibangunkan bertujuan untuk membolehkan rakyat berinteraksi secara terus dengan kerajaan serta memberi maklum balas.

Bot sembang kerajaan ataupun dikenali sebagai chatbot kini semakin popular dan dijangka semakin luas digunakan oleh kerajaan di seluruh dunia menjelang 2026.

Aplikasi chatbot kerajaan ialah alat yang dipacu AI bagi meningkatkan partisipasi rakyat dalam tadbir urus kerajaan menerusi komunikasi secara langsung.

Dalam erti kata lain, alat berkenaan berfungsi sebagai e-tadbir urus yang boleh diakses melalui tapak laman sesawang kerajaan atau saluran aplikasi pesanan ringkas seperti WhatsApp.

Pada Januari 2025, Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan AIFA (Artificial Intelligence Fact-check Assistant), iaitu chatbot yang berfungsi memerangi berita dan maklumat palsu untuk portal sebenarnya.my.

Poster yang memaparkan aplikasi AIFA, iaitu chatbot untuk portal sebenarnya.my yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memerangi maklumat dan berita palsu

AIFA boleh diakses 24 jam menerusi aplikasi WhatsApp dan portal sebenarnya.my dalam empat (4) Bahasa, iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Chatbot tersebut direka secara mesra pengguna menggunakan algoritma dan pembelajaran mesin untuk memadankan maklumat dengan sumber yang boleh dipercayai, seterusnya menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih dengan pantas.

- Advertisement -

Penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam melalui aplikasi digital adalah respons kerajaan terhadap anjakan digital yang lebih luas.

Aplikasi digital kerajaan kini berfungsi bukan hanya sekadar platform yang menawarkan perkhidmatan dalam talian kepada rakyat.

Lebih daripada itu, aplikasi digital mampu merapatkan jurang di antara kerajaan dengan rakyat dan berfungsi sebagai alat penting dalam memupuk kepercayaan rakyat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Rujukan:

  1. https://ecentral.my/reset-sarawak-id
  2. https://www.knack.com/blog/why-people-use-government-apps/
  3. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1354607/kerajaan-lancar-aifa-chatbot-ai-perangi-berita-palsu   
  4. https://botpress.com/ms/blog/chatbots-for-government
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article