- Advertisement -
4,995
published news
and counting

Lebih 2.9 Juta Ekar Tanah NCR Telah Disukat

Must read

Jabatan tanah dan Survei Sarawak dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui Unit Perhubungan Awam Ibu Pejabatnya pada 30 Jun 2025 menyatakan pada tahun 2010 Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu yang melibatkan dua (2) peringkat pengukuran bagi mempercepatkan lagi pengukuran tanah NCR. Peringkat pertama, pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian). Pada peringkat kedua pula, pengukuran secara lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri akan dilaksanakan.

Sejak Oktober 2010 sehingga 31 Mei 2025, seluas 1,203,003 hektar atau 2,972,620 ekar tanah NCR telah pun diukur secara perimeter di bawah Peringkat Pertama Program tersebut. Daripada jumlah tersebut, seluas 935,760 hektar atau 2,312,263 ekar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

Melalui Peringkat Kedua pula, lebih kurang 120,608 hektar atau 298,022 ekar tanah NCR telah diukur secara lot individu melibatkan sebanyak 101,271 lot. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 32,530 surat hak milik tanah telah pun dikeluarkan di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

Penyukatan tanah NCR ini hanya dilaksanakan setelah menerima permohonan dari penuntut tanah NCR. Permohonan yang dihantar akan disemak berdasarkan perundangan dan bukti yang sahih sebelum diluluskan untuk disukat.

Penglibatan, pemahaman dan kerjasama penuntut tanah amat diperlukan dalam menjayakan pengukuran tanah NCR. Mereka hendaklah:-

  1. Memberi kerjasama dan bersedia untuk tanah mereka diukur;
  2. Mereka mestilah hadir semasa pengukuran di lapangan;
  3. Sempadan yang dituntut mestilah ditanda dengan jelas; dan
  4. Tanah yang dituntut mestilah bebas daripada sebarang pertikaian dan pertindihan tuntutan.

Sebelum sesuatu pengukuran dilaksanakan, Kerajaan akan mengadakan dua (2) peringkat dialog bersama dengan penuntut tanah iaitu dialog meja bulat dan dialog lapangan. Ianya bertujuan untuk menerangkan kepada penuntut tanah sempadan tanah yang akan diukur dan mendapatkan persetujuan kesemua penuntut tanah yang terlibat. Semua proses ini adalah bersifat telus (transparent) dalam memastikan kelancaran dan kejayaan pengukuran di lapangan.

Berhubung kes Mahkamah melibatkan pertikaian tanah NCR, penuntut tanah bolehlah menggugurkan kes Mahkamah tersebut jika mereka mahu tanah mereka diukur melalui program ini dan seterusnya mengemukakan permohonan secara rasmi kepada Penguasa Bahagian Tanah dan Survei terlibat.

Berkenaan dengan pajakan sementara atau provisional leases (PL) yang melibatkan tanah NCR, Kerajaan Sarawak telah memutuskan bahawa tanah NCR yang sahih perlu diasingkan sebelum PL dikeluarkan. Bermula pada 24 Mac 2015, Kerajaan telah memutuskan untuk tidak mempertimbangkan lagi permohonan tanah kerajaan untuk kegunaan perladangan komersial.

Untuk membangunkan infrastruktur bagi kepentingan awam, Kerajaan memerlukan tanah. Dalam melaksanakan pembangunan, pengambilan balik tanah adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan bagi memastikan projek pembangunan itu dapat dilaksanakan untuk kepentingan awam.

- Advertisement -

Oleh kerana itulah, Kerajaan perlu mengambil balik tanah sama ada ianya melibatkan tanah berhak milik ataupun tertakluk tuntutan tanah NCR untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur untuk kepentingan awam dan demi memberi nikmat secara langsung kepada rakyat seperti menyediakan prasarana serta infrastruktur yang lebih sempurna.

Kerajaan Sarawak tidak akan mengambil tanah rakyat yang terlibat dengan projek kerajaan secara percuma sebaliknya diambil berdasarkan kepada peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu antara lainnya menyebut tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang. Tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang mencukupi.

Semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian dari Jabatan Tanah dan Survei Sarawak. Pampasan ini akan dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman yang ada, struktur binaan jika ada dan saiz tanah yang terlibat mengikut nilai semasa.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article