- Advertisement -
5,033
published news
and counting

Perkasa Perkhidmatan Melalui Kerjasama Silang Agensi

Must read

Dalam keadaan dunia yang semakin mencabar pada hari ini, penyampaian perkhidmatan awam memerlukan pendekatan baharu yang lebih inklusif, responsif dan mampan.

Antara strategi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan agensi kerajaan ialah kerjasama silang agensi yang merupakan satu bentuk kolaborasi strategik yang terbukti mampu meningkatkan kecekapan, menjimatkan sumber dan memaksimumkan impak perkhidmatan kepada rakyat.

Kerjasama seperti ini tidak lagi dianggap sebagai usaha sampingan, tetapi satu keperluan penting untuk memastikan pembangunan negara bergerak secara holistik dan menyeluruh.

Dalam konteks perkhidmatan awam, kerjasama antara jabatan dan agensi membolehkan sumber digembleng dengan lebih efisien, mengelakkan pertindihan fungsi serta menyelaraskan strategi ke arah matlamat bersama.

Bentuk kerjasama ini juga turut membuka ruang kepada pemindahan teknologi, perkongsian pengetahuan dan penciptaan penyelesaian inovatif terhadap cabaran yang semakin kompleks.

Lebih penting lagi, ia menyemai budaya kerja berpasukan rentas entiti, memperkukuh komunikasi dalaman dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan institusi kerajaan.

Di Sarawak, pelbagai inisiatif berimpak tinggi telah membuktikan keberkesanan pendekatan ini antaranya yang boleh menjadi contoh ialah inisiatif MySRBN (Sarawak Rural Broadband Network).

MySRBN merupakan projek jalur lebar luar bandar di bawah inisiatif SALURAN (Sarawak Linking Urban, Rural and Nation) yang dibangunkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).

MySRBN menggunakan pendekatan praktikal melalui teknologi Fixed Wireless Broadband (FWB), iaitu sambungan tanpa wayar yang mampu menjangkau sehingga 3-kilometer radius

Di sebalik setiap menara MySRBN yang kini menjulang megah di kawasan kampung, tersimpan cerita kerjasama rapat antara pelbagai pihak, bermula dari peringkat dasar kerajaan sehingga kepada penglibatan anak muda tempatan.

SDEC memainkan peranan sebagai penyelaras utama, manakala Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju dasar.

Peranan penting juga dimainkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyediakan spektrum serta lesen yang diperlukan.

Melalui kerjasama awam-swasta (Public-Private Partnership) antara SDEC, Measat, Sacofa, Telekom Malaysia dan penyedia telekomunikasi lain dengan menggunakan mekanisme Multi-Operator Core Network (MOCN), pembangunan infrastruktur dapat dipercepatkan dan kos pelaksanaan dapat dikurangkan.

Sejak pelancarannya pada 2020, pencapaian semasa menunjukkan sebanyak 490 tapak FWB telah diwujudkan, meliputi 19,668 premis di pelbagai kawasan luar bandar serta mencatatkan pertambahan antara 1,500 hingga 2,000 pendaftaran baharu setiap bulan.

Contoh lain yang menyerlah ialah pembangunan Pulau Bruit di zon tengah Sarawak sebagai kawasan utama pengeluaran bekalan makanan dengan tanah subur yang sesuai untuk pertanian dan penternakan.

Lebih 1,200 hektar tanah di 13 penempatan kini diusahakan oleh komuniti pekebun dan pesawah padi, namun hasil tanaman mereka sering terancam akibat masalah ban pecah.

Untuk itu, Kerajaan Sarawak melalui pelbagai agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), telah meluluskan peruntukan RM21 juta bagi membaiki infrastruktur ban.

Kerjasama silang agensi amat ketara dalam usaha ini, bukan sahaja dari segi pembaikan infrastruktur tetapi juga bantuan teknikal, bekalan benih berkualiti, dan penyediaan jentera pertanian yang melibatkan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) serta Jabatan Pertanian.

Selain itu, komuniti nelayan di Pulau Bruit yang terdiri daripada kira-kira 2,000 ahli turut mendapat perhatian melalui pembangunan kemudahan dan program sokongan.

Penyiapan Jambatan Batang Paloh dan Muara Lassa mempercepatkan akses penduduk ke pasaran luar, meningkatkan peluang ekonomi.

Tambahan pula, sumbangan kepada masjid dan surau setempat menunjukkan pendekatan holistik kerajaan dalam membangunkan aspek sosial dan keagamaan komuniti.

Contoh di Pulau Bruit ini jelas membuktikan bagaimana kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti setempat mampu mengatasi cabaran dan memperkukuh pembangunan luar bandar secara menyeluruh.

Dalam bidang pendidikan pula, kerjasama antara Jabatan Pendidikan Sarawak, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Yayasan Amir telah merealisasikan pelaksanaan program Sekolah Amanah di lebih 30 buah sekolah luar bandar di Sarawak.

Melalui model tadbir urus baharu dan latihan guru yang berpaksikan impak, peningkatan ketara dicatat dari segi prestasi pelajar dan kehadiran ke sekolah.

Sebagai lanjutan usaha ini, Program Rangkaian Sekolah Amanah (RaSA) dan Kolokium Borneo 2024 telah dianjurkan pada 24 September 2024, hasil kolaborasi antara Yayasan Amir, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak.

Program ini bukan sahaja mengukuhkan jaringan Sekolah Amanah di Sarawak dan Sabah, malah diteraju sepenuhnya oleh SMK Muara Tuang bersama sekolah-sekolah lain yang bertindak sebagai sekretariat utama.

Sorotan aktiviti menarik daripada Program RaSA dan Kolokium Borneo yang berlangsung pada 24 September 2024

Dihadiri lebih 70 peserta termasuk pegawai pendidikan dari Sarawak, Sabah dan Perlis, serta pemimpin sekolah daripada 20 buah Sekolah Amanah, program ini membuktikan bahawa kerjasama silang agensi mampu melahirkan pemimpin pelapis pendidikan yang inovatif dan berdaya saing.

Sektor latihan kemahiran juga tidak ketinggalan di mana CENTEXS, agensi latihan milik penuh Kerajaan Sarawak, telah mempelopori pelbagai program bersama syarikat gergasi seperti Huawei, Sarawak Energy Berhad dan Petros.

Sejak 2016, lebih 10,000 belia Sarawak menerima latihan dalam bidang teknologi, kejuruteraan dan tenaga boleh diperbaharui, membuktikan bahawa kerjasama dengan pihak industri adalah kunci kepada pembangunan modal insan yang berdaya saing.

Kejayaan kerjasama silang agensi bukan sahaja dibuktikan melalui hasil pelaksanaannya, malah turut diperakui oleh pemimpin tempatan.

Dalam satu laporan UKAS bertarikh 14 Februari 2025, Pengarah UKAS, Encik Awang Putrayusrie Awang Redzuan, menegaskan bahawa perkongsian pengalaman dan ilmu bersama Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) memainkan peranan penting dalam membina komunikasi yang berkesan dengan masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai rombongan kunjungan hormat UKAS ke JaPen Sarawak pada 13 Februari 2025.

Menurut beliau, JaPen yang sudah lebih 100 tahun beroperasi mempunyai kekuatan yang mampu digembleng bersama untuk memberi impak yang lebih besar.

Sementara itu, Pengarah JaPen Sarawak, Encik Helmy Hamid menegaskan bahawa pejabat JaPen di 33 daerah bersedia menyokong pelbagai inisiatif promosi dan penyebaran maklumat kerajaan negeri.

Jelaslah bahawa kerjasama silang agensi bukan sekadar slogan, sebaliknya adalah satu mekanisme penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri dan negara.

Ia menghapuskan jurang birokrasi, mempercepat tindakan, mengoptimumkan sumber dan membina kepercayaan dalam kalangan rakyat.

- Advertisement -

Dalam sebuah ekosistem pentadbiran moden yang menuntut keberhasilan tinggi dan akauntabiliti menyeluruh, tiada lagi ruang untuk bekerja secara silo.

Hanya dengan semangat kolaboratif dan tanggungjawab bersama, barulah penyampaian perkhidmatan awam dapat benar-benar memberi makna dan manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Rujukan:

  1. https://www.mkn.gov.my/web/ms/2024/06/26/kerjasama-strategik-antara-jabatan-agensi/
  2. https://beloya2u.com/2024/04/berinteraksi-dengan-agensi-lain-panduan-untuk-kerjasama-berkesan.html
  3. https://premierdept.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/13589/UKAS

https://premierdept.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/13095/UKAS

Infografik menerangkan secara ringkas tentang kerjasama silang agensi
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article