Pada 30 Jun 2025, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah diisytihar secara rasmi sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).
Kerajaan Sarawak menyifatkan pengisytiharan dan penjenamaan semula tersebut sebagai satu manifestasi komitmen Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menyokong agenda pembangunan pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan seimbang di seluruh negara.
Pengisytiharan tersebut juga disifatkan sebagai pemerkasaan UPMS yang selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang akan memacu kemajuan Sarawak, khususnya dalam sektor pertanian, perhutanan dan tenaga boleh diperbaharui.
RAKAN Sarawak telah menemu bual Naib Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM), YBhg Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan bin Mohd. Sadullah bagi mengetahui latar belakang dan matlamat awal penubuhan UPMS serta mendapatkan perkongsian beliau mengenai usaha yang telah dijalankan oleh UPMS sepanjang penubuhannya di Sarawak.

Menurut beliau, pembukaan kampus cawangan UPM atau apa saja universiti awam di Malaysia secara dasarnya bertujuan untuk memberi peluang dan melebar luaskan akses pendidikan kepada penduduk tempatan.
Dalam konteks UPMS, penubuhannya sejak dari awal lagi adalah untuk menyediakan akses pendidikan tinggi kepada penduduk Sarawak dan untuk meneruskan agenda pertanian dan perhutanan negara yang sememangnya diterajui oleh UPM.
Sejak itu, UPMS terus meningkatkan kedua-dua peranan tersebut hingga ke hari ini yang disesuaikan dengan situasi semasa, malahan turut menyokong inisiatif dalam dasar pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan Sarawak, khususnya di bawah PCDS 2030.
Sejarah penubuhan UPMS bermula di kampus sementara, iaitu di Natural Resource Training Centre, Semenggok di Kuching pada 10 Ogos 1974, kemudian berpindah ke Bintulu pada Jun 1987, lalu dikenali sebagai UPMKB.
Pada masa itu, tiga (3) pusat pengajian diwujudkan, iaitu Pusat Pengajian Sains Gunaan, Pusat Sains Asasi dan Pusat Pengajian Sains Sosial dan Pengurusan yang menawarkan program peringkat diploma merangkumi Diploma Pertanian, Diploma Perhutanan dan Diploma Perniagaan Tani serta satu (1) program pendahuluan.
Dato’ Dr. Ahmad Farhan memaklumkan, penempatan program-program diploma di awal penubuhan UPMS bermatlamat sebagai saluran (feeder) kepada kampus induk UPM di Serdang, Selangor yang pada ketika itu memberi tumpuan kepada program peringkat ijazah tinggi dan ijazah pertama.
Penawaran program peringkat diploma yang ditempatkan di kampus Bintulu pada waktu itu beliau sifatkan sebagai satu strategi yang baik dengan melihat kembali matlamat utama penubuhan UPMS, iaitu untuk memberi akses pendidikan tinggi kepada rakyat tempatan.
Mengimbau tahun-tahun awal pewujudan UPMS apabila daripada hanya menawarkan program peringkat diploma hingga kepada peringkat ijazah dan ijazah sarjana, di situ jelas menampakkan peningkatan dari segi pengiktirafan yang diberikan kepada tenaga-tenaga pengajar UPMS.
Bertitik tolak dari usaha itu juga telah memberikan impak yang lebih nyata yang disumbangkan oleh UPMS kepada Kerajaan Sarawak melalui penyelidikan-penyelidikan yang berkualiti dan berimpak tinggi di samping dapatan hasil penyelidikan asas yang semakin bertambah.
Selain daripada usaha-usaha yang telah dijalankan selama ini yang lebih kepada satu keperluan asas, beliau merasakan perlunya satu lonjakan untuk memperkasa lagi UPMS dengan keupayaan dan potensi yang boleh dikembangkan lagi.
Sumbangan signifikan UPMS kepada Sarawak boleh dilihat dari segi keupayaan universiti tersebut mengubah landskap pendidikan dan peranan pendidikan tinggi di Sarawak menerusi kerja-kerja penyelidikan yang telah banyak dijalankan termasuklah program-program berasaskan komuniti.
Jelas beliau, apabila pihak Kerajaan, pemain industri serta masyarakat meletakkan kepercayaan yang kian bertambah kepada UPMS, itulah impak yang dimahukan oleh pihak universiti dan mana-mana universiti lain di negara ini, iaitu pengiktirafan daripada semua pihak.
Beliau menambah, pihak UPMS bukan hanya sekadar mahukan masyarakat melihat universiti sebagai menara gading, malah lebih daripada itu ialah sebagai menara ilmu yang mampu menyuburkan sosioekonomi hingga ke tahap set minda dalam pembangunan rakyat secara keseluruhan.
Dato’ Dr. Ahmad Farhan memaklumkan, telah banyak inisiatif pembangunan masyarakat dilaksanakan oleh UPMS menerusi strategi sedia ada yang turut diselarikan dengan PCDS 2030, terutama dalam bidang kepakaran utama UPM, iaitu keterjaminan makanan, sektor tenaga dan sebagainya.
Di bawah PCDS 2030, Sarawak menyasarkan untuk menjadi pengeluar makanan dan tenaga utama di rantau ini dalam usaha mencapai status maju menjelang tahun 2030.
Untuk tujuan tersebut, UPMS telah menyesuaikan kepakaran yang ada dalam bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam bidang penyelidikan pertanian dan pengurusan isu dan cabaran keterjaminan makanan yang turut dijalankan dengan penglibatan komuniti.
Dalam mengurus cabaran keterjaminan makanan misalnya, UPMS menyesuaikan Blueprint Keterjaminan Makanan UPM dengan inisiatif-inisiatif yang digariskan di dalam PCDS 2030.
Sebagai contoh, projek Agrihub@Gedong di Lubok Punggor, Gedong dijalankan dengan kerjasama Kerajaan Sarawak untuk mentransformasi penanaman padi menerusi amalan pertanian pintar dan mampan yang turut melibatkan penyertaan komuniti setempat.
Matlamat utama projek tersebut adalah untuk meningkatkan pengeluaran padi di Gedong selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak menjadikan Gedong sebagai kawasan strategik pengeluaran padi di Sarawak, seterusnya menjadi pengeluar makanan utama serantau pada masa akan datang.
Dato’ Dr. Ahmad Farhan menjelaskan, blueprint berkenaan juga bertujuan untuk memperkasa UPM secara menyeluruh terhadap Agenda Keterjaminan Makanan Negara dengan kekuatan yang dimiliki.
Memandangkan Kerajaan Sarawak meletakkan keterjaminan makanan sebagai agenda utama, UPMS mengaplikasikan inisiatif yang digariskan dalam blueprint tersebut.
Salah satunya adalah dalam isu kebergantungan pada import makanan dengan memperkasa masyarakat tempatan melalui bidang pertanian dan penyelidikan pertanian.
Sebagai sebuah universiti penyelidikan, UPM meletakkan tanggungjawabnya dalam bidang penyelidikan pertanian melalui UPMS bagi membantu Kerajaan Sarawak dalam projek Agrihub@Gedong yang akan dikembangkan ke kawasan-kawasan lain di Sarawak yang berpotensi.
Berdasarkan komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan Sarawak, beliau bagi pihak universiti amat berbesar hati dan amat bertuah apabila dapat bekerjasama dalam agenda yang sememangnya menjadi kekuatan UPM, khususnya UPMS.