Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) mengambil langkah proaktif menangani peningkatan isu kesihatan mental dengan memupuk budaya prestasi tinggi yang seimbang dengan memperkukuhkan kesejahteraan mental dan psikologi penjawat awam melalui penganjuran Hari Psikologi, Kaunseling dan Kesejahteraan JTS 2025 yang berlangsung selama dua hari dari 22 hingga 23 Oktober 2025 di Kuching.
Tema program pada kali ini iaitu “Integrating Wellbeing into High Performance Culture” seiring dengan tema peringkat Perkhidmatan Awam Sarawak, “Thriving in Action: Integrating Performance and Sustainability Wellbeing in SCS”, serta tema Kebangsaan “Kaunseling Era Digital: Santuni Emosi, Sejahtera Insani”.
Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari bin Awang Mahmood menekankan bahawa peranan ibu bapa perlu diketengahkan, khususnya dalam menangani cabaran era digital melibatkan pengaruh permainan dalam talian, buli dan tingkah laku berisiko.
Katanya, sepanjang tahun 2025 pelbagai program seperti Psychological First Aid (PFA): Keselamatan Psikologi di Tempat Kerja dan Explorace Budget Blitz: Your Money, Your Way telah memberi impak positif terhadap prestasi dan kesejahteraan warga JTS.
Tambahnya berdasarkan data dari Hospital Umum Sarawak oleh Perunding Pakar Neuropsikiatri, Dr Chhoa Keng Hong menjelaskan peningkatan mendadak isu kesihatan mental di Sarawak yang kini mencatat peningkatan lima kali ganda dalam tempoh tiga tahun dan kenyataan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan kes bunuh diri, tekanan emosi dan keresahan mental semakin membimbangkan, termasuk dalam kalangan generasi muda.
Beliau menegaskan bahawa kesejahteraan mental bukan lagi isu sampingan, sebaliknya merupakan prasyarat penting bagi melahirkan pemimpin masa depan, agen perubahan dan penjawat awam yang berdaya tahan emosi. Sehubungan itu, beliau menekankan agar perkhidmatan psikologi dan kaunseling akan terus diperkasakan supaya stigma terhadap perkhidmatan ini dapat dikikis.
Ujarnya lagi penganjuran Hari Psikologi, Kaunseling dan Kesejahteraan 2025 ini diharap bukan sahaja memberikan manfaat kepada warga JTS tetapi turut memberi limpahan positif kepada keluarga dan komuniti secara menyeluruh. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah, Sr Rozlan bin Haji Putit.
Program berkenaan telah dihadiri 300 orang peserta iaitu kakitangan dari seluruh pejabat Tanah dan Survei Sarawak dari semua 12 Bahagian termasuk Ibu Pejabat.
Penganjuran untuk tahun kelima ini telah menjadi agenda tahunan sejak tahun 2021 dan berjaya dilaksanakan oleh jabatan pada tahun ini sekali lagi dengan penyertaan warga JTS pelbagai gred, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian melalui saluran Youtube Landas Channel.
Kemuncak program adalah perasmian logo rasmi Hari Psikologi, Kaunseling dan Kesejahteraan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah, Sr Rozlan bin Haji Putit, bersama-sama Penolong Pengarah (Survei) Sr Jawan anak Tumba, Pemangku Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan Puan Hajah Sharifah Rafidah Bt. Wan Razali, Jurutera Kanan Encik Marcus Angie Patrick dan Ketua Bahagian Penguatkuasa Encik Thian Choon Kui. Penghargaan cenderamata kepada pencipta logo rasmi turut diberikan kepada Encik Adisham bin Dolmadi.
Dalam program selama dua hari berkenaan seramai lima penceramah telah dijemput. Pada hari pertama Puan Jacqueline Tan Sui Ling, Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Pengurusan Kesejahteraan Pekerja, Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia telah menyampaikan Ucaptama: Integrating Wellbeing into High Performance Culture.
Diikuti Ceramah bertajuk “Bekerja Sama, Bukan Sama-sama Bekerja” oleh Koperal Mohd Azmil bin Zabidi dari Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor Bahru Polis Diraja Malaysia.
Manakala pada hari kedua ceramah diteruskan lagi oleh Puan Nurulisa binti Poli dari ECT Training dengan tajuk Mental & Emotion Fitness- 3R (Rejoice, Resolve and Reborn) dan ceramah terakhir telah disampaikan oleh Encik Fadzil Aziz dari Soul Consultancy and Services dengan tajuk ceramahnya Scroll, Like, Marah: Gaya Keibubapaan Zaman Now.






