- Advertisement -
5,115
published news
and counting

Bantuan Pendidikan Pemangkin Pembangunan Sumber Manusia

Must read

Peningkatan Kemahiran

Percetakan 3D

Kemahiran Automotif

Pendidikan merupakan tonggak utama pembangunan sesebuah negara dan asas kepada pembentukan modal insan berkualiti.

Melalui pendidikan, rakyat bukan sahaja meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan, tetapi juga membina nilai kepimpinan dan daya saing yang diperlukan bagi menghadapi cabaran globalisasi.

Namun, kekangan kewangan sering menjadi halangan utama kepada masyarakat, terutamanya golongan berpendapatan rendah untuk mengakses pendidikan berkualiti.

Menyedari hakikat ini, kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan Persekutuan telah melaksanakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan bagi memastikan peluang pembelajaran setara untuk semua warganegara.

Selain itu, negara-negara lain seperti Singapura dan Indonesia turut melaksanakan inisiatif serupa bagi menyokong rakyat mereka yang berlatarbelakangkan daripada keluarga berpendapatan rendah untuk mendapatkan pendidikan yang selayaknya.

Di Sarawak, Yayasan Sarawak memainkan peranan utama dalam menyediakan bantuan pendidikan merangkumi bantuan persekolahan hingga pengajian tinggi.

Bagi peringkat sekolah menengah, pelajar dari keluarga kurang berkemampuan boleh memohon Biasiswa Tempatan Yayasan Sarawak (BTYS) melalui portal my-Yayasan.

Bantuan berjumlah RM800 setahun ini bertujuan membolehkan pelajar meneruskan persekolahan dan meningkatkan prestasi akademik.

Sementara itu, kerajaan Persekutuan turut menawarkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) melalui Kementerian Pendidikan Malaysia sebanyak RM150 sekali bayar untuk murid sekolah rendah dan menengah bagi mengurangkan beban ibu bapa menyediakan keperluan persekolahan seperti pakaian seragam, buku dan peralatan menulis.

Negara luar seperti Singapura menyediakan program serupa melalui Biasiswa Uplift oleh Kementerian Pendidikan (MOE) dengan nilai hadiah wang $1,000 setahun mulai 2023 bagi pelajar berpendapatan rendah.

Tujuan utama bantuan awal ini adalah memastikan tiada pelajar tercicir akibat masalah kewangan serta memberi peluang kepada mereka menumpukan sepenuhnya kepada pembelajaran, mempertingkatkan literasi, kemahiran numerasi, asas STEM dan persediaan untuk pendidikan tinggi serta kerjaya masa depan.

Bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) juga disediakan oleh Yayasan Sarawak bagi pelajar yang diterima di institusi seperti Universiti Teknologi Sarawak, Curtin University Malaysia, Kolej Laila Taib, Swinburne University of Technology, dan i-CATS University College.

Geran bantuan ini berjumlah RM1,000 bagi pengajian di Sarawak dan RM1,500 di luar negeri, sekali bayar dan tidak perlu dikembalikan.

Tujuan bantuan adalah untuk menampung kos pendaftaran, penginapan, dan perbelanjaan awal semester pertama, seterusnya membantu khususnya golongan B40 mengakses pendidikan tinggi tanpa halangan kewangan.

Selain itu, Baitulmal Sarawak menyediakan bantuan kemasukan ke IPTA khusus untuk pelajar Islam, merangkumi yuran pendaftaran, keperluan asas, dan sokongan kewangan sepanjang tempoh pengajian.

Di peringkat Persekutuan, Yayasan Bank Rakyat memberikan Bantuan Awal Pengajian IPT sebanyak RM1,000 sekali bayar kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di seluruh Malaysia.

Di peringkat antarabangsa pula, Indonesia melaksanakan Program Kartu Indonesia Pintar (KIP) Kuliah untuk membantu lepasan sekolah menengah melanjutkan pengajian ke universiti awam, politeknik atau institusi swasta yang diiktiraf kerajaan tanpa beban kewangan yang berat.

Bantuan ini merangkumi yuran pendaftaran, kos pengajian, serta elaun sara hidup bulanan antara Rp 800,000 hingga Rp 1,400,000 bergantung kepada lokasi universiti.

Kesemua bantuan awal persekolahan dan bantuan kemasukan ke IPT menekankan kepentingan menyokong pelajar daripada latar belakang ekonomi kurang berkemampuan agar mereka dapat mengakses pendidikan tinggi secara setara.

Dengan bantuan ini, pelajar dapat menumpukan perhatian kepada pengajian, membina kemahiran kritikal, dan menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti serta tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Selain bantuan kewangan, Sarawak menumpukan pembangunan biasiswa dan program khas berasaskan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) sebagai teras kemajuan ekonomi.

Kerajaan negeri menyasarkan 60 peratus enrolmen pelajar dalam bidang STEM menjelang 2030, walaupun kadar semasa sekitar 45.7 peratus (Mac 2025).

Antara inisiatif utama ialah Yayasan Biasiswa Sarawak Tunku Abdul Rahman (YBSTAR), yang memberi keutamaan kepada pelajar Sarawak dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, perubatan, sains hayat, teknologi makanan, psikologi, perakaunan, kewangan dan undang-undang.

Biasiswa ini menampung sepenuhnya yuran pengajian dan elaun sara hidup dan ini menunjukkan komitmen negeri dalam melahirkan tenaga profesional berkemahiran tinggi menyokong aspirasi Sarawak menjadi hab teknologi menjelang 2030.

Di peringkat Persekutuan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memainkan peranan melalui Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ), iaitu penajaan berbentuk pinjaman boleh ubah bagi pelajar lepasan SPM.

Pelajar akan mengikuti program persediaan di Malaysia sebelum dihantar ke universiti terkemuka di Jepun, Korea Selatan, Perancis atau Jerman dalam bidang kejuruteraan dan sains teknologi.

Negara lain, seperti Korea Selatan, juga menawarkan biasiswa berfokuskan kepada beberapa bidang STEM seperti kejuruteraan melalui Korea Foundation for Advanced Studies (KFAS) dengan kategori termasuk Overseas PhD Scholarship Program dan Domestic Scholarship.

Biasiswa ini menyediakan pembiayaan penuh yuran pengajian dan kos sara hidup.

Kesemua program biasiswa dan bantuan kewangan ini mempunyai matlamat yang sama iaitu membina ekosistem pendidikan berteraskan STEM, melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja luar.

Dengan memberi peluang kepada pelajar cemerlang daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, Sarawak mampu membina tenaga kerja tempatan berkualiti, menyokong pembangunan ekonomi digital dan industri masa depan.

Secara keseluruhannya, pelbagai bentuk bantuan pendidikan oleh kerajaan Sarawak dan Persekutuan menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembangunan modal insan berkualiti.

Bantuan ini tidak sekadar menyokong kewangan, tetapi merupakan pelaburan strategik jangka panjang untuk melahirkan generasi berilmu, berkemahiran, dan berjiwa besar, yang mampu membangunkan negara menuju era kemajuan mampan.

Melalui kombinasi biasiswa, bantuan kewangan dan program khas, Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan berada pada landasan yang kukuh untuk memastikan setiap pelajar berpeluang mencapai potensi maksimum mereka dan menyumbang kepada pembangunan sosial, ekonomi dan teknologi yang berterusan.

Rujukan :

Berita Harian Singapura. (2023, January 30). Biasiswa lebih tinggi bagi pelajar keluarga susah di sekolah bebas, Berita Singapura – Beritaharian.sg. BeritaHarian. https://www.beritaharian.sg/singapura/biasiswa-lebih-tinggi-bagi-pelajar-keluarga-susah-di-sekolah-bebas

Korea Foundation for Advanced Studies (KFAS). (2020). International & Domestic Scholarship | KFAS. Kfas.or.kr. https://eng.kfas.or.kr/theme/kfaschanel/intl_scholarship_5.php

Ministry of Education Singapore. (2025). MOE Financial Assistance Schemes to Benefit Additional 31,000 Students. Moe.gov.sg; MOE. https://www.moe.gov.sg/news/press-releases/20251016-moe-financial-assistance-schemes-to-benefit-an-additional-31000-students

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia. (2025). Bantuan Awal Persekolahan. Moe.gov.my. https://www.moe.gov.my/bantuan-awal-persekolahan

Tedong Rantayy. (2024, October 14). Sarawak targets 30 pct skilled workforce by 2030 to build knowledge economy. DayakDaily. https://dayakdaily.com/sarawak-targets-30-pct-skilled-workforce-by-2030-to-build-knowledge-economy/

- Advertisement -

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS). (2025). News – Laman Web Jabatan Premier Sarawak. Sarawak.gov.my. https://premierdept.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/14387/UKAS

Universitas Negeri Yogyakarta. (2020). BANTUAN BIAYA PENDIDIKAN KIP KULIAH | Universitas Negeri Yogyakarta. Uny.ac.id. https://www.uny.ac.id/berita/bantuan-biaya-pendidikan-kip-kuliah?

Yayasan Bank Rakyat. (2025, July 23). Pembangunan Pendidikan – Yayasan Bank Rakyat. Yayasan Bank Rakyat. https://www.yayasanbankrakyat.com.my/index.php/pembangunan-pendidikan/

Yayasan Sarawak. (2024). Biasiswa | Yayasan Sarawak. Yayasansarawak.org.my. https://yayasansarawak.org.my/my/biasiswa/

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article