Keselamatan negara hari ini tidak lagi terhad kepada ancaman bersenjata atau konflik fizikal semata-mata.
Ia merangkumi keselamatan sempadan, kestabilan sosial, kesejahteraan mental, ruang siber serta keyakinan rakyat terhadap keupayaan negara melindungi mereka.
Dalam landskap ancaman yang semakin kompleks ini, Bajet 2026 memperlihatkan satu pendekatan keselamatan yang lebih menyeluruh dengan menggabungkan kekuatan pertahanan, kecekapan penguatkuasaan, perlindungan sosial dan kedaulatan digital sebagai satu ekosistem keselamatan nasional.
Pendekatan ini penting kerana keselamatan moden tidak boleh lagi beroperasi secara terasing antara agensi atau sektor.
Keberhasilan dasar keselamatan kini bergantung kepada keupayaan kerajaan menyepadukan aset ketenteraan, penguatkuasaan undang-undang, intervensi sosial dan keupayaan teknologi dalam satu rangka kerja yang saling melengkapi.
Pelaburan besar dalam sektor pertahanan menerusi Bajet 2026 mencerminkan kesedaran strategik bahawa keupayaan ketenteraan perlu sentiasa relevan dengan bentuk ancaman semasa.
Penekanan terhadap penyelenggaraan dan kesiapsiagaan operasi, selain pembelian aset baharu, merupakan langkah tepat bagi mengelakkan kebergantungan kepada aset usang yang boleh melemahkan daya cegah negara.
Pemodenan sistem pertahanan udara dan pengukuhan sokongan logistik maritim bukan sahaja meningkatkan keupayaan mempertahankan ruang udara dan perairan negara, malah berfungsi sebagai elemen pencegahan awal (deterrence).
Keupayaan ini mengurangkan risiko pencerobohan serta meningkatkan keyakinan bahawa Malaysia mampu bertindak pantas terhadap sebarang ancaman.
Dalam konteks serantau, pertahanan keupayaan pertahanan yang kukuh turut menyumbang kepada kestabilan serantau serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara yang bertanggungjawab dan diyakini di peringkat antarabangsa.
Langkah ini membawa mesej yang jelas bahawa kedaulatan negara tidak boleh dikompromi.
Sejumlah RM42.9 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2026 bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara dalam mengawal ketenteraman awam dan mempertahankan keselamatan nasional, dengan pembahagian RM21.7 bilion kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan RM21.2 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Peruntukan ini memberi tumpuan kepada tiga ikhtiar utama, iaitu penyelenggaraan aset, pembelian aset baharu serta pembinaan dan naik taraf fasiliti keselamatan.
Sebanyak RM6 bilion diperuntukkan untuk menyelenggara dan membeli aset pertahanan, termasuk perolehan baharu seperti sistem Medium, Short dan Very Short Range Air Defence, dua buah Multi Role Support Ship, serta sepuluh buah (10) kenderaan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) bagi menyokong operasi pengaman antarabangsa.
Pelaburan ini memastikan Angkatan Tentera Malaysia kekal berkeupayaan tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara di darat, laut dan udara.
Dalam masa yang sama, RM1 bilion diperuntukkan bagi menyelenggara dan membeli aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta badan-badan beruniform di bawah KDN.

Ini termasuk perolehan 100 buah kenderaan pacuan empat roda (4×4) bagi tujuan risikan dan operasi PDRM, empat buah bot ronda Fast Patrol Vessel untuk Pasukan Polis Marin, serta sebuah pesawat udara Maritime Surveillance Aircraft bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Langkah ini memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, terutamanya dalam menangani jenayah rentas sempadan dan ancaman maritim.
Usaha membina dan menaik taraf fasiliti baharu badan beruniform turut diberi perhatian dengan kos melebihi RM1.5 bilion.
Antara projek utama termasuk pembinaan fasiliti seperti :
1. Kompleks APMM Negeri di Tok Bali, Kelantan
2. Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dan Balai Polis Lawin di Gerik, Perak
3. Pembaharuan Kompleks Bersepadu APMM dan Pasukan Polis Marin di Labuan
4. Kompleks Zon Maritim Kudat di Sabah
5. Pusat Latihan Artileri di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan
6. Menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh di Miri, Sarawak
7 . Pembinaan bangunan tambahan Batalion 23 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sri Aman, Sarawak
8. Tiga Pos PGA baharu di Sungai Nibong, Sungai Banting dan Sekinchan, Selangor
Berdasarkan statistik berkaitan jenayah maritim, Malaysia mencatatkan peningkatan untuk penangkapan jenayah maritim iaitu sebanyak 1,267 penangkapan pada 2023 berbanding tahun sebelumnya yang hanya mencatatkan 1,143 penangkapan.
Sabah dilihat sebagai negeri yang mencatatkan dalam penangkapan jenayah maritim tertinggi iaitu sebanyak 333 penangkapan setakat 2023 meskipun berlaku penurunan daripada 377 penangkapan pada tahun sebelumnya.
Bagi meningkatkan keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah, Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah yang akan tamat tempoh pengoperasiannya pada Jun 2026 akan digantikan dengan sebuah Multi Purpose Command Platform baharu, sekali gus memastikan kawalan maritim di kawasan strategik ini terus diperkukuh.

Pembinaan dan naik taraf fasiliti keselamatan tidak sekadar melibatkan struktur fizikal, tetapi merupakan pelaburan terhadap kecekapan sistem keselamatan negara. Kompleks maritim, balai polis, pusat latihan dan pos kawalan sempadan yang moden membolehkan koordinasi antara agensi berlaku dengan lebih lancar dan profesional.
Infrastruktur yang baik mengurangkan kebergantungan kepada tindakan reaktif dan membolehkan penguatkuasaan dijalankan secara berterusan serta berfokus.
Dalam jangka panjang, ia memastikan agihan keselamatan yang lebih seimbang antara wilayah, sekali gus mengelakkan jurang keselamatan antara kawasan bandar dan luar bandar, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Aspek kebajikan dan masa depan veteran turut diberi perhatian melalui Skim Protégé-Veteran, yang menyediakan peluang pekerjaan kepada veteran tentera serta latihan sijil dan diploma kepada anggota ATM sebelum persaraan.
Ini termasuk pembiayaan program Work-Based Learning (WBL) dan Readiness To Work Programme, bagi memastikan peralihan daripada perkhidmatan ketenteraan ke alam pekerjaan awam berjalan lancar.
Renjer komuniti memanfaatkan sehingga 700 veteran dan peluang pekerjaan di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Pada masa yang sama, latihan kemahiran dan pensijilan sebelum persaraan mengurangkan risiko pengangguran dalam kalangan veteran, sekali gus mencegah isu sosial dan ekonomi yang boleh timbul akibat peralihan kerjaya yang tidak terancang.
Ini menjadikan ekosistem keselamatan negara lebih mampan dari sudut sumber manusia.
Langkah ini memastikan pengalaman dan disiplin anggota keselamatan tidak terputus selepas persaraan, sebaliknya dimanfaatkan semula untuk kepentingan negara.
Dalam usaha memperkukuh kawalan sempadan negara, AKPS diperuntukkan RM45 juta untuk terus melaksanakan peranan kritikalnya.
Bagi memenuhi keperluan 220 tenaga kerja AKPS, keutamaan diberikan kepada pelantikan veteran tentera, sekali gus memanfaatkan pengalaman mereka demi kesiapsiagaan penuh agensi tersebut.
Peruntukan kepada AKPS menunjukkan pengiktirafan bahawa keselamatan sempadan merupakan barisan pertahanan pertama negara. Keutamaan melantik veteran tentera meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi kerana kumpulan ini memiliki pengalaman taktikal dan pemahaman mendalam tentang disiplin keselamatan.
Keberhasilan inisiatif ini dapat diukur melalui pengurangan pencerobohan haram, penyeludupan dan kemasukan tanpa dokumen, yang secara langsung melindungi pasaran pekerjaan tempatan serta keselamatan sosial negara.
Selain ancaman fizikal, Bajet 2026 turut menangani ancaman sosial yang semakin membimbangkan, khususnya isu buli.
Kes buli dilihat semakin meningkat sama ada di sekolah, universiti, tempat kerja mahupun di alam maya, malah pada tahun 2025 mencatatkan kes melampau sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.
Antara isu-isu penting yang diketengahkan dalam sesi taklimat kepada semua ahli dewan rakyat pada 20 Ogos 2025 termasuklah peroleh daripada data dari Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sehingga Oktober 202 yang mencatatkan seramai 5,703 pelajar terlibat dalam kes buli, berbanding 5,891 pada tahun 2023 dan 3,887 pada tahun 2022.
Selain itu, Laporan UNICEF pada tahun 2020 mengenai buli dalam kalangan kanak-kanak, mendapati Malaysia menduduki tempat kedua di Asia selepas India dan tempat keenam dalam dunia untuk siber buli serta menunjukkan 3 daripada 10 kanak-kanak terjejas.
Melalui U-Report pula, UNICEF melaporkan 28 peratus daripada 7,000 kanak-kanak mengalami siber buli, manakala dalam kajian IPSOS 2018, mendapati 23 peratus ibu bapa melaporkan anak-anak mereka dibuli.
Sehubungan itu, RUU Antibuli 2025 telah dibentangkan dan seluruh jentera kerajaan digembleng secara menyeluruh bagi membanteras gejala ini.

Di peringkat sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia membangunkan Kerangka Antibuli Sekolah (SAFE) sebagai pendekatan pencegahan yang komprehensif, termasuk memperkasa peranan guru dan murid melalui Program Amalan Sekolah Penyayang.
Di peringkat pengajian tinggi pula, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meningkatkan keselamatan kampus melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta penganjuran program sahsiah dan kepimpinan bagi mencegah buli dan ragging.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan sokongan psikososial melalui sesi kaunseling berkelompok, manakala Kementerian Komunikasi melaksanakan Kempen Internet Selamat untuk meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan pelajar.
Gerakan belia Rakan Muda pula menggerakkan inisiatif “Lawan Buli” di peringkat akar umbi.
Pendekatan kerajaan menangani isu buli melalui RUU Antibuli 2025 dan kerjasama merentas kementerian menandakan pengiktirafan bahawa keselamatan sosial adalah sebahagian daripada keselamatan nasional.
Pencegahan buli di peringkat awal mampu mengurangkan kes jenayah, masalah kesihatan mental dan keganasan pada masa hadapan.
Dengan menggabungkan pendidikan empati, penguatkuasaan undang-undang dan sokongan psikososial, dasar ini berpotensi memutuskan rantaian keganasan dari akar umbi. Manfaat jangka panjangnya ialah pembentukan generasi yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan produktif, sekali gus menyumbang kepada kestabilan sosial negara.
Dalam menangani isu penipuan dan ancaman siber yang semakin sofistikated, kerajaan turut merancang penggubalan RUU Jenayah Siber.
Antara inisiatif utama termasuk penubuhan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi memperkukuh kedaulatan digital negara.
Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang kini dikendalikan secara langsung oleh PDRM pula diperuntukkan RM12 juta bagi memastikan pengendalian kes penipuan kewangan lebih pantas dan cekap.
Selain itu, peranan Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak) PDRM diperkasa dalam menangani jenayah seksual melibatkan kanak-kanak di ruang siber, disokong peruntukan RM20 juta untuk memodenkan sistem forensik digital serta menubuhkan Behavioural Science Unit bagi menganalisis pola tingkah laku dan profil jenayah.
Penggubalan RUU Jenayah Siber dan pelaburan dalam NACSA, NSRC serta forensik digital mencerminkan kesediaan kerajaan menghadapi ancaman siber yang semakin sofistikated. Keberkesanan inisiatif ini bergantung kepada keupayaan bertindak pantas, kepakaran teknikal dan penyelarasan antara agensi.
Apabila jenayah siber dapat dibendung secara sistematik, keyakinan rakyat terhadap transaksi digital dan perkhidmatan dalam talian akan meningkat. Ini bukan sahaja melindungi pengguna, malah menyokong pertumbuhan ekonomi digital dan inovasi teknologi negara.
Secara keseluruhan, Bajet 2026 menampilkan satu kerangka keselamatan nasional yang holistik, progresif dan berpaksikan realiti semasa.
Dengan mengimbangi pertahanan fizikal, keselamatan dalaman, kesejahteraan sosial dan perlindungan digital, Malaysia dilihat sedang membina sebuah negara yang bukan sahaja selamat, malah berdaya tahan dan diyakini oleh rakyatnya untuk jangka masa panjang.
Rujukan :
Jabatan Perangkaan Malaysia. (2024). Statistik Jenayah Malaysia 2024. Jabatan Perangkaan Malaysia. https://storage.dosm.gov.my/crime/crime_2023.pdf
Jawatankuasa Pilihan (JKP) Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat. (2025). Penyata Jawatankuasa Pilihan (JKP) Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat – Buli dalam Kalangan Pelajar Sekolah di Malaysia DR. 26 Tahun 2025. Laman Web Rasmi Seksyen Jawatankuasa Pilihan Berkaitan Kementerian. https://www.parlimen.gov.my/cpsecure/resources/files/FULL%20DR%2033%20updated.pdf
Kementerian Kewangan Malaysia. (2025). Ucapan Belanjawan 2026. Portal Belanjawan Kementerian Kewangan. http://belanjawan.mof.gov.my/pdf/belanjawan2026/ucapan/ub26.pdf.






