- Advertisement -
5,195
published news
and counting

Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Dipertingkatkan

Must read

Banjir terus menjadi antara bencana alam paling signifikan di Malaysia, dengan impaknya bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan rakyat malah memberi tekanan besar kepada ekonomi negara.

Berdasarkan Laporan Khas Kajian Impak Banjir di Malaysia 2023, jumlah kerugian keseluruhan akibat banjir pada tahun tersebut direkodkan sebanyak RM755.4 juta.

Kerugian tertinggi melibatkan aset awam dan infrastruktur bernilai RM380.7 juta, diikuti tempat kediaman sebanyak RM168.3 juta dan sektor pertanian berjumlah RM120.6 juta.

Sektor lain yang turut terkesan termasuk premis perniagaan, khususnya dalam sektor perkhidmatan (RM53.2 juta), kenderaan (RM22.3 juta) serta sektor pembuatan (RM10.3 juta).

Dari sudut geografi, Johor mencatatkan kerugian tertinggi pada tahun 2023 dengan nilai RM275.0 juta.

Daerah Batu Pahat merekodkan kerugian terbesar iaitu RM104.8 juta, diikuti Segamat sebanyak RM54.6 juta, mencerminkan tahap keterdedahan kawasan berisiko tinggi terhadap kejadian banjir berskala besar.

Trend kerugian ini dilihat semakin membimbangkan apabila Laporan Khas Kajian Impak Banjir di Malaysia 2024 menunjukkan peningkatan ketara kepada RM933.4 juta, bersamaan 0.05 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal.

Pada tahun tersebut, Kelantan mencatatkan kerugian tertinggi iaitu RM263.0 juta, dengan daerah Pasir Mas (RM58.0 juta), Besut (RM46.2 juta) dan Tumpat (RM38.6 juta) antara kawasan paling terjejas.

Kelantan mencatatkan kerugian tertinggi akibat banjir pada tahun 2024 (Kredit Gambar : Utusan Malaysia)

Peningkatan paling drastik dapat dilihat pada kerugian tempat kediaman, yang melonjak daripada RM168.3 juta pada tahun 2023 kepada RM372.2 juta pada tahun 2024.

Sektor pertanian turut mencatat peningkatan signifikan daripada RM120.6 juta kepada RM185.2 juta, sekali gus menjejaskan keterjaminan makanan dan pendapatan komuniti luar bandar.

Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM2.2 bilion bagi meneruskan pelaksanaan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkeutamaan tinggi, termasuk 12 projek RTB baharu yang dirancang bermula pada tahun 2026.

Antara projek-projek tersebut ialah :

1.         RTB Sungai Mengkibol, Mukim Kluang, Kluang, Johor

2.         RTB Sungai Chaah, Segamat, Johor

3.         RTB Sungai Temin/Bata, Kubang Pasu, Kedah

4.         RTB Sungai Lenggeng, Seremban, Negeri Sembilan

5.         RTB Sungai Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan

6.         RTB Sungai Jimah Fasa 2, Port Dickson, Negeri Sembilan

7.         RTB Sungai Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan

8.         RTB Sungai Nyiur, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang

9.         RTB Sungai Trong, Larut, Matang Dan Selama, Perak

10.       RTB Sungai Buloh Fasa 2, Selangor

11.       RTB Sungai Buaya, Kuala Nerus, Terengganu

12.       RTB Anak Sungai Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu

Fokus kepada sistem sungai utama dan anak sungai di negeri-negeri berisiko tinggi mengurangkan kekerapan banjir kilat dan limpahan sungai di kawasan bandar serta separa bandar.

Pelaksanaan 43 projek RTB berkeutamaan tinggi, termasuk 12 projek baharu bermula 2026, merupakan langkah yang tepat dari sudut perancangan jangka sederhana.

Namun, ketiadaan projek RTB baharu di Kelantan menimbulkan persoalan dasar yang signifikan, memandangkan negeri itu mencatatkan kerugian tertinggi akibat banjir pada tahun 2024.

Apa pun kebarangkalian faktor yang menyumbang kepada keadaan tersebut, jika dilihat  dari sudut keadilan risiko dan keperluan sebenar, Kelantan wajar diberi keutamaan tambahan, khususnya melalui pendekatan RTB berskala lembangan sungai (river basin management) yang lebih menyeluruh dan tidak terhad kepada projek berasingan.

Tragedi tanah runtuh dan banjir buruk yang berlaku di Sabah pada September tahun lalu meninggalkan impak yang mendalam kepada seluruh masyarakat Malaysia kerana telah mengorbankan 14 nyawa.

Kejadian banjir dan tanah runtuh di Sabah yang meragut belasan nyawa mengukuhkan rasional inisiatif Belanjawan 2026 dalam mempertingkat kesiapsiagaan menghadapi bencana (Kredit Gambar : Laman Web Rasmi Ketua Menteri Sabah)

Meskipun peruntukan segera sebanyak RM10 juta telah disalurkan kepada mangsa banjir di Sabah melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ketika itu, kerajaan bahkan meningkatkan lagi usaha dalam memperkukuhkan lagi pengurusan bencana di Malaysia khususnya di Sabah.

Oleh itu, dengan peruntukan RM220 juta, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya yang rosak dan uzur akan dibangunkan semula.

Di Inanam pula, sejumlah RM39 juta telah diluluskan bagi projek tebatan banjir fasa kedua serta pembinaan semula sebuah blok sekolah yang terjejas akibat bencana.

Inisiatif ini mencerminkan kesedaran bahawa banjir turut menjejaskan kesinambungan pendidikan dan ia dijangka berjaya dalam mengurangkan gangguan pembelajaran, namun keberkesanannya bergantung kepada reka bentuk bangunan yang benar-benar berdaya tahan terhadap banjir, bukan sekadar pembaikan fizikal konvensional.

Bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana, NADMA akan menerima peruntukan RM460 juta pada tahun 2026.

Dana ini termasuk penambahan 10 kompleks tandas lengkap dengan bekalan air bersih di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), yang juga boleh dimanfaatkan oleh murid sekolah apabila diperlukan.

Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bakal dilengkapi dengan kemudahan tandas untuk keselesaan mangsa bencana (Kredit Gambar : Utusan Borneo)

Ia merupakan langkah praktikal yang sering terlepas pandang, namun penting dari sudut kesihatan awam dan maruah mangsa bencana.

Inisiatif ini berpotensi berjaya dalam meningkatkan kualiti pengurusan bencana, namun masih memerlukan penyelarasan yang lebih baik antara agensi persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Kerajaan Persekutuan turut membenarkan kerajaan negeri menggunakan dana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi memperoleh Jambatan Panel Keluli Bermodular (Bailey Bridge) serta melaksanakan kerja pembesaran longkang dan parit di jalan negeri yang rosak, terlalu sempit atau tidak selamat.

Kebenaran menggunakan dana MARRIS bagi pembinaan Bailey Bridge serta pembesaran longkang dan parit memberi fleksibiliti kepada kerajaan negeri untuk bertindak pantas.

Bailey Bridge atau jambatan sementara yang memudahkan pergerakan bantuan dan penduduk pascabencana (Kredit Gambar : Kementerian Kerja Raya)

Inisiatif ini dijangka berkesan dalam menangani isu akses dan keselamatan pasca banjir, namun keberhasilannya bergantung kepada kecekapan perancangan dan keutamaan projek di peringkat negeri.

Menurut Laporan Tahunan NADMA 2024, NADMA telah melaksanakan perolehan lima (5) unit Bailey Bridge yang terdiri daripada 60 unit kontena sebagai inisiatif kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Ia berfungsi sebagai jambatan sementara yang dapat menggantikan jambatan kekal yang rosak atau musnah akibat bencana alam seperti banjir besar, tanah runtuh, atau bencana lain yang sering berlaku di Malaysia.

Pembinaan jambatan ini bukan sahaja mempercepatkan penghantaran bantuan kemanusiaan, tetapi juga pergerakan aset penyelamat atau pemindahan mangsa bencana ke lokasi yang lebih selamat.

Dalam aspek pendigitalan dan amaran awal, RM210 juta diperuntukkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membangunkan Sistem Amaran Awal (Early Warning System, EWS).

Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan bencana dan pengurusan krisis, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda.

Pembangunan sistem ini merupakan antara langkah paling strategik dalam Belanjawan 2026.

Sekiranya dilaksanakan secara bersepadu dengan data hidrologi, ramalan cuaca dan komunikasi komuniti setempat, EWS berpotensi mengurangkan kehilangan nyawa secara signifikan.

Namun, kejayaannya bergantung kepada faktor “last-mile delivery” iaitu sejauh mana amaran benar-benar difahami dan dipatuhi oleh penduduk berisiko.

Pada masa yang sama, GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN) melalui geran padanan bernilai RM20 juta akan terus memainkan peranan dalam membantu kebajikan mangsa bencana.

Usaha pencegahan lain turut dilaksanakan termasuk peruntukan melebihi RM260 juta bagi kerja-kerja pencegahan, penyelenggaraan dan pembaikan cerun di seluruh negara, termasuk Jalan Persekutuan, serta RM55 juta untuk membersih dan menaik taraf longkang dan parit di semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, pengenalan Program Insurans Kaptif MADANI oleh Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) juga merupakan langkah baharu yang progresif dalam pengurusan risiko negara, berpotensi mengurangkan kebergantungan jangka panjang kepada dana awam pasca bencana.

Inisiatif ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada dana awam dengan menyalurkan pembiayaan risiko melalui platform insurans yang lebih cekap serta kos efektif.

Dalam jangka pendek, statistik kerugian akibat banjir dijangka kekal tinggi atau meningkat sederhana, didorong oleh perubahan iklim, pembangunan pesat dan peningkatan nilai aset.

Namun, sekiranya semua inisiatif ini dilaksanakan secara konsisten dan bersepadu, kerugian relatif sebagai peratusan KDNK berpotensi distabilkan atau menurun dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.

Pengurangan paling ketara dijangka melibatkan kehilangan nyawa, gangguan perkhidmatan asas dan tempoh pemulihan pasca bencana.

Ini sejajar dengan sasaran utama dan tindakan NADMA yang ingin mengurangkan bilangan orang yang terjejas bencana menjelang tahun 2030, mengurangkan kerugian langsung ekonomi akibat bencana dan mengurangkan kerosakan kepada infrastruktur kritikal dan gangguan kepada bekalan asas.

Namun, tanpa peluasan projek RTB ke negeri-negeri paling terjejas seperti Kelantan secara lebih agresif, jurang impak antara wilayah berisiko tinggi dan sederhana berkemungkinan akan terus melebar.

Secara keseluruhannya, inisiatif Belanjawan 2026 menunjukkan hala tuju yang betul dan komprehensif dalam menangani isu banjir.

Cabaran utama bukan lagi kekurangan peruntukan, tetapi keutamaan wilayah, keberkesanan pelaksanaan dan integrasi antara infrastruktur fizikal, sistem digital serta pengurusan risiko kewangan.

Tanpa penyesuaian berterusan berdasarkan data impak sebenar, banjir akan terus menjadi kos tahunan yang besar kepada negara, meskipun pelbagai inisiatif telah diperkenalkan.

Rujukan :

Agensi Pengurusan Bencana Negara. (2024). Laporan Tahunan 2024 Agensi Pengurusan Bencana Negara. Jabatan Perdana Menteri Agensi Pengurusan Bencana Negara. https://www.flipbookpdf.net/web/site/3b20786c7a8dbdcb9fd462ae0a9eac4fa7bf3a01FBP20643510.pdf.html#page/1

- Advertisement -

Agensi PengurusanBencana Negara. (2023). Laporan Tahunan 2023 Agensi Pengurusan Bencana Negara. Jabatan Perdana Menteri Agensi Pengurusan Bencana Negara. https://www.nadma.gov.my/images/2024/RujukanDalaman/LAPORAN_TAHUNAN_NADMA_2023.pdf

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2024). Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2023. Portal Rasmi Kementerian Ekonomi Jabatan Perangkaan Malaysia. https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/special-report-on-impact-of-floods-in-malaysia-

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2025). Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2024. Portal Rasmi Kementerian Ekonomi Jabatan Perangkaan Malaysia. https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/special-report-on-impact-of-floods-in-malaysia-2024

Kementerian Kewangan Malaysia. (2025). Ucapan Belanjawan 2026. Portal Belanjawan Kementerian Kewangan. http://belanjawan.mof.gov.my/pdf/belanjawan2026/ucapan/ub26.pdf

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article