Jambatan Batang Igan bukan sekadar projek infrastruktur, tetapi bukti nyata bahawa pembangunan ini akan membuka ruang baharu dan transformasi di wilayah tengah bagi memberikan kehidupan yang lebih baik bagi rakyat Sarawak terutama di kawasan pesisir Sarawak.
Pembukaan jambatan ini sepanjang 1,439.4 meter yang bernilai RM285.5 juta pada 15 Mac 2026 nanti mengakhiri penantian penduduk yang tinggal berhampiran di Igan, Matu dan Daro.
Daerah Igan terletak kira-kira 50 kilometer dari Bandar Mukah, manakala hubungan antara Igan dan Matu sebelum ini hanya bergantung kepada feri menyeberangi Batang Igan yang mengambil masa sekitar 30 minit untuk satu perjalanan.
Keadaan lebih menyukarkan pada hujung minggu dan musim perayaan, tempoh perjalanan boleh melebihi satu jam termasuk masa menunggu.
Kawasan luar bandar seperti di kawasan Matu, Daro dan Pulau Bruit dijangka mengalami lonjakan ekonomi selepas jambatan siap. Kawasan tersebut agak terkebelakang sebelum ini dengan aktiviti ekonomi tradisional berasaskan pertanian dan perikanan. disebabkan tiada akses dan menyukarkan perancangan untuk pembangunan.
Kebanyakan penduduk di sini berhijrah ke luar kawasan dan secara tidak langsung membantutkan pembangunan di kawasan tersebut.
Pembinaan Jambatan Batang Igan akan menjadi pemangkin utama untuk meningkatkan mobiliti, membuka peluang ekonomi baharu, dan memperkukuh hubungan sosioekonomi antara ketiga-tiga kawasan ini selain menjadi pelengkap kepada Jambatan Muara Lassa (di sebelah Daro) yang telah pun siap pada Januari 2025.
Sudah pastinya, dengan penyiapan Jambatan Igan, penduduk tidak lagi terdedah kepada risiko feri rosak, cuaca buruk atau laluan berbahaya kerana laluan darat yang lebih selamat dan boleh diakses sepanjang masa.
Rungutan masa menunggu terlalu lama menggunakan feri yang mengambil masa 1 ke 3 jam masa akan dipendekkan menjadi 10 minit menggunakan jambatan ini, nyawa pesakit dapat diselamatkan dengan membawa ke hospital dengan segera, murid tidak lagi tercicir dalam pelajaran sebab sudah ada akses ke sekolah dan kerugian petani dapat dielakkan sebab hasil pertanian boleh dipasarkan lebih luas dan cepat.
Dari perspektif lain, projek jambatan ini melambangkan komitmen tinggi tidak berbelah bahagi Sarawak untuk memaju kawasan luar bandar ini dengan mengambil alih projek ini walaupun berdepan detik-detik mengecewakan pada awal pelaksanaan projek ini apabila projek ini pernah dibatalkan oleh Kerajaan Pakatan ketika itu walaupun telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).







