- Advertisement -
5,226
published news
and counting

Sokong Pembaharuan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam

Must read

Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) diletakkan sebagai keutamaan dengan memperkasa Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR), iaitu sebuah pasukan yang menerajui agenda ini.

Peranan utama STAR adalah memacu transformasi pentadbiran awam dengan memberi tumpuan kepada penambahbaikan proses kerja dan penghapusan kerenah birokrasi.

Sehubungan itu, sebanyak RM25 juta diperuntukkan kepada STAR untuk mempergiat usaha pendigitalan menyeluruh termasuklah mempercepat pembangunan infrastruktur dan inovasi baharu dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Secara dasarnya, pelaksanaan ARPA digerakkan melalui lima (5) objektif utama:

  1. Memperkukuh budaya integriti dan penghayatan nilai murni dalam perkhidmatan awam bagi memastikan amalan tadbir urus yang telus, berakauntabiliti dan berteraskan etika profesional dapat dilaksanakan secara konsisten.
  2. Membangunkan modal insan yang kompeten, berdaya saing dan berpandangan strategik selaras dengan keperluan perkhidmatan awam yang dinamik dan menuntut kebolehsuaian terhadap perubahan persekitaran semasa serta cabaran masa hadapan.
  3. Menstruktur semula organisasi perkhidmatan awam ke arah yang lebih cekap, responsif dan berdaya tahan melalui penambahbaikan struktur pentadbiran dan proses kerja yang menyokong pelaksanaan dan dasar secara efektif dan efisien.
  4. Menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan berasaskan keperluan rakyat dengan memberi penekanan kepada perkhidmatan yang mesra pengguna, berorientasikan digital dan berimpak tinggi terhadap kesejahteraan rakyat.
  5. Mengukuhkan kerjasama strategik antara sektor awam, swasta dan komuniti dalam usaha membina ekosistem pembangunan negara yang inklusif, kolaboratif dan mampan.

Melalui pendekatan bersepadu yang menjunjung prinsip Whole-of-Government (WoG) dan Whole-of-Nation (WoN) yang diterapkan dengan nilai integriti, inovasi dan kolaborasi, ARPA menggerakkan transformasi sistem penyampaian yang bukan sekadar efisien, malah benar-benar memberi makna dalam kehidupan rakyat.

Hasilnya, sebanyak 1,000 projek/program berjaya diselaraskan dan yang paling signifikan adalah penjimatan kos pematuhan dapat dicapai sehingga RM1.1 bilion.

Lebih membanggakan, keberhasilan tersebut telah meletakkan Malaysia melonjak ke kedudukan ke-23, menaik 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia pada tahun 2025.

Hal ini membuktikan langkah pembaharuan tadbir urus pelaksanaan projek dan program dalam perkhidmatan awam ternyata membuahkan hasil.

Kejayaan ini juga memberi keyakinan bahawa Malaysia mampu melonjak jauh dengan tekad dan iltizam seluruh jentera kerajaan yang diperkukuhkan lagi menerusi sinergi erat di antara sektor awam dengan sektor swasta.

Dalam hal ini, Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) 2030 turut disokong dalam belanjawan bagi mempercepat pembangunan infrastruktur dan inovasi baharu.

Menurut laman sesawang rasmi Jabatan Perdana Menteri, faktor yang menyumbang kepada peningkatan daya saing negara adalah prestasi ekonomi yang menyeluruh serta kecekapan kerajaan yang mantap.

Faktor-faktor lain yang turut menyumbang termasuklah aktiviti perniagaan yang lebih cekap, pasaran buruh lebih tangkas dan kemajuan teknologi yang mula menampakkan impak.

Belanjawan 2026 turut mencerminkan tekad dalam menyokong peralihan penyampaian perkhidmatan kerajaan ke arah Kerajaan Digital atau apa yang disebut sebagai GovTech (Government Technology).

Ini bermakna, sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan akan digitalkan secara menyeluruh bagi memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan.

Konsep GovTech merujuk pendekatan WoG yang bertujuan melaksanakan pendigitalan sektor awam secara sistematik, cekap dan bersepadu dengan memanfaatkan data dan teknologi digital secara optimum.

Pendekatan ini menekankan integrasi teknologi digital dalam keseluruhan operasi pentadbiran kerajaan bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan.

Pada masa yang sama, pendigitalan dapat merapatkan jurang di antara kerajaan dengan rakyat selain memenuhi keperluan rakyat dan pihak berkepentingan.

Fokus utama pendekatan ini tertumpu pada pengembangan pelaksanaan MyDigital ID serta pemerkasaan kepakaran dalaman, iaitu Unit GovTech Malaysia yang berperanan membangunkan aplikasi digital kerajaan.

MyDigital ID akan diperluas ke sektor utama seperti kewangan, telekomunikasi, e-dagang dan kesihatan dengan sasaran peningkatan lebih 15 juta pengguna menjelang tahun 2026.

MyDigital ID adalah inisiatif kerajaan dalam menyelesaikan isu keselamatan identiti digital yang selamat dan dipercayai.

Pengguna tidak perlu risau tentang keselamatan data peribadi kerana pengesahan identiti merujuk terus ke pangkalan data kerajaan tanpa menyimpan sebarang data peribadi dan pada masa yang sama menggantikan sistem MyKad.

Antara kelebihan yang ada pada MyDigital ID adalah pengguna hanya memerlukan satu kata laluan untuk mengakses pelbagai aplikasi dan portal dalam talian kerajaan yang lain.

Aplikasi identiti tunggal seumpama ini telah pun dilaksanakan dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak yang dinamakan SarawakPass.

SarawakPass adalah evolusi daripada SarawakID yang diperkenalkan sejak 2018 dalam usaha Kerajaan Sarawak memperkukuh kecekapan dan integrasi dalam tadbir urus digital.

Bagi memperkasa Unit GovTech Malaysia, sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi membangunkan lebih banyak aplikasi digital kerajaan.

Dalam pada itu, Kiosk MADANI akan diperluas di seluruh negara secara berperingkat sebagai satu lagi usaha penting dalam memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan secara terus.

Pelaksanaannya membolehkan rakyat mengakses perkhidmatan dalam talian kerajaan di luar waktu pejabat merangkumi perkhidmatan semakan dan pembayaran saman, cetakan dokumen rasmi, bayaran cukai dan pelbagai urusan agensi kerajaan yang lain.

Inisiatif ini turut diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan rakan-rakan korporat kerajaan sejajar dengan Teras Keberhasilan Keempat ARPA.

Sebagai kesinambungan inisiatif transformasi perkhidmatan awam, penambahbaikan perkhidmatan Pusat Transformasi Bandar (UTC) secara berfasa akan dilaksanakan di seluruh negara di bawah peruntukan RM45 juta.

Peruntukan tersebut juga akan dibelanjakan untuk menambah baik perkhidmatan Hab Bantuan Tunai, Hab Kerjaya Awam dan Kios Sentuhan MADANI.

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2026 bukan sekadar dokumen fiskal, tetapi juga menyokong dasar pembaharuan sektor perkhidmatan awam negara.

- Advertisement -

Langkah pendigitalan menyeluruh perkhidmatan sektor awam memperlihatkan kesungguhan dalam memudahkan urusan rakyat dan memperkukuh integrasi di antara rakyat dengan kerajaan.

Usaha ini bukan saja membolehkan rakyat menikmati penyampaian perkhidmatan awam yang mudah diakses dan telus malah lebih daripada itu menguatkan lagi kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Lebih penting, pembaharuan inklusif terhadap kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan berupaya meningkatkan daya saing negara di peringkat global.

Rujukan:

  1. https://belanjawan.mof.gov.my/pdf/belanjawan2026/ucapan/ub26.pdf
  2. https://www.pacu.gov.my/agenda-reformasi-perkhidmatan-awam/
  3. https://www.pacu.gov.my/pengenalan-star-24/#:~:text=Peranan%20utama%20STAR%20adalah%20untuk,kerja%20dan%20penghapusan%20kerenah%20birokrasi.
  4. https://dewanmasyarakat.jendeladbp.my/2026/01/15/34672/?_gl=1*dcglg0*_ga*MTA5MTI1ODQyNi4xNzUwMDU2NDU5*_ga_5TE4Z3DN2W*czE3Njk1NTgwNzMkbzc5JGcxJHQxNzY5NTU4MTEzJGoyMCRsMCRoMA..*_ga_RBRV0N7ECD*czE3Njk1NTgwNzMkbzEkZzEkdDE3Njk1NTgxMTMkajIwJGwwJGgw&_ga=2.95897244.180609286.1769558074-1091258426.1750056459
  5. https://www.jdn.gov.my/govtech-kerangka-whole-of-government-wog/
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article