- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

Sangkar Ikan Sumbang Pendapatan

Must read

Sejak tahun 2002, seramai 10 orang peserta yang terlibat dengan Projek Sangkar Ikan di Kampung Suyong Balingian tidak menyangka akan mampu meraih pendapatan yang agak lumayan dengan hanya mengusahakan ikan tilapia merah dalam sangkar.

Sebelum ini, para peserta berkenaan yang terdiri daripada penduduk kampung perlu bekerja sekerat hari turun ke laut, menebang batang rumbia untuk dijual ataupun bekerja dengan pihak swasta.

Namun, hasil yang diperoleh mereka tidak menentu terutama bagi mereka yang turun ke laut.

Tetapi, semenjak tahun 2002 gaya hidup mereka telah berubah setelah Jabatan Pertanian menyalurkan bantuan bagi memulakan projek ternakan ikan tilapia dalam sangkar.

Sejumlah kira-kira RM125 ribu telah disalurkan bagi projek ini yang merangkumi struktur sangkar, jejaring, stor makanan, makanan ikan serta benih ikan untuk pusingan pertama.

Projek Sangkar Ikan Air Tawar Kampung Suyong merupakan projek pertama seumpamanya di Bahagian Mukah yang terletak dalam kawasan Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Balingian.

Kumpulan itu mengusahakan 40 unit sangkar (saiz 3m x 3m x 3m seunit) yang terletak di kawasan tebingan Batang Balingian yang terkenal dengan keenakan udang galahnya.

Kawasan itu dipilih kerana kedudukannya yang strategik dari segi kedalaman dan aliran pasang surut sungai.

Menurut En. Lim Choon Huat, ketua kumpulan bagi projek berkenaan, projek sangkar ikan tilapia merah mereka telah menjana pendapatan mencecah RM62 ribu yang membabitkan hasil tuaian berjumlah kira-kira 10 tan metrik pada tahun lalu.

Permintaan pasaran juga tinggi dengan harga borong kira-kira RM6.50 sekilogram dan RM10.00 sekilogram untuk harga runcit.

Katanya, setiap sangkar ikan memuatkan sejumlah antara 300 hingga 500 ekor ikan tilapia. Ikan-ikan berkenaan akan dapat dijual selepas enam bulan.

Jelas En. Lim, mereka tidak mempunyai sebarang masalah dalam soal penjagaan ikan. Ini kerana setiap ahli kumpulan mempunyai tanggungjawab masing-masing, dari pembelian bekalan makanan sehingga kepada perkara pengurusan stor dan stok.

Malah, mereka juga mempunyai jadual penjagaan harian yang membolehkan ahli yang tidak mempunyai tugas pada hari berkenaan melakukan kerja lain seperti menebang rumbia dan bercucuk tanam untuk menambah pendapatan keluarga.

Ketika ini, kawasan pasaran bagi ikan tilapia mereka ialah di sekitar pekan Balingian, Mukah, Selangau serta Bandar Bintulu dan Sibu.

Katanya, minat untuk melibatkan diri dalam usaha itu timbul setelah ahli kumpulan melihat kejayaan projek yang sama di Batang Ai, Sri Aman. Di samping itu, kesungguhan pihak Jabatan Pertanian untuk membantu turut menjadikan minat mereka menjadi kenyataan.

Namun menurutnya, masalah yang paling ketara ketika ini ialah untuk mendapatkan bekalan benih atau anak ikan tilapia secara berterusan. Ia memandangkan bekalan benih yang terhad di samping kos pengangkutan yang agak tinggi dan berisiko bagi kematian anak ikan yang dibawa dari Kuching.

Walau bagaimanapun, masalah itu akan dapat ditangani dalam tahun ini kerana Jabatan Pertanian telah merancang untuk memberi latihan komprehensif tentang pembiakan ikan tilapia kerana para peserta projek berkenaan.

Menurut En. Kairulnieza Waynie, Pen. Pegawai Perikanan Bahagian Mukah, usaha itu amat perlu memandangkan ia mampu mengurangkan kos dan seterusnya mampu meningkatkan pendapatan para pengusaha.

Malah usaha itu juga akan membantu mengelakkan masalah sangkar dalam keadaan kosong untuk jangkamasa yang lama.

En. Kairulnieza juga menjelaskan keunikan tilapia merah yang diternak di Batang Balingian ialah dari segi tekstur isinya yang pejal serta rasanya yang manis.

Ia berikutan perubahan air pasang surut yang berlaku setiap hari di Batang Balingian. Air pasang surut itu telah membawa masuk air laut ke Batang Balingian yang kemudiannya bertemu dengan air tawar dari ulu sungai.

Sementara itu, pihaknya juga mengunjurkan projek itu mempunyai potensi yang amat baik untuk terus maju dan dapat menjana pendapatan antara RM50 ribu dan RM70 ribu setahun pada tahun-tahun akan datang.

Bersandar kepada perkembangan pesat di Bahagian Mukah serta jalinan jalan raya pesisir yang akan menghubungkan Bahagian Mukah ke Bintulu, En. Kairulnieza yakin unjuran itu akan mampu dicapai oleh para peserta projek berkenaan.

Sementara itu, menurut En. Frederick Uloh, Pem. Pertanian Menguasa Jabatan Pertanian Balingian, keyakinan serta komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta selama ini telah banyak membantu kumpulan itu menjadi Johan Pengusaha Jaya Ternakan Ikan (Sangkar) bagi Kategori Penternak Ikan/Udang pada Pertandingan Peladang, Penternak dan Nelayan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak 2006.

Ia merupakan pencapaian terbaik kumpulan berkenaan setelah berjaya merangkul Naib Johan pada tahun sebelumnya atas daya usaha dan komitmen cemerlang yang telah ditunjukkan mereka.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article