- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

Program STF II

Must read

YB Datin Hjh Fatimah Abdullah, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Sumber Manusia dan Latihan) dan Menteri Muda Pertanian (Ekonomi Rumahtangga dan Latihan) mendukung bayi milik salah seorang peserta Program Sejahtera Task Force (STF) II di Kg Penibong, Pulau Bruit, Daro baru-baru ini. Turut kelihatan ialah YB Dato Sri Haji Mohamad Asfia bin Awang Nassar, Speaker Dewan Undangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop (kanan) dan ADUN Jemoreng Abu Seman Jahwie (bertopi). Program STF dilaksanakan secara bersepadu dan fokus untuk menangani tiga isu yang saling berkaitan iaitu kemiskinan, pendidikan dan kesihatan. Program itu merupakan salah satu usaha drastik kerajaan untuk membasmi masalah kemiskinan di kalangan keluarga miskin di wilayah tengah Sarawak, khususnya di Pulau Bruit

Program Sejahtera Task Force (STF) II kini dilaksanakan di Kg Penibong dan Kg Penuai di Pulau Bruit, Daro sebagai salah satu usaha drastik kerajaan untuk membasmi masalah kemiskinan di kalangan keluarga miskin di wilayah tengah Sarawak, khususnya di Pulau Bruit.

Hampir kesemua keluarga di dua buah kampung itu bergantung hidup kepada tangkapan hasil laut dan juga aktiviti pertanian yang sememangnya sukar untuk diramalkan pulangannya kepada pendapatan keluarga.

Keadaan menjadi lebih sukar pada musim tengkujuh yang selalunya berlanjutan selama kira-kira empat bulan kerana laut bergelora sehingga mereka tidak dapat keluar mencari rezeki dan turun ke pasar mendapatkan keperluan harian.

Satu-satunya cara perhubungan ke situ adalah menggunakan jalan air. Jika menggunakan bot laju (sekurang-kurangnya 200 kuasa kuda) akan mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan dari terminal penumpang bot ekspress di Bandar Sibu.

Sungguhpun demikian, kerajaan masih tidak melupakan nasib keluarga berkenaan sebaliknya menjadikan kejayaan perintis Program STF yang dilaksanakan di Kg Penipah, Pulau Bruit sejak Oktober 2005 sebagai dorongan untuk membawa projek STF yang serupa ke dua buah kampung berkenaan.

Kg Penibong dan Kg Penuai telah dikenalpasti berhadapan dengan masalah isi rumah miskin tegar dan mempunyai kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun yang mengalami masalah kurang berat badan yang kritikal dan sederhana akibat kekurangan zat makanan (KZM).

Perkara itu dijelaskan oleh YB Datin Hjh Fatimah Abdullah, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Sumber Manusia dan Latihan) dan Menteri Muda Pertanian (Ekonomi Rumahtangga dan Latihan) ketika melancarkan program itu di Kg Penibong, Pulau Bruit baru-baru ini.

Menurut Datin Hjh Fatimah, kejayaan program perintis STF di Kg Penipah yang melibatkan 20 buah isi rumah miskin serta seramai 22 kanak-kanak KZM merupakan dorongan utama untuk kerajaan meluaskan program STF ke kampung-kampung lain di Pulau Bruit.

Hasil program itu amat memberansangkan apabila pendapatan bulanan isi rumah berkenaan bertambah sebanyak sekurang-kurangnya RM200.00 melalui inisiatif peningkatan kemahiran dan aktiviti ekonomi para suri rumah yang terpilih.

Sebahagian besar daripada kanak-kanak KZM itu juga telah mencapai tahap berat badan yang normal.

Pada masa yang sama, tidak berlaku masalah keciciran pelajar sekolah rendah sepanjang pelaksanaan program itu yang melibatkan jangka masa selama setahun.

Jelas Datin Hjh Fatimah, Sarawak mencatatkan kira-kira 50 peratus kemiskinan pada awal kemerdekaan dan kini peratusannya semakin menurun kepada kurang 10 peratus.

Katanya, kerajaan Sarawak juga telah mensasarkan kadar kemiskinan sifar dan akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan sasaran itu tercapai menjelang tahun 2020.

Kg Penibong mempunyai 67 buah rumah dengan 425 orang penduduk sementara Kg Penuai mempunyai 22 pintu yang dihuni oleh 105 orang penduduk.

Sejumlah 23 buah isi rumah miskin telah dikenalpasti di kedua-dua kampung itu. Sebanyak 19 daripadanya tergolong di dalam kategori kemiskinan tegar.

Seramai 20 orang kanak-kanak dari 16 buah isi rumah pula menghadapi masalah KZM kerana mempunyai berat badan teruk dan sederhana.

Dalam usaha menangani masalah kemiskinan dan meningkatkan pendapatan keluarga, seramai 16 suri rumah telah dipilih untuk menyertai projek ekonomi di dua kampung berkenaan. 13 orang daripadanya merupakan suri rumah dari Kg Penibong.

Usaha berkenaan melibatkan pemprosesan hasil laut, kuih-muih, sagu dan tebaloi.

Turut hadir dalam majlis pelancaran itu ialah YB Dato Sri Haji Mohamad Asfia bin Awang Nassar, Speaker Dewan Undangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop. ADUN Daro Murni Suhaili, ADUN Jemoreng Abu Seman Jahwie, Residen Mukah, Pegawai-pegawai Daerah serta ketua-ketua jabatan.

Pada majlis itu, Datin Hjh Fatimah turut menyampaikan Bakul Makanan Seimbang kepada 20 kanak-kanak KZM. Setiap satunya mengandungi pelbagai jenis makanan seimbang yang bernilai kira-kita RM100.

Sepasukan empat orang kakitangan Kuching Specialist Hospital turut mengadakan rawatan serta pemeriksaan kesihatan asas secara percuma kepada para penduduk kampung.

Peluang untuk mendapatkan perkhidmatan kebajikan oleh hospital swasta berkenaan telah digunakan dengan sebaik-baiknya oleh kira-kira 100 orang penduduk kampung yang turut hadir menyaksikan majlis berkenaan.

Latar Belakang STF II

  • Kajian Sosio-ekonomi dan Pemakanan yang dijalankan oleh Institut Pembangunan Sarawak (SDI) bagi pihak Unit Perancang Negeri (SPU) di kalangan isi rumah yang mempunyai anak-anak di bawah umur tujuh tahun di kawasan Hilir Rejang pada tahun 2003, mendapati bahawa kawasan terutama di Daerah Daro dan Dalat, khususnya di Pulau Bruit sedang menghadapi masalah kekurangan zat makanan (KZM) dan kemiskinan pada kadar yang tinggi.
  • Tiga faktor dikaitkan dengan masalah KZM itu ialah kemiskinan keluarga, tahap kesihatan dan pendidikan yang rendah.
  • Susulan itu, sebuah jawatan kuasa yang dikenali sebagai Sejahtera Task Force (STF) yang dipengerusikan oleh YB Datin Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Sumber Manusia dan Latihan) dan Menteri Muda Pertanian (Ekonomi Rumahtangga dan Latihan) telah dibentuk pada tahun 2005.
  • Objektif penubuhannya adalah untuk menangani tiga faktor berkenaan. Jawatan kuasa yang dibentuk itu dianggotai oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan seperti Kementerian Pemodenan Pertanian, Jabatan Pertanian, Jabatan Kesihatan, Yayasan Kemajuan Insan (YAKIN) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sarawak.
  • Kejayaan program perintis STF fasa satu di Kg Penipah telah mendorong kerajaan meneruskan Program STF (kini fasa dua) ke kampung-kampung lain di Pulau Bruit. Program serupa juga telah dilancarkan di Kg Sg Kut Muara dan Kg Sg Kut Tengah di Dalat pada November 2006.

Objektif STF

  • Membasmi kemiskinan khususnya kemiskinan tegar dengan meningkatkan pendapatan isi rumah melalui peningkatan kemahiran, penyediaan latihan dan bantuan ekonomi berkaitan dengan pekerjaan mereka
  • Membasmi masalah kekurangan zat makanan dalam keluarga dan memperbaiki status kesihatan di kalangan kanak-kanak khususnya mereka yang berumur di bawah tujuh tahun melalui pendidikan, pemeriksaan dan bantuan kesihatan dalam bentuk bakul berisi makanan seimbang
  • Meningkatkan status pendidikan di kalangan kanak-kanak dalam keluarga melalui motivasi, penyediaan kemahiran pengajian, tuisyen serta bahan-bahan bacaan dan memastikan tidak berlaku keciciran di kalangan pelajar
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article