25 C
Kuching
Thursday, January 21, 2021

Karnival Sains dan Inovasi Sarawak 14-16 September 2012

Karnival Sains dan Inovasi sebuah program induk di bawah Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 (SGI2012) akan memeriahkan Tebingan Sungai Kuching pada 14 hingga 16 September 2012.

Karnival anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak ini adalah platform penyaluran dan perkongsian ilmu sains, teknologi dan inovasi dengan tujuan menyemarakkan pembudayaan sains dan inovasi di kalangan masyarakat khususnya pelajar dan belia.

Karnival tersebut merupakan destinasi kelima dan akan diadakan buat pertama kalinya bersama acara Regatta Sarawak bertempat di Tebingan Kuching dengan kerjasama strategik bersama Jabatan Ketua Menteri dan Pejabat Residen Kuching.

Majlis Perasmian Regatta Sarawak dan Karnival Sains dan Inovasi Zon Sarawak akan diadakan secara bersama pada 15 September 2012, jam 10.00 pagi dan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.
Berkonsepkan sains dan inovasi, karnival ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik sesuai untuk seisi keluarga. Di antara aktiviti-aktiviti yang menarik semasa karnival ialah demonstrasi sains, teater tayangan simulasi 5D, pertandingan Technology F1 Challenge, pertandingan robotic, bengkel family Innovation Movement, pameran produk R&D dan akar umbi, ceramah dan bengkel kreativiti, pertandingan mencabar minda untuk berinovasi, aktiviti melayang wau dan laying-layang 3D, pertandingan “Street Dance”, persembahan fesyen kreatif dan wayang pacak.

Rakan-rakan strategik yang akan menjayakan program ini ialah Kerajaan Negeri Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA Samarahan, Kolej Komuniti Kuching, Yayasan Inovasi Malaysia, Yayasan Angkasawan Malaysia, Pusat Sains Negara, Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, Jabatan Meteorologi Cawangan Sarawak, Technology Park Malaysia, Planetarium Sultan Iskandar, Persatuan Wau Kuching.

Program SGI2012 sebuah program nasional dengan tema Sains dan Inovasi Pemacu Transformasi turut memuatkan pelbagai aktiviti pra-Karnival mulai 10 September 2012. Bengkel Inovasi Teknologi Seramik akan dijalankan selama 4 hari di Pusat Innospace Sarawak, SIRIM dengan penyertaan daripada pelajar dan komuniti.

Percubaan mencipta rekod baru dalam The Malaysia Book of Records bagi acara Larian Bergilir Tanpa Henti di atas Treadmill selama 120 jam turut dijalankan untuk menyemai semangat bersukan dan mewujudkan semangat berpasukan serta mencungkil kreativiti dan inovasi pelajar melalui teknologi sukan dan inovasi nutrisi.

Percubaan bagi mencipta rekod baru ini bermula jam 10.00 pagi pada 10 September 2012 di Pusat Pelajar UiTM Samarahan, disempurnakan oleh YB Hajah Nancy Haji Sukri, Ahli Parlimen Batang Sadong.

RoboClinic anjuran SIRIM mulai 11 September hingga 15 September di Perbadanan Produktiviti Malaysia Sarawak dan akan berakhir di tapak Karnival bertempat di Tebingan Kuching.

Program yang berlangsung selama 5 hari ini akan memberikan pendedahan melalui latihan dan bimbingan kepada aplikasi robotic asas, program, pembangunan pengaturcaraan computer Robot Robokit dan pelajar-pelajar akan bertanding dengan hasil ciptaan masing-masing.

Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Yayasan Angkasawan Malaysia (YAM) dengan kerjasama Planetarium Sultan Iskandar (PSI) dan Persatuan Astronomi Sarawak (SAS) turut menganjurkan Angkasawan Showcase pada 12 dan 13 September 2012, bertempat di Planetarium Sultan Iskandar yang bertujuan memberikan pendedahan melalui aktiviti-aktiviti interaktif kepada pelajar dan orang ramai mengenai ilmu astronomi dan sains angkasa.

Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sepanjang dua hari antaranya Angkasawan Spacecamp, Pertandingan Roket Air, Kuiz Sains Angkasa, Pameran Interaktif , Pertandingan Geocaching menggunakan Global Positioning System (GPS) dan Penampilan istimewa Angkasawan Negara, Mejar Dr Faiz Khaleed.

Program Jejak Inovasi juga akan dijalankan iaitu satu inisiatif bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bertujuan untuk mengenalpasti produk-produk inovasi hasil ciptaan masyarakat akar umbi.

Perekacipta di kalangan akar umbi ini secara tidak langsung akan diberi pengiktirafan ke atas usaha dan idea mereka yang Berjaya membangunkan produk tanpa bantuan teknologi canggih tetapi berdasarkan pengetahuan dan kemahiran individu itu sendiri.
Tidak ada bayaran dikenakan kepada para pengunjung untuk menyertai persembahan, melawati pameran sains dan inovasi serta menonton filem 5D dan wayang pacak. Orang ramai dialu-alukan hadir untuk datang beramai-ramai bagi memeriahkan Karnival Sains dan Inovasi serta memanfaatkan aktiviti yang dilaksanakan.

Karnival berlangsung mulai 9.00 pagi  hingga 9.00 malam mulai 14 September sehingga 16 September 2012. Para pengunjung yang menonton Regatta Sarawak turut digalakkan mengunjungi pameran sains dan inovasi serta mencabar minda melalui aktiviti dan pertandingan yang dijalankan.

Turut diadakan Ujibakat Channel Femina, Penyampaian Ramalan Cuaca, Rubiks Challenge serta peluang melawat Planetarium Mini.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

909FansLike
1,667FollowersFollow
21SubscribersSubscribe
- Advertisement -

Latest Articles