25.8 C
Kuching
Wednesday, January 20, 2021

Sarawak Mendapat Hak Penuh Eksploitasi Minyak dan Gas Melalui PETROS

Sarawak telah mendapat kembali hak mengeksploitasi sumber minyak dan gas asli di negeri ini sepenuhnya melalui Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) yang ditubuhkan mengikut peruntukan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg menjelaskan, penubuhan PETROS dan pelaksanaan hak perlembagaan di bawah butiran 2 (c) Senarai Negeri dan 8 (j) Senarai Persekutuan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah hasil perbincangan mengenai penurunan kuasa di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Beliau mengumumkan perkara berkenaan pada Majlis Pelancaran PETROS di Kuching pada 6 Mac 2018 yang turut dihadiri Pengerusi PETROS YBhg Tan Sri Datuk Amar (Dr) Haji Hamid Bugo, Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta beberapa orang menteri kabinet negeri yang lain.

Ketua Menteri amat berterima kasih kepada Perdana Menteri YAB Datuk Patinggi Mohd Najib Tun Abdul Razak yang bersetuju mengembalikan hak Sarawak tersebut seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana bersetuju untuk mengembalikan kuasa negeri yang terhakis secara tidak sengaja selama beberapa tahun. Pelancaran PETROS pada malam ini adalah bukti jelas bahawa kemajuan besar telah dicapai dalam perbincangan berterusan mengenai penurunan kuasa”, kata beliau.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan mengambil alih kuasa dalam mengawal selia sepenuhnya aspek huluan dan hiliran industri minyak dan gas di Sarawak menjelang Julai tahun ini.

PETROS diperbadankan untuk menerajui penyertaan Sarawak dalam sektor minyak dan gas yang dianggap sebagai kepentingan strategik terhadap pembangunan sosio-ekonomi di negeri ini secara keseluruhan.

Menerusi peranan penting dan mandat yang diberikan kepada PETROS dalam sektor minyak dan gas, Ketua Menteri percaya bahawa syarikat milik Kerajaan Negeri itu akan menjadi kuat, berkesan serta cekap selain mengembangkan dan mendatangkan faedah ekonomi yang mapan dan pada masa sama melindungi sumber dan kepentingan Kerajaan Negeri.

Pada majlis tersebut, Ketua Menteri turut mengumumkan pelantikan Encik Saau Kakok, seorang anak tempatan berketurunan Bidayuh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PETROS.

Ketua Menteri yakin bahawa pelantikan Encik Saau untuk menerajui PETROS adalah tepat berdasarkan pengalaman beliau hampir 40 tahun dalam industri minyak dan gas dan pernah memegang jawatan Timbalan Presiden sebuah syarikat minyak bebas yang berpengkalan di Amerika Syarikat untuk rantau Asia.

Ketua Menteri juga memaklumkan PETROS berhasrat untuk menjalinkan kerjasama strategik dalam sektor huluan dan hiliran industri minyak dan gas dengan PETRONAS, seterusnya menyumbang ke arah kemajuan minyak dan gas serta kemajuan ekonomi dan kemakmuran negara.

Previous article
Next article

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

900FansLike
1,667FollowersFollow
21SubscribersSubscribe
- Advertisement -

Latest Articles