25.8 C
Kuching
Wednesday, January 20, 2021

Sarawak komited mengurus alam sekitar melalui penggunaan teknologi terkini

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg menerima cenderahati berupa pasu yang diperbuat daripada bahan kitar semula daripada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Puan Norlin Jaafar pada Majlis Perasmian Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Sarawak 2019 di Kuching, pada 11 November.

Sarawak komited dalam pengurusan dan pemulihan alam sekitar yang baik melalui penggunaan teknologi terkini untuk negeri ini.

Menurut Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Kerajaan Negeri telah pun melaksanakan projek rintis dalam penggunaan teknologi terkini yang baik untuk alam sekitar dengan menghasilkan tenaga hidrogen.

Jelas beliau, penggunaan tenaga hidrogen untuk menggerakkan kenderaan bukan sesuatu yang baharu, malah Sarawak mencontohi negara-negara yang lebih maju seperti Jepun dan Korea dalam penggunaan teknologi tersebut yang mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida.

Berdasarkan perkembangan tersebut, Kerajaan Negeri jelas beliau berhasrat untuk menjadikan tenaga hidrogen sebagai penggerak ekonomi Sarawak pada masa depan, biarpun ada pihak yang merasakan masih terlalu awal untuk Sarawak melaksanakannya.

Walau bagaimanapun, beliau percaya bahawa rakyat Sarawak mempunyai kepakaran dan boleh bekerjasama dengan saintis-saintis dari negara-negara luar dalam meneroka penggunaan teknologi terkini serta tenaga boleh diperbaharui.

Ketua Menteri memaklumkan perkara tersebut ketika merasmikan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Sarawak 2019 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Kuching pada 11 November.

Tambah beliau, Sarawak kaya dengan sumber air dan akan menuju ke arah teknologi hidrogen dan memandangkan pada masa yang sama, Malaysia sudah pun mempunyai Pelan Pembangunan Hidrogen 2017 walaupun masih di peringkat perbincangan.

Ketua Menteri juga menyatakan keyakinan bahawa komitmen Sarawak dalam mengurus alam sekitar secara holistik melalui teknologi terkini akan memberi gambaran masa depan Sarawak yang cerah dalam menangani masalah dan isu alam sekitar.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

900FansLike
1,667FollowersFollow
21SubscribersSubscribe
- Advertisement -

Latest Articles