- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

Koperasi Sekolah Terap Kemahiran Keusahawaan

Must read

Koperasi sekolah merujuk pada koperasi yang ditubuhkan dalam lingkungan sekolah yang mana anggota-anggotanya terdiri daripada para guru dan pelajar sekolah.

Gerakan koperasi sekolah telah bermula di Malaysia pada tahun 1968.

Manakala di Sarawak pula, gerakan koperasi sekolah pertama bermula dengan pendaftaran Koperasi Sekolah Akademik Limbang Berhad di Limbang pada tahun 1976.

Koperasi sekolah SMK Pending Kuching

Koperasi sekolah telah berkembang hingga mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan mengiktiraf kegiatan koperasi sekolah sebagai aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah menengah kerajaan.

Galakan daripada KPM dalam penubuhan koperasi sekolah juga berupaya membentuk keperibadian dalam kalangan warga sekolah.

Penubuhan koperasi sekolah yang berlandaskan matlamat, jati diri dan perundangan koperasi berupaya menyediakan persekitaran sosial yang sihat, iaitu melahirkan masyarakat yang sempurna, kreatif, progresif, bertanggungjawab dan berketerampilan.

Aktiviti koperasi sekolah dianggap unik daripada aktiviti kokurikulum yang lain. Antaranya, ia memberi pengalaman dan pendedahan kemahiran urus niaga.

Hal ini boleh dilihat melalui tujuan penubuhan koperasi sekolah yang disenaraikan oleh KPM dalam memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Negara (FPN) seperti berikut:

  • Memajukan kepentingan sosioekonomi anggota menurut prinsip koperasi;
  • Mengamalkan sikap dan amalan berjimat cermat;
  • Mengamalkan cara hidup masyarakat secara demokratik;
  • Mengamalkan prinsip berdikari;
  • Memberi pengalaman mentadbir, mengurus, membuat keputusan dan memimpin khususnya kepada pemimpin-pemimpin koperasi dalam kalangan pelajar;
  • Menyertai dan mengalami urusan perniagaan; dan
  • Memberi sokongan kepada sekolah segala usaha yang memberi faedah kepada pelajar.

Kebanyakan koperasi sekolah menjalankan aktiviti bersifat kepenggunaan.

Merujuk pada Fasal 8, Undang-undang Kecil Seragam Koperasi Sekolah, koperasi bolehlah menjalankan aktiviti-aktiviti berikut:

  • Menjual peralatan persekolahan serta lain-lain keperluan kepada anggota;
  • Mengadakan aktiviti kelas tambahan atau tuisyen atau kelas komputer untuk faedah kepada anggota;
  • Membeli, menjual, memindah hak milik, mendirikan, menyewa, mencagar, memajak, menggadai dan memiliki harta-harta alih dan harta-harta tak alih;
  • Menyertai usaha sama dan menjadi anggota kepada koperasi lain; dan
  • Mengadakan aktiviti lain yang berfaedah dengan mendapat kebenaran pengetua dan kelulusan mesyuarat agung.

Manakala aktiviti umum koperasi sekolah pula merangkumi aktiviti bercorak ekonomi dan aktiviti bercorak sosial seperti yang disenaraikan dalam Fasal 8 Undang-undang Koperasi.

Aktiviti ekonomi yang menjadi fokus kebanyakan koperasi sekolah melibatkan aktiviti berdasarkan jualan tunai seperti peralatan dan keperluan pelajar seperti buku tulis, buku rujukan dan alat tulis.

Makanan ringan dan minuman juga dijual di kedai koperasi sekolah.

Walau bagaimanapun, pemilihan aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh sesebuah koperasi sekolah bergantung pada modal, keperluan, jenis sekolah dan kerjasama anggota.

Pihak pentadbiran dan pengurusan koperasi perlu sentiasa mencari kaedah meningkatkan penglibatan anggota terhadap aktiviti ekonomi koperasi.

Peranan pihak pentadbir adalah penting dalam kejayaan koperasi.

Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti yang dijalankan oleh koperasi tidak akan berjaya sekiranya anggota yang terdiri daripada kalangan pelajar tidak menyokong aktiviti koperasi dengan sekurang-kurangnya bertindak sebagai pembeli di kedai koperasi.

Selain daripada aktiviti jualan, terdapat juga koperasi sekolah yang menjalankan perkhidmatan kantin, kelas komputer dan penyewaan tempat letak kereta.

Perkembangan gerakan koperasi sekolah di Sarawak juga tidak kurang hebatnya.

Data daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merekodkan sebanyak 191 buah koperasi sekolah di Sarawak yang terdiri daripada 185,850 orang anggota dengan aset bernilai RM36.7 juta dan perolehan sebanyak RM26.9 juta.

Penglibatan pelajar dalam koperasi sekolah melalui bimbingan para guru dalam gerakan koperasi sekolah akan memberikan pelajar pengalaman yang akan diguna pakai apabila mereka menganggotai koperasi lain setelah menamatkan persekolahan.

Selain itu, pengalaman berkoperasi di sekolah juga secara langsung dan tidak langsung mendidik para pelajar tentang asas-asas keusahawanan dan perniagaan.

Pengalaman berkoperasi di sekolah mendidik pelajar asas perniagaan dan keusahawanan
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article