Kenal Pasti Maklumat Salah dan Kesan Penyebarannya

0
119

Pada ketika seluruh dunia kini dilanda pandemik COVID-19, maklumat betul dan tepat mengenai wabak ini sangat diperlukan oleh kita.

Persoalan dari mana datangnya wabak tersebut, apakah ada penawarnya, bagaimana kita boleh kekal selamat daripadanya dan adakah kehidupan kita akan kembali normal seperti sebelum tercetusnya pandemik ini akan bermain di fikiran semua orang.

Dalam berdepan krisis COVID-19, maklumat boleh menjadi penyelamat nyawa secara literal apabila maklumat yang disampaikan betul dan sahih.

Maklumat salah atau misinformation tidak akan membantu sesiapa sahaja, malah boleh memburukkan lagi keadaan, seterusnya mengundang rasa panik di kalangan masyarakat.

Seperti mana virus merebak, maklumat salah yang tersebar boleh menyebabkan apa yang disebut sebagai ‘infodemik’.

Penyebaran maklumat salah dan mengelirukan kini berlaku (ketika pandemik COVID-19) lebih hebat dan berleluasa dan tidak seperti apa yang berlaku sebelum tahun 2020.

Di Malaysia, peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dikenakan kepada individu yang menyebarkan maklumat salah.

Pada Februari lalu, Polis Diraja Malaysia telah mengeluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan undang-undang di bawah peruntukan berkenaan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat salah dan mengelirukan mengenai vaksin COVID-19.

Jika sabit kesalahan, individu yang disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dengan menyebarkan maklumat yang boleh mengundang ketakutan dan kegusaran awam boleh dipenjarakan maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Maklumat salah (misinformation) dan maklumat palsu (disinformation) membawa maksud yang berbeza. Yang membezakan kedua-dua terma ini bergantung pada ‘niat’.

Penggunaan media sosial yang meluas menjadikan pengguna cenderung untuk menyebarkan maklumat salah tanpa mengetahui kebenaran sebenar maklumat yang dikongsikan

Maklumat salah ialah apa-apa jenis maklumat tidak benar yang membuatkan orang percaya dan boleh disahkan silap atau mengelirukan tetapi tidak direka atau dikongsi dengan tujuan untuk menipu.

Berbanding dengan maklumat palsu yang dicipta dan disebarkan untuk memberikan maklumat yang salah dan untuk mencapai matlamat tertentu.

Dengan kata lain, maklumat salah ialah maklumat palsu yang disebarkan tanpa niat untuk memperdaya penerima maklumat tersebut.

Sebaran maklumat salah sering kali berlaku dalam kehidupan harian kita, ditambah dengan sifat semula jadi manusia yang tidak sempurna, kadang kala melakukan kesilapan, mudah lupa dan sering salah faham.

Kita mudah menyampaikan apa yang kita lihat atau dengar di kaca televisyen, radio atau media sosial yang sebenarnya separa benar atau tidak benar sama sekali.

Sekiranya seseorang individu menyebarkan maklumat salah tanpa mengetahui ketepatannya, maka secara teknikal, individu berkenaan telah menyebarkan maklumat yang salah.

Contoh ringkas ialah apabila individu mempelawa rakannya untuk mengikuti acara larian amal yang bermula pada pukul 7 pagi, padahal maklumat yang tepat ialah larian bermula pada pukul 5 pagi dan maklumat yang disampaikan kepada rakan tersebut adalah salah.

Individu tersebut dengan tidak sengaja telah menyebarkan maklumat yang salah kerana beranggapan bahawa maklumat yang diterimanya itu benar.

Maksudnya, maklumat salah tidak bergantung pada niat tertentu, berbanding dengan maklumat palsu yang sengaja direka untuk niat dan tujuan tertentu.

Dalam dunia digital dan teknologi sekarang, maklumat salah mudah tersebar dengan meluas, terutama di media sosial, sebagai contohnya aplikasi WhatsApp dan Facebook apabila pengguna seakan berlumba-lumba untuk menyampaikan maklumat tanpa mengetahui ketepatannya.

Kesimpulannya, maklumat salah boleh mendatangkan bahaya, membuatkan orang percaya dengan maklumat salah yang disampaikan, bahkan boleh menyebabkan kerugian wang dan menjejaskan ekonomi.

Situasi ini amat sukar dikawal apatah lagi dihentikan, memandangkan maklumat salah tersebar dengan lebih pantas, lebih mendalam dan lebih meluas berbanding dengan sebaran berita yang benar.

Oleh itu, berhati-hatilah ketika menyebarkan maklumat.

rakan03sarawak
Author: rakan03sarawak

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]