Program Jelajah Perpaduan Keluarga Malaysia Ke Kampung Semeba

0
45

Program Jelajah Perpaduan Keluarga Malaysia telah diadakan di dewan Kampung Semeba, Kuching pada 23 Oktober 2021.

Sempena program tersebut, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak serta Warga Rukun Tetangga Negeri Sarawak telah menyampaikan bantuan kotak RT Cares #KitaBersama kepada ahli-ahli kawasan Rukun Tetangga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Agihan bantuan kotak makanan dan barangan keperluan asas ini digerakkan oleh sukarelawan Komuniti Rukun Tetangga yang ketika ini dianggotai oleh lebih 200,000 individu di seluruh negara.

Program RTCares adalah selaras dengan Agenda Kerja Komuniti Rukun Tetangga (RT4ALL) di bawah Gerak Kerja Komuniti RT Sejahtera dan ia sangat signifikan dalam situasi pandemik sekarang di mana ramai dalam kalangan masyarakat telah terjejas kehidupan mereka.

YB Datuk Halimah Sadique berucap pada majlis penyerahan bantuan kotak RT Cares #KitaBersama

Program RT Cares, #KitaBersama merupakan inisiatif Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bagi memastikan kelangsungan dan kesejahteraan komuniti semasa pandemik Covid-19 melalui pemerkasaan tanggungjawab komuniti Rukun Tetangga.

Program ini berteraskan kepada konsep RT4ALL iaitu RT untuk semua golongan masyarakat tanpa mengira perbezaan latar belakang melalui semangat kebersamaan dengan hashtag #KitaBersama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, YB Ir Lo Khere Chiang mengiringi Menteri Perpaduan Negara YB Datuk Halimah Sadique ke Dewan Kampung Semeba

Antara objektif Program RT CARES ialah untuk memperkukuhkan tanggungjawab sosial Kementerian bagi membantu golongan yang terjejas dengan pandemik Covid-19 melalui pemerkasaan komuniti Rukun Tetangga.

Program RT CARES juga bertujuan untuk menggerakkan dan memperkukuhkan peranan KRT dalam memastikan kelangsungan dan kesejahteraan hidup komuniti semasa tempoh pandemik.

Dewan Kampung Semeba dipenuhi ahli-ahli Rukun Tetangga yang terjejas akibat pandemik COVID-19

Melalui program ini, secara tidak langsung ia dapat membantu inisiatif kerajaan untuk memerangi Covid-19 dan mempercepatkan lagi roll-out program vaksinasi serta membentuk masyarakat prihatin dan penyayang.

Program ini berkonsepkan perkhidmatan outreach iaitu pendampingan bersama komuniti Rukun Tetangga melalui dua gerak kerja iaitu Bantuan Kotak Makanan dan Barangan Keperluan Asas kepada komuniti Rukun Tetangga yang terjejas.

Kriteria penerima sumbangan RT CARES adalah terdiri daripada:

  • Golongan B40 daripada semua kategori termasuk OKU, Ibu tunggal, warga emas dan golongan rentan ekonomi;
  • Terjejas pendapatan; dan
  • Terputus bekalan makanan dan keperluan asas.
YB Ir Lo Khere Chiang menyerahkan kotak bantuan kepada ahli kawasan Rukun Tetangga yang terjejas akibat pandemik COVID-19

Program RT Cares dan RT Cares Centre telah digerakkan di seluruh negara melibatkan 116 Bahagian atau Daerah di 194 RT Cares Centre yang berfungsi sebagai pusat operasi untuk pengumpulan dan agihan kotak makanan dan barangan keperluan asas.

RT Cares Centre beroperasi di Kompleks Perpaduan, Pusat Rukun Tetangga (PRT), Pusat Aktiviti Perpaduan (PAP), Kawasan Rukun Tetangga dan mana-mana premis yang bersesuaian.

Selain berpusat di RT Cares Centre, program RT Cares juga digerakkan atas inisiatif KRT-KRT sendiri bagi membantu komuniti yang terjejas dalam kawasan masing-masing.

Program RT Cares telah dimulakan di negeri Melaka pada 17 Julai 2021 bertempat di Pusat Aktiviti Perpaduan Masjid Tanah, Melaka.

Sehingga 18 Oktober 2021, seramai 77,752 orang penerima yang telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan program ini. Di Negeri Sarawak, jumlah penerima sumbangan Program RT Cares adalah sebanyak 11,140 orang.

Program RT Cares juga dilaksanakan dengan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak seperti agensi Kerajaan, NGO dan sektor korporat dan di antaranya ialah Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) – Pulau Pinang; Pusat Kawalan Operasi Bencana; Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM);

Malaysia Relief Agency (MRA); Mydin Hypermarket; Kuok Foundation; Tesco; Petronas; Shell; Wet Port; Sandakan Edible Oil; Lions Rotary Club; Syarikat Probac Edaran Sdn Bhd; SAR Warisan; Nukilan Unggul; Persatuan Penjaja; dan ADABI.

Program RT CARES telah memberi impak yang tinggi kepada komuniti dan di antaranya ialah memperkukuhkan tanggungjawab sosial Kementerian kepada komuniti khususnya komuniti Rukun Tetangga.

Selain itu, ia juga telah dapat meringankan beban atau kos sara hidup dan memastikan kesejahteraan rakyat, meningkatkan keprihatinan dan tanggungjawab bersama menangani isu komuniti yang terjejas dengan Covid-19 dan membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Perpaduan Negara YB Datuk Halimah Sadique telah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga JPNIN Sarawak, Warga KRT dan semua pihak yang telah membantu menjayakan pelaksanaan Program RT Cares ini sejak dimulakan pada bulan Julai 2021.

Beliau berharap agar program ini dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memperkukuhkan peranan KRT dalam komuniti melalui Gerak Kerja KRT Sejahtera.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]