- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 8:21pm

Adat Miring Diadakan Sebelum Berlangsungnya Aktiviti Penting

Must read

Adat miring menurut kepercayaan golongan tua etnik Iban adalah bertujuan untuk memberi persembahan kepada Tuhan yang dikenali sebagai Petara, Dewa Dewi Kayangan dan untuk dipersembahkan kepada jasad-jasad nenek moyang yang dikenali sebagai “Petara Aki Ini”.

Tujuan persembahan diberikan kepada para dewa ialah agar para dewa memberikan kebaikan dari segi kewangan, kesihatan, kebahagiaan serta kejayaan kepada sesiapa yang mengamalkan ritual tersebut.

Biasanya upacara miring disempurnakan oleh Ketua Adat dengan membaca mantera yang khusus serta melumur darah ayam jantan pada bahan persembahan.

Upacara Miring dilakukan dengan menggunakan piring yang dibahagikan kepada Piring Turun Tiga; Piring Turun Lima; Piring Turun Tujuh; Piring Turun Lapan; dan Piring Turun Sembilan.

Adat Miring dilakukan untuk memohon kebaikan agar sentiasa diberikan kebaikan dan perlindungan

Piring Turun Tiga dianggap sebagai miring biasa yang diadakan untuk mereka yang telah mendapat mimpi buruk atau apabila hendak bersawah.

Piring Turun Lima adalah untuk mereka yang hendak mendirikan rumah panjang, dan Piring Turun Tujuh adalah untuk aktiviti yang lebih berat seperti berjalan atau mengembara jauh manakala Piring Turun Sembilan adalah untuk peperangan.

Bagi tahap lima ke atas, bahan-bahan persembahan seperti nasi pulut putih, nasi pulut hitam, nasi putih, nasi himpit, ayam, khinzir, tuak, sagun, rokok apung, tembakau, telur yang dimasak, sirih, pinang, garam dan minyak masak akan digunakan serta diletakkan dalam piring dan mantera akan dibaca.

Upacara tahap lima ke atas ini akan dimulai dengan mengorbankan seekor khinzir dan seekor ayam kerana darah dan bulu ayam diperlukan bagi melengkapkan upacara ini.

Dalam upacara miring, seekor ayam akan dikibas-kibaskan kepada tetamu atau individu yang diraikan

Namun sebelum itu, ayam akan dikibas-kibaskan kepada tetamu atau individu yang diraikan dan individu yang diraikan itu akan menuang separuh air tuak ke dalam beberapa gelas sebagai ‘petara’ dan separuh lagi akan diminum.

Semasa adat miring, pokok ranyai akan dihiasi dengan menggantung buah-buah yang berupa sumbangan makanan dan minuman untuk dicantas dan diambil oleh para penari ngajat sebagai hadiah apabila mereka menari mengelilingi pokok tersebut.

Beberapa biji kelapa selalunya akan digantung pada pokok ranyai tersebut sebagai lambang kepala musuh yang akan dipenggal oleh para penari sebagai satu simbolik.

Bahan-bahan persembahan semasa upacara miring

Tarian ngajat dikatakan berasal daripada budaya mengayau dahulunya bila para pengayau yang berjaya dialu-alukan dengan muzik tradisi dan tari menari meraikan kejayaan itu.

Paluan gong pula akan mengiringi sepanjang upacara tersebut yang melibatkan sampi (doa) tertentu yang dikendalikan oleh manang (bomoh).

Kebiasaannya, upacara miring akan diadakan sebelum berlangsungnya aktiviti penting seperti Sambutan Hari Gawai Dayak yang merupakan identiti suku kaum Dayak Iban di Kepulauan Borneo.

Selain itu, upacara ini juga dapat dilakukan untuk mencari kejayaan dalam usaha masa depan sama ada dalam perniagaan atau perjalanan atau selepas berlakunya malapetaka yang tidak diingini di mana ia akan dilakukan mengikut keperluan sesuatu zaman.

Pokok ranyai yang dihiasi dengan menggantung buah-buah serta beberapa biji buah kelapa

Contohnya, pada zaman dahulu, upacara ini akan dilakukan bagi aktiviti-aktiviti seperti ngayau (berperang), membuka kawasan baharu untuk pertanian, berpindah ke kawasan penempatan baharu dan ketika melakukan perjalanan (bejalai).

Namun pada masa kini, masyarakat Iban melakukan upacara miring untuk mendapatkan kekayaan, perlindungan dan kebahagiaan hidup.

Walaupun sudah wujudnya agama seperti Kristian dan Islam di kalangan masyarakat Iban, upacara ini masih dilakukan dan hanya dibuat sekiranya terdapat keperluan-keperluan tertentu yang penting untuk dilakukan.

Pada hari ini, perubahan dan perbezaan upacara miring yang dilakukan oleh masyarakat Iban adalah mengikut lokasi-lokasi di Sarawak, namun matlamat dan keperluan mereka tetap sama iaitu memohon kebaikan agar sentiasa diberikan perlindungan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

1 COMMENT

- Advertisement -spot_img

Latest article