Projek Jalan Ladang Beri Manfaat Kepada 38 Pengusaha Kelapa Sawit

0
368

Projek Jalan Ladang memberikan impak yang sangat besar kepada para petani kerana adanya jalan ladang ini, ia membolehkan petani-petani dihubungkan dengan jalan-jalan utama.

Menurut Penyelia Projek Sawit, Jabatan Pertanian Daerah Meradong Encik Mitchell anak Thomas, Projek Jalan Ladang telah memberi manfaat kepada 38 peserta pekebun kecil kelapa sawit dari Rumah Awan, Sungai Lemayong, Bintangor.

Penyelia Projek Sawit, Jabatan Pertanian Daerah Meradong Encik Mitchell anak Thomas

Jalan ladang yang baik sangat penting untuk kegunaan penduduk di rumah panjang dan kampung-kampung bagi menjalankan aktiviti pertanian harian selain menjadi jalan utama untuk mendapatkan hasil tanaman untuk jualan.

Naik taraf jalan ladang di Rumah Awan, Sungai Lemayong ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi memantapkan lagi pengeluaran hasil pertanian di kawasan tersebut.

Projek Tanaman Getah Berkelompok (TBGB) RH Awan, Sungai Lemayong

Menurut Encik Mitchell, Projek Sawit Rumah Awan, Sungai Lemayong yang diusahakan di kawasan seluas 65 hektar itu telah bermula pada tahun 2018 dan ia diusahakan secara individu dengan keluasan masing-masing dua atau satu setengah hektar setiap peserta.

Pokok kelapa sawit di bawah Projek Jabatan Pertanian Daerah Meradong telah berbuah

Setelah dua tahun mengusahakan projek ini, para peserta sudah mula melihat hasilnya apabila baru-baru ini para peserta telah menjual sekurang-kurang tiga hingga empat tan kelapa sawit dalam tempoh satu bulan.

Pada 2019, projek kelapa sawit Rumah Awan telah mendapat bantuan dalam bentuk pembinaan jalan ladang sepanjang 2-kilometer (km) untuk menyenangkan para peserta menuai dan membawa kelapa sawit mereka ke kilang.

Projek pembinaan jalan ladang sepanjang 2-kilometer (km) di Rumah Awan, Sungai Lemayong

Projek jalan ladang itu telah menelan kos lebih daripada RM100 ribu yang merangkumi pembinaan jambatan, pembelian simen serta batu dan ia mengambil masa lebih kurang tiga minggu untuk siap.

Keadaan jalan di lawang kelapa sawit selepas hujan lebat

Selain daripada itu, Jabatan Pertanian turut memberikan bantuan dari segi input pertanian seperti sandak, parang, bakul, batu pengasah, baja 2 beg dan racun 2 gelen untuk setiap peserta.

Difahamkan, baru-baru ini, Jabatan Pertanian Daerah Meradong telah memberikan bantuan baja sebanyak 12 beg kepada setiap peserta.

Secara keseluruhannya, beliau sangat berpuas hati melihat para peserta berupaya meningkatkan hasil pendapatan yang lebih tinggi berbanding sebelum menyertai projek ini dan beliau berharap peserta-peserta ini akan lebih gigih dalam mengusahakan projek masing-masing demi masa depan mereka

Sempena tinjauan RAKAN Sarawak ke projek Jalan Ladang Rumah Awan, Sungai Lemayong pada hari tersbut, penulis berkesempatan menemu ramah salah seorang peserta projek kelapa sawit iaitu Tuai Rumah (TR) Japan anak Sangau yang kini sudah berusia 65 tahun.

Peserta projek kelapa sawit Rumah Awan, Tuai Rumah (TR) Japan anak Sangau

TR Japan anak Sangau sudah mula mengusahakan kebun kelapa sawit sejak tahun 2008 lagi sebelum beliau menyertai projek di bawah Jabatan Pertanian Daerah Meradong pada 2018.

Keluasan kawasan beliau mengusahakan projek kelapa sawit adalah lapan hektar termasuk dua hektar lebih di bawah projek Jabatan Pertanian Daerah Meradong.

Ternyata, beliau begitu gembira dan bersyukur kerana Jabatan Pertanian telah melaksanakan projek jalan ladang di kawasan ladang kelapa sawit mereka.

Sebelum adanya jalan ladang ini, mereka mengalami pelbagai kesukaran dan cabaran untuk bekerja di ladang sawit terutama ketika hari hujan kerana jalan tanah akan menjadi sangat becak sehingga menyukarkan kenderaan memasuki kawasan ladang sawit mereka.

Hasil tuaian juga sedikit kerana tiadanya kenderaan yang dapat mengangkut hasil sawit mereka kerana masalah jalan yang tidak elok dan tiadanya jambatan membuatkan kenderaan sukar memasuki kawasan ladang mereka.

Namun, kini semua peserta sudah dapat menarik nafas lega apabila jalan ladang yang telah dibangunkan oleh Jabatan Pertanian Daerah Meradong telah memudahkan pergerakan mereka dan hasil tuaian juga sudah berlipat kali ganda.

Jalan ladang ini bukan saja telah memberi manfaat kepada peserta pekebun kecil kelapa sawit, namun turut memberi manfaat kepada peserta Projek Tanaman Getah Berkelompok (TBGB) RH Awan, Sungai Lemayong seramai 36 orang.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]