Tiada Kompromi Pastikan Integriti Dan Etika Pada Tahap Tertinggi

0
134

Pejabat Pentadbiran Bahagian Limbang (PBL) telah menetapkan lima (5) bidang keutamaan yang dikenal pasti berisiko dalam permasalahan tadbir urus, integriti dan antirasuah di Pentadbiran Bahagian Limbang.

Kelima-lima bidang keutamaan ini dipilih sebagai bidang keutamaan yang berisiko setelah perbincangan dan pembentangan dalam bengkel pembangunan OACP PBL yang dilakukan oleh ahli JP-OACP pada 8 hingga 10 Januari 2020 di Hotel Seri Malaysia, Lawas.

Residen Limbang, Tuan Ir Ahmad Denney Bin Haji Ahmad Fauzi memberi amanat pada Hari Integriti & Bengkel Pembangunan OACP PBL
Sesi Ikrar Penjawat Awam
Hari Integriti & Bengkel OACP PBL

Bidang keutamaan yang pertama ialah Bidang Pelesenan dan Fungsi Statutori yang merujuk kepada pengurusan pengeluaran lesen perkahwinan express bagi yang bukan beragama Islam serta berfungsi mengurus mahkamah bumiputera, probet, anak angkat, lesen perniagaan, senapang dan fungsi yang berkaitan ordinan dan undang-undang. Contoh permasalahan yang berkemungkinan terjadi dalam bidang keutamaan yang pertama ini ialah pemalsuan dokumen/lesen probet, anak angkat, lesen perniagaan, senapang.

Program Integriti Sempena Hari Pekerja
Program Integriti Sempena Hari Pekerja

Seterusnya Bidang Keutamaan yang kedua ialah Bidang Pengurusan Projek yang merujuk kepada tatacara pengurusan sesuatu projek bermula daripada perancangan, pelaksanaan dan pemantauan sehingga projek berkenaan siap sepenuhnya. Contoh permasalahan yang berkemungkinan terjadi dalam bidang ini adalah pengurusan pemantauan pelaksanaan projek yang lemah (Projek Sakit/Lewat Jadual) dan hasil projek yang tidak menepati spesifikasi kerja.

Bidang Keutamaan yang ketiga ialah Bidang Transformasi Sosial yang merujuk kepada perancangan pelaksanaan dan pemantauan terhadap acara-acara atau majlis rasmi yang akan diadakan dan juga merupakan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Bahagian. Contoh permasalahan yang berkemungkinan terjadi dalam bidang ini adalah menyalahgunakan kuasa dalam menyenarai penerima bantuan bencana.

Bidang Keutamaan yang seterusnya adalah Bidang Kewangan dan Perolehan yang merujuk kepada pengurusan, pengawalan dan pemantauan perbelanjaan tahunan Pentadbiran Bahagian Limbang. Bidang ini juga bertanggungjawab dalam pengurusan perolehan, invois, tuntutan, sebut harga dan tender. Contoh permasalahan yang berkemungkinan terjadi dalam bidang ini adalah pemalsuan tuntutan elaun makan & lojing serta kerja lebih masa.

Bidang Keutamaan yang terakhir ialah Bidang Khidmat Pengurusan yang merujuk kepada pengurusan perkara yang berkaitan pengurusan Sumber Manusia, Pegawai Pentadbiran Bahagian dan menyelaras Hal Ehwal Pentadbiran Kemasyarakatan. Contoh permasalahan yang berkemungkinan terjadi dalam bidang ini adalah ketidakhadiran ke pejabat tanpa sebab-sebab yang munasabah (AWOL).

Residen Bahagian Limbang menegaskan setiap warga Pentadbiran Bahagian Limbang harus menghayati dan mengamalkan amalan telus, tulus, elakkan konflik peribadi, mempunyai akauntabiliti serta patuh kepada undang-undang dan peraturan.

Sesi Menandatangani Ikrar Penjawat Awam

Dokumen Pelan OACP merupakan satu pelan tindakan untuk menyemarak integriti dan telus dalam penyampaian perkhidmatan serta menangani permasalahan dan kelemahan tadbir urus, integriti dan rasuah dalam organisasi.

Gejala rasuah dan salah laku integriti boleh dibasmi khususnya yang melibatkan lima (5) bidang keutamaan iaitu Pelesenan & Satutori, Pengurusan Projek, Transformasi Sosial, Perolehan & Kewangan dan Khidmat Pengurusan.

Akuan Integriti Penjawat Awam

Residen Bahagian Limbang juga menegaskan dalam setiap perhimpunan atau mesyuarat bersama pegawai dan kakitangan Pentadbiran Bahagian Limbang bertanggungjawab memastikan integriti dan etika di tahap tertinggi dan mematuhi peraturan berkaitan tadbir urus baik, pengamalan prinsip berintegriti dan mengawal risiko rasuah organisasi secara konsisten dengan mematuhi prosedur dalaman seperti MS ISO dan peraturan yang dikuatkuasakan.

Pelaksanaan dan pemantauan inisiatif OACP dilakukan oleh sebuah jawatankuasa yang telah ditubuhkan yang berfungsi dalam memastikan kecekapan dalam pelaksanaan inisiatif OACP yang telah dibangunkan.

JPTO melantik Unit Integriti selaku Sekretariat Penyediaan OACP untuk menyediakan laporan penilaian pencapaian pelaksanaan OACP dalam Mesyuarat Jawatankuasa Antirasuah (JAR) Bahagian yang bertujuan untuk mendapatkan pertimbangan dan keputusan sama ada semakan semula terhadap keberkesanan OACP yang perlu dilakukan.

Borang Monitoring and Evaluation 01 (M&E01) dan Borang Monitoring and Evaluation 02 (M&E02) telah dibangunkan oleh pihak UNION yang diguna pakai oleh Ketua Bidang Keutamaan untuk melaporkan status pelaksanaan inisiatif OACP kepada Unit Integriti setiap bulan dan kemudiannya akan dibahaskan ketika mesyuarat pemantauan pelaksanaan pelan tindakan inisiatif OACP PBL.

Mesyuarat ini diadakan tidak kurang dari dua kali mengikut keperluan untuk mengemaskini kemajuan pelan tindakan inisiatif OACP PBL.

Seterusnya, status pelaksanaan inisiatif OACP akan dimasukkan ke dalam sistem Status Kemajuan Pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (SKPOACP) untuk disemak oleh pihak UNION. Melalui sistem ini, pihak UNION boleh melihat status dan pencapaian inisiatif serta dapat membuat pengukuran dan pemantauan pelaksanaan inisiatif yang telah dilaksanakan.

Dalam melaksanakan pelan OACP dan memastikan kejayaannya, terdapat lima (5) strategi yang dikenal pasti di bawah lima (5) bidang keutamaan dan beberapa inisiatif di bawah lima (5)  strategi tersebut.

Strategi pertama adalah Memperkukuhkan keberkesanan pelaksanaan fungsi statutori yang merupakan strategi bagi Bidang Pelesenan dan Statutori. Di bawah strategi ini terdapat tiga (3)  risiko yang merangkumi 13 inisiatif. Salah satu inisiatif yang telah dilaksanakan ialah mengadakan sesi kesedaran MS ISO 9001:2021 Pentadbiran Bahagian Limbang pada 31 Mac 2021.

Strategi kedua adalah Memperkasa Pengurusan ke arah Tadbir Urus Baik yang merupakan strategi bagi Bidang Pengurusan Projek. Di bawah strategi ini terdapat empat (4 r) isiko yang merangkumi 10 inisiatif. Salah satu inisiatif yang bidang ini laksanakan adalah mencipta akuan integriti yang digunakan ketika proses mesyuarat perolehan.

Strategi ketiga adalah Memperkukuhkan Tadbir Urus Transformasi Sosial yang merupakan strategi bagi Bidang Transformasi Sosial. Di bawah strategi ini hanya terdapat satu (1) risiko dan tiga (3) inisiatif. Berikutan penularan pandemik Covid-19, tiada inisiatif yang dilaksanakan di bawah bidang ini.

Strategi keempat adalah Memperkukuhkan Pematuhan Tatacara Perolehan dan Kewangan yang merupakan strategi bagi Bidang Perolehan dan Kewangan. Di bawah strategi ini terdapat tujuh (7) risiko dan 14 inisiatif. Salah satu inisiatif yang terlaksana adalah telah berkolaborasi bersama Unit Integriti dalam mengadakan Program pembudayaan Integriti dengan mengikuti beberapa seminar/webinar yang dianjurkan oleh UNION dan SHRU

Strategi kelima adalah Memperkukuhkan Penyampaian Perkhidmatan Awam yang merupakan strategi bagi Bidang Khidmat Pengurusan. Di bawah strategi ini terdapat sembilan (9) risiko dan 20 inisiatif. Salah satu inisiatif yang dilaksanakan adalah berkolaborasi bersama Pegawai Kaunseling daripada Unit Khidmat Sokongan Pekerja untuk mengadakan penilaian terhadap tahap kesihatan mental kakitangan Pentadbiran Bahagian Limbang melalui platform aplikasi zoom.

Implikasi yang mungkin berlaku sekiranya OACP tidak dilaksanakan di PBL akan melibatkan tiga perkara besar iaitu tadbir urus, integriti dan rasuah. Contohnya adalah seperti berikut;

  • Prosedur kerja yang tidak mantap contohnya urusan tuntutan lojing dan perjalanan tidak teratur dan menyebabkan berlakunya tuntutan palsu.
  • Pegawai kurang berintegriti contohnya pergerakan masuk dan keluar pejabat tanpa kebenaran Ketua Jabatan
  • Penguatkuasaan peraturan yang lemah contohnya ketidaktegasan dalam mengambil tindakan punitif terhadap pegawai yang melanggar peraturan

Kesemua implikasi yang mungkin berlaku ini akan menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh PBL. Ia sekali gus akan menjejaskan usaha dalam merealisasikan visi PBL iaitu; Limbang menjadi bahagian yang maju dalam sosioekonomi menjelang 2030

Muka depan Buku OACP PBL

Latar Belakang OACP PBL

  • Usaha pembangunan OACP PBL berasaskan Surat Pekeliling Negeri Sarawak Bilangan 1 Tahun 2020 mengenai OACP bertarikh 30 Jun 2020.
  • Sebelum pembangunan OACP PBL dimulakan, Residen Bahagian Limbang selaku Ketua Jabatan memberi kelulusan melalui minit dalam mesyuarat pengurusan tertinggi.
  • Setelah mendapatkan kelulusan Residen Bahagian Limbang, segala proses pembangunan OACP dijalankan mengikut perancangan yang dipersetujui dalam mesyuarat. Satu jawatankuasa telah ditubuhkan dan dinamakan sebagai Jawatankuasa Pembangunan OACP PBL.
  • Bengkel Pembangunan OACP PBL diadakan pada 8-10 Januari 2020 di Hotel Seri Malaysia, Lawas. Seramai 80 penjawat awam terdiri daripada Pejabat Residen Limbang, Pejabat Daerah Limbang, Pejabat Daerah Lawas, Pejabat Daerah Kecil Nanga Medamit, Pejabat Daerah Kecil Sundar dan Pejabat Daerah Kecil Trusan menghadiri bengkel tersebut.
  • Mesyuarat perbincangan pembangunan OACP PBL diadakan mengikut bidang keutamaan yang dikenal pasti di dalam bengkel pembangunan OACP PBL.
  • Bagi proses analisis data, pembangunan OACP PBL berpandukan tiga (3) sumber data iaitu soft data dan hard data. Contoh soft data yang dirujuk ialah Kajian Indeks Persepsi Rasuah (CPI), kajian persepsi/keberkesanan, sistem pengurusan audit nilai (SPAN) dan Corruption Risk Management (CRM). Contoh hard data yang dirujuk ialah Pelan strategik organisasi, laporan tahunan organisasi, laporan tatatertib dan laporan ketua audit negara lima (5) tahun ke belakang.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]