- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

Galeri Warisan Melanau Oya

Must read

Galeri Warisan Melanau, Oya usaha yang dilaksanakan oleh wakil rakyat kawasan berkenaan (ADUN N.56 Dalat) yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah bersama Lembaga Amanah Kebajikan melanau Oya (LAKMO) adalah untuk  mengetengahkan budaya dan warisan Kaum Melanau terutamanya dari kawasan Daerah Dalat dan Daerah Kecil Oya.

Galeri Warisan Melanau, Oya ini terdiri dari dua bahagian utama iaitu Galeri 1 dan Galeri 2. Galeri 1 akan memaparkan sejarah awal penempatan di Oya serta mempamerkan artifak-artifak yang berkaitan dengan budaya dan warisan masyarakat Melanau Dalat dan Oya

Artifak-artifak ini merupakan koleksi warisan yang disumbangkan oleh individu di kawasan Dalat dan Oya.  Manakala Galeri 2 pula akan mempamerkan tentang ekonomi, amalan kebudayaan, tempat-tempat menarik dan tokoh-tokoh tempatan Masyarakat Melanau.  Galeri Warisan Melanau, Oya ini turut menyediakan pakaian tradisional untuk kegunaan para pengunjung mengambil gambar sebagai kenangan.

Galeri Warisan Melanau, Oya ini dijadualkan akan dirasmikan YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada 28 Mei 2022.

Galeri Warisan Melanau, Oya memaparkan sejarah awal penempatan di Oya serta mempamerkan artifak-artifak yang berkaitan dengan budaya dan warisan masyarakat Melanau Dalat dan Oya

Sempena majlis perasmian tersebut akan diadakan Pameran Pembangunan N.56 Dalat serta Pameran dan Jualan Barangan Kraftangan yang akan dibuka kepada orang ramai bermula pada hari perasmian iaitu 28 sehingga 29 Mei 2022 di Gelanggang Bola Keranjang SJK(C) Yak Tee, Oya. 

Orang ramai akan berpeluang untuk melihat projek-projek pembangunan serta program-program yang dilaksanakan serta dalam perancangan untuk dilaksanakan di kawasan N.56 Dalat oleh sepuluh (10) buah agensi yang telah terlibat dalam projek pembangunan di kawasan Dalat dan Oya.

Lanjutan daripada Perasmian Galeri Warisan Melanau, Oya juga akan diadakan  Pameran Booth Komuniti yang akan menunjukkan demonstrasi secara live kepada orang ramai penyediaan Makanan Tradisional, Permainan Tradisional, Alat-alat Muzik Tradisional serta Perubatan Tradisional Orang Melanau kawasan Dalat dan Oya. 

Tujuannya adalah untuk memperkenalkan kepada pengunjung budaya warisan masyarakat Melanau bahkan dapat merasai dan melihat sendiri keunikan identiti Masyarakat Melanau.

Mengambil kesempatan di penghujung Syawal ini turut diadakan acara Belangger Meja yang akan disertai oleh 30 buah kampung dari Daerah Dalat dan Daerah Kecil Oya. 

Menariknya, tradisi  menyediakan “Kepala Meja” semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri akan dibawa bersama sebagai simbolik amalan kunjungan dari rumah ke rumah.

Perasmian Galeri Warisan Melanau, Oya ini akan menjadi titik permulaan bagi pembukaan galeri ini kepada orang ramai dan pada masa yang sama akan menjadi satu ikon yang baharu bagi Daerah Kecil Oya dan seterusnya mengetengahkan budaya dan warisan masyarakat Melanau di persada dunia. 

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article