CENTEXS Anjur Karnival Digital Sarawak 2022

0
41

Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) akan menganjurkan Karnival Digital Sarawak buat julung kalinya di CENTEXS Kuching, Santubong pada 7 dan 8 Jun 2022.

Pelbagai program menarik bakal berlangsung secara fizikal dan maya bersempena dengan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022 yang akan diadakan dari 20 hingga 22 Jun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Tuan Haji Syeed Mohd Hussein bin Wan Abdul Rahman, antara program yang bakal menjadi tumpuan ialah International Symposium on Digital Industry Transformation pada 7 dan 8 Jun 2022.

Tuan Haji Syeed (tengah) ketika mengadakan sidang media penganjuran Karnival Digital Sarawak 2022 anjuran CENTEXS. Turut kelihatan Timbalan Pengarah CENTEXS Digital Academy Dayang Hanani Abang Ibrahim (kiri) dan Pengurus Besar CENTEXS Commercial Mohamad Shahren Mohamad Yusri (kanan)

Simposium antarabangsa berkenaan turut dijayakan oleh beberapa orang wakil daripada syarikat-syarikat teknologi terkemuka dunia.

“Kita akan bawa jenama-jenama antarabangsa seperti Huawei yang merupakan antara penyedia ICT dan peranti pintar terkemuka global.

“Kita juga akan bawa EON Reality, sebuah syarikat augmented reality (AR) terkemuka dunia dari Amerika Syarikat yang mempunyai lebih 20 kluster di dunia termasuk di Malaysia yang terletak di CENTEXS selain di Singapura, Tokyo, Hong Kong dan sebagainya.

“Kita beruntung dapat menjemput pengasas EON Reality, Dan Lejerskar yang akan membuat pembentangan tentang teknologi baharu AVR Metaverse,” jelas Tuan Haji Syeed.

Beliau memaklumkan perkara tersebut pada sidang media berkenaan penganjuran Karnival Digital Sarawak CENTEXS di kampus CENTEXS Kuching pada 30 Mei 2022.

Kampus CENTEXS Kuching

Selain itu, wakil daripada syarikat-syarikat jenama antarabangsa seperti Keysight Technologies, syarikat Rexroth dari Bosch, Schlumberger, Microsoft dan IBM juga diundang bagi menjayakan simposium tersebut.

Turut menjayakan ialah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), iaitu Sarawak Energy Berhad (SEB), Sarawak Metro dan Sarawak Petchem.

Ketiga-tiga GLC tersebut akan berkongsi tentang perkembangan teknologi hidrogen yang sedang dibangunkan masing-masing dalam penerokaan ekonomi hidrogen.

Tuan Haji Syeed memaklumkan seramai kira-kira 1,000 orang telah pun mendaftar untuk menyertai simposium percuma tersebut secara fizikal dan maya.

Pihak CENTEXS juga akan mengadakan Hari Terbuka CENTEXS juga akan dianjurkan pada 8 Jun bertujuan memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri teknologi yang terdapat di CENTEXS bagi tujuan pembelajaran seterusnya menarik minat golongan muda yang ingin menyertai program-program dalam bidang teknologi dan kemahiran teknikal yang ditawarkan.

Sepanjang karnival, program Community Technical Outreach Program (CTOP), Bengkel Teknologi Asas Pembangunan Aplikasi Android, Bengkel Teknologi Imersif Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) serta program Penyambungan Kabel Fiber Optik (Splicing) juga akan diadakan.

Antara agensi kerajaan yang sama-sama menjayakan carnival sempena dengan IDECS 2022 termasuklah Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) dan Sarawak Multimedia Authority (SMA).

Maklumat lanjut mengenai karnival dan simposium #KarnivalDigital2022 boleh dilayari di www.centex-sarawak.my serta laman Facebook CENTEXS, CENTEXS Digital Academy dan CENTEXS Commercial.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]