URDA Beri Keutamaan Terhadap Penyediaan Infrastruktur Asas

0
20

Selaras dengan dasar Kerajaan Sarawak untuk menambah baik perhubungan jalan raya di kawasan luar bandar, Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) komited untuk memberi tumpuan terhadap penyediaan infrastruktur asas terutamanya pembinaan jalan raya dan jambatan.

Menurut Pengarah URDA, Encik Joseph Belayong Punan, idea penubuhan URDA telah dicetuskan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Pengarah URDA, Encik Joseph Belayong Punan

Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah berbincang dengan mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, kemudian mereka telah bersetuju untuk menubuhkan URDA dan pada masa itu, URDA dikenali sebagai RADA (Rajang Development Agency).

Kemudian, cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, dan pada 25 Julai 2017, URDA telah ditubuhkan.

Pada masa itu, mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing merupakan pengerusi URDA manakala Dato Sri Alexander dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.

Menurut encik Joseph Belayong, URDA meliputi kawasan yang sangat besar iaitu 41, 166.5KM2, merangkumi bahagian Sibu dan Kapit, melibatkan daerah Kanowit, Song, Kapit, Bukit Mabong dan Belaga.

Peta kawasan URDA di daerah Kapit dan Nanga Merit

Kawasan URDA mempunyai lapan (8) orang Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN dan dua (2) orang ahli parlimen (MP).

Beliau menjelaskan bahawa Penubuhan URDA adalah untuk merancang dan melaksanakan pelbagai projek bagi mempercepatkan pembangunan di kawasan Ulu Rajang yang dianggap sudah jauh ketinggalan.

Peta kawasan URDA di daerah Song

Sejak penubuhannya, URDA telah menerima peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi melaksanakan projek-projek pembangunan yang sesuai untuk kawasan URDA.

Kawasan URDA kebanyakannya terletak di kawasan pedalaman, maka salah satu daripada cara URDA untuk membangunkan kawasan-kawasan ini adalah dengan membina infrastruktur asas.

Peta kawasan URDA di Daerah Bukit Mabong

Peruntukan yang diagihkan untuk Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) ditumpukan untuk melaksanakan projek infrastruktur dan projek bekalan air di mana URDA mempunyai 43 projek infrastruktur berimpak tinggi termasuk kemudahan, pelan induk dan bangunan untuk dilaksanakan.

Setakat ini, URDA telah melaksanakan 23 projek jalan dan 11 projek bekalan air, projek-projek ini akan membuka jalan kepada pembangunan sosio-ekonomi terutamanya dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan ke dalam kawasan URDA dalam semua sektor ekonomi.

Peta kawasan URDA di Daerah Kanowit

Ia juga bertujuan meningkatkan kualiti hidup dan merapatkan jurang antara penduduk luar bandar dan bandar dengan menambah baik kesalinghubungan bagi membolehkan pengangkutan barangan dan perkhidmatan yang cekap, seterusnya mengurangkan kos menjalankan perniagaan di kawasan URDA.

Bagi beliau, kesemua projek yang dilaksanakan di kawasan URDA tidak kira projek jalan, jambatan, bekalan air dan sebagainya telah membawa impak yang sangat besar bukan sahaja terhadap kemajuan di kawasan tersebut tetapi juga terhadap komuniti yang tinggal di kawasan tersebut.

Peta kawasan URDA di daerah Belaga dan Song

Jikalau kita perhatikan kawasan URDA sekarang ini, boleh dikatakan kesemuanya adalah terdiri daripada kawasan pembangunan.

Sebelum wujudnya URDA, boleh dilihat tidak banyak pembangunan dibawa ke kawasan-kawasan URDA dan akses penghubung juga masih bergantung kepada sungai.

Malah, pengangkutan sungai mempunyai banyak kelemahan dan salah satunya ialah kos yang tinggi disebabkan harga minyak yang mahal.

Ada juga sesetengah kawasan boleh dihubungi melalui jalan balak, tetapi ia masih tidak selamat kerana banyak jalan-jalan balak sudah menjadi kawasan terbiar justeru, URDA telah mengambil inisiatif untuk memperbaiki jalan-jalan balak tersebut.

Oleh itu, beliau menyifatkan kemajuan pada hari ini merupakan satu kegembiraan buat penduduk-penduduk di kawasan URDA kerana kebanyakan kawasan yang tidak dapat dihubungi, kini sudah dapat dihubungi dengan adanya jalan raya.

Walau bagaimanapun, belum semua jalan-jalan tersebut siap sepenuhnya lebih-lebih lagi di kawasan Belaga. Disebabkan sesetengah projek yang dilaksanakan dalam RMK-11 mengambil masa dua tiga tahun untuk siap, jadi projek-projek yang belum siap telah dibawa ke dalam RMK-12.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]