‘MYSTartup Roadshow’ Diteruskan di Sarawak

0
46

Kuching telah dipilih sebagai hentian keempat siri jelajah ‘MYStartup Roadshow’ anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi agensi di bawahnya, Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle).

Inisiatif tersebut yang turut mendapat sokongan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), iCube Innovation dan Sarawak Media Group (SMG) telah berlangsung selama dua (2) hari bermula dari 23 Jun diikuti majlis pelancaran pada 24 Jun 2022 oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba di TEGAS Digital Village, Sama Jaya, Kuching.

Menurut Dato’ Sri Dr. Adham, siri jelajah MYStartup akan diteruskan di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara bagi memastikan tiada komuniti syarikat pemula (start-up) yang ketinggalan dalam menerima manfaat dan bimbingan menerusi program-program anjuran MOSTI termasuk di bawah inisiatif MYStartup.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba berucap ketika merasmikan jelajah MYStartup Roadshow di TEGAS Digital Village, Kuching pada 24 Jun 2022 (Foto JAPEN Sarawak)

Mengulas mengenai aktiviti yang dijalankan pada siri jelajah MYStartup di TEGAS Digital Village, selain daripada taklimat berkaitan inisiatif dan hala tuju industri syarikat pemula di negara, para peserta turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan perundingan secara bersemuka bersama Cradle dan MOSTI, jelas beliau.

Selain itu, para peserta juga dapat mengikuti penerangan program secara terus, antaranya ialah Pelan Hala Tuju Ekosisitem Start-up Malaysia (SUPER) 2021-2030, program dan demo platform MYStartup, program pembiayaan di bawah Bahagian Dana MOSTI, program pembiayaan melalui geran CIP SPARK dan CIP SPRINT Cradle dan informasi daripada rakan-rakan strategik setempat serta dari Semenanjung Malaysia.

Sebagai agensi pelaksana di bawah MOSTI, Cradle akan menganjurkan beberapa program dan aktiviti di sepanjang tahun 2022 yang akan terus memanfaatkan komuniti syarikat pemula di bawah strategi MYStartup.

Yang terkini, MOSTI bersama Cradle telah melancarkan program MYStartup Accelerator yang bertujuan untuk membimbing dan mempersiapkan syarikat pemula berpotensi tinggi untuk mencapai status investment ready dalam masa enam (6) bulan program dijalankan.

Graduan daripada program tersebut juga berpeluang mendapat suntikan dana sama ada dalam bentuk geran atau pelaburan daripada syarikat korporat yang turut terlibat.

Menurut Dato’ Sri Dr. Adham lagi, program MYStartup Accelerator berjaya menarik lebih dari 500 permohonan pendaftaran dan daripada kesemua permohonan yang diterima, 33 syarikat pemula terbaik yang memenuhi kriteria telah dipilih.

Sebagai agensi pelaksana yang dilantik MOSTI, Cradle juga telah banyak membantu syarikat pemula dari segi latihan, bimbingan teknikal dan pembiayaan untuk berkembang.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Pengerusi TEGAS, YB Datu Haji Len Talif bin Salleh dalam ucapan aluan beliau menyatakan, TEGAS sentiasa meneroka peluang perkongsian strategik dan sinergi ekosistem demi kepentingan anak Sarawak.  

TEGAS juga komited memastikan tiada komuniti syarikat pemula di Sarawak yang terkecuali dalam menyertai dan mendapat inisiatif daripada Kerajaan Persekutuan melalui program-program seperti MYStartup yang akan membantu dan menyokong syarikat pemula tempatan.

Usaha berkenaan menurut beliau merupakan sinergi di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang komited dalam meningkatkan ekosistem inovasi digital serta keusahawanan di Sarawak selaras dengan Strategi Ekonomi Digital Sarawak (2018-2022) dan Strategi Pembangunan Pasca COVID (PCDS) 2030.

Datu Len Talif turut memaklumkan, kira-kira 300 syarikat pemula peringkat awal dan perusahaan sosial di Sarawak telah mendapat sokongan daripada TEGAS melalui pelbagai program pecutan anjuran TEGAS.

Oleh itu, perkongsian di antara TEGAS dengan Cradle melalui MYStartup jelas beliau akan menyokong usahawan tempatan untuk mengakses pengetahuan, kemahiran, rangkaian dan sumber sambil bertukar-tukar idea inovatif kepada perniagaan yang mampan.

Majlis pelancaran MYStartup Roadshow di TEGAS Digital Village turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Cradle dan TEGAS yang diwakili Pengurus Besar TEGAS Digital Village, Manzoor Hayat Khan.

Majlis pertukaran MoU di antara Cradle dan TEGAS sempena majlis pelancaran MYStartup Roadshow di TEGAS Digital Village, Kuching (Foto JAPEN Sarawak)

Menerusi MoU tersebut, pihak TEGAS akan menjadi wakil MYStartup di Sarawak manakala pihak Cradle pula akan menyokong program-program pembangunan ekosistem syarikat pemula yang dianjurkan di negeri ini.

Selain itu, MoU di antara TEGAS bersama Aerodyne, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Taylor’s University juga telah dimeteraikan pada majlis tersebut. Yang turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), YBhg Datu Dr. Sabariah Putit, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg Datuk Zainal Abidin bin Abu Hasan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund Sdn. Bhd., Norman Matthieu Vanhaecke serta beberapa orang Timbalan Menteri Kabinet Sarawak.

Dato’ Sri Dr. Adham Baba diiringi Datu Haji Len Talif meninjau sekitar TEGAS Digital Village selesai majlis pelancaran MYStartup Roadshow
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]