Randau #DigitalSarawak di Kabong

0
109

Rapatkan Jurang Digital Di Kawasan Bandar Dengan Luar Bandar

Usaha kerajaan merapatkan jurang digital di antara masyarakat bandar dengan luar bandar diteruskan melalui penganjuran Randau #DigitalSarawak yang telah diadakan di Dewan Lakin Kampung Nyabor, Kabong pada 26 Julai 2022.

Program tersebut yang dianjurkan Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri (UPPN), Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Betong kali ini menyediakan 18 reruai yang menawarkan perkhidmatan dalam talian daripada agensi-agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi dan institusi kewangan kepada para penduduk yang hadir.

Antara agensi yang terlibat adalah Jabatan Pertanian Sarawak (DOA), Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Sarawak Information Systems (SAINS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Samarahan, S Pay Global, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain lagi.

Taklimat daripada wakil UiTM Kampus Samarahan yang menerangkan tentang asas penggunaan dan penyelenggaraan komputer pada program Randau #DigitalSarawak yang diadakan di Dewan Lakin, Kampung Nyabor, Kabong pada 26 Julai 2022

Sesi taklimat mengenai keselamatan siber, asas penyelenggaraan komputer, pengenalan kepada penggunaan internet dan perkhidmatan dalam talian agensi yang terlibat juga telah diadakan.

Yang turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) YBhg Datu Ik Pahon anak Joyik, Residen Bahgian Betong, Encik Richard anak Michael Abunawas serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, YB Encik Mohd Chee bin Kadir.

Menurut Datu Ik Pahon, Kerajaan Sarawak mempunyai perancangan untuk meningkatkan capaian internet di seluruh pelosok Sarawak, khususnya di luar bandar.

Datu Ik Pahon menyampaikan ucapan ketika menghadiri program Randau #DigitalSarawak yang diadakan di Dewan Lakin, Kampung Nyabor, Kabong

Beliau mengakui, usaha tersebut merupakan satu cabaran besar kepada jentera perkhidmatan awam dalam menjayakan transformasi digital yang juga merupakan salah satu daripada beberapa inisiatif yang digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Oleh itu, kerjasama di antara agensi kerajaan dan pentadbiran Bahagian dan Daerah termasuk wakil-wakil rakyat amat penting bagi memastikan capaian internet dapat ditingkatkan, terutama di luar bandar.

Seorang penduduk mendapatkan perkhidmatan daripada salah satu agensi kerajaan

Mengulas lanjut, pandemik COVID-19 pada pandangan beliau secara tidak langsung telah mempercepat dan mengajak semua peringkat masyarakat menggunakan perkhidmatan dalam talian untuk mendapatkan keperluan hidup seperti makanan, perkhidmatan pendidikan termasuklah memanfaatkan peluang untuk berniaga dalam talian.

Situasi tersebut juga jelas beliau secara tidak langsung telah mendedahkan masyarakat di bandar dan luar bandar betapa pentingnya peralihan atau transformasi digital dan penggunaan aplikasi dalam talian.

Program Randau #DigitalSarawak dianjurkan bertujuan merapatkan jurang digital di antara penduduk di kawasan bandar dengan luar bandar

Dalam perkembangan teknologi hari ini, masyarakat tidak mempunyai banyak pilihan, selain memilih untuk maju ke hadapan dengan menerima pakai teknologi digital dalam kehidupan seharian termasuklah mendapatkan perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh agensi kerajaan dan sebagainya, tambah beliau.

Menurut beliau lagi, program Randau #DigitalSarawak yang melibatkan pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan merupakan sebahagian daripada usaha mempromosi transformasi digital dan sebagai tanggungjawab penjawat awam untuk memudahkan dan memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang berkesan dapat dibawa kepada masyarakat.

Perkhidmatan dalam talian daripada institusi kewangan seperti KWSP turut ditawarkan kepada penduduk pada program Randau #DigitalSarawak
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]