Memahami Sejarah Pesta Kaul

0
119

Pesta Kaul merupakan satu pesta keramaian yang diraikan oleh masyarakat Melanau sejak dari dulu lagi.

Pesta tradisi yang disambut secara tahunan ini, menghimpunkan pelbagai upacara dan adat resam yang menarik dan luar biasa dari kaum lain.

Dahulunya, Kaul ini adalah sejenis pesta keagamaan yang diraikan oleh masyarakat Melanau ‘Pagan’. Ianya adalah upacara pemujaan untuk mereka memohon restu daripada penunggu di laut, darat dan hutan agar mendapat ketenteraman serta keamanan dalam melakukan aktiviti seharian mereka mencari rezeki di tempat-tempat tersebut.

Pesta Kaul ini seringkali dijadikan sebagai medan perkelahan komuniti terbesar masyarakat Melanau. Bahkan kini, ianya menjadi salah satu pesta yang dapat kita lihat bukan sahaja dapat menghimpunkan masyarakat Melanau secara khususnya malah boleh menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat yang ingin turut sama berkongsi meraikan pesta ini.

Pesta ini biasanya diadakan mengikut kalendar kaum Melanau Pagan yang menandakan berakhirnya musim tengkujuh yang telah mendatangkan kesan dalam kehidupan mereka sebagai petani dan nelayan di mana sungai merupakan tempat utama sumber pendapatan mereka.

Namun demikian, pesta yang dahulunya diadakan atas dasar keagamaan kini sudah menjadi satu pesta yang sentiasa dinantikan ketibaannya bagi masyarakat tempatan mahupun pelancong asing yang datang berkunjung.

Jika dahulunya, Pesta Kaul dirai oleh masyarakat Melanau ‘Pagan’ bagi memuja roh-roh yang dipercayai menjadi sumber pendapatan mereka tetapi dengan adanya perubahan agama dan anutan, masyarakat Melanau turut mengubah aplikasi dan kepercayaan Kaul.

Pelbagai aktiviti juga diadakan sempena Pesta Kaul seperti permainan tradisi iaitu ‘Tibow’, pameran dan jualan makanan eksotik tempatan seperti tebaloi, ‘si’et’ atau lebih dikenali ‘ulat mulong’, sagu dan umai.

Selain itu terdapat juga persembahan kebudayaan dan kraf tangan daripada pelbagai agensi, pihak-pihak bertanggungjawab dan juga orang perseorangan.

Dalam melakukan upacara Kaul ini juga ianya hendaklah diketuai oleh seorang lelaki yang diiktiraf oleh masyarakat dan juga arif tentang adat dan kepercayaan yang digelar ‘Bapak Kaul’.

Bapa kaul membacakan mantera

Bapak Kaul merupakan perantara atau orang tengah yang akan menghubungkan penduduk di dunia nyata dengan Ipok di alam maya.

Beliau juga merupakan seorang yang dihormati, disegani masyarakat kerana keperibadiannya, keturunannya, dan berpengetahuan dari segi adat resam dan budaya Melanau.

Justeru, beliau memainkan peranan penting dalam pesta ini kerana beliau bertanggungjawab untuk merayu makhluk halus dan Ipok, menghalau segala kejahatan dan malapetaka yang mungkin menimpa, malah bertanggungjawab memastikan pantang larang dipatuhi dan menghukum mereka yang ingkar. Beliau hendaklah memikul amanah ini dengan penuh bertanggungjawab.

Beberapa tahun lalu, pernah di bawa elemen ini dalam penganjuran ini dalam Pesta Kaul agar masyarakat dapat melihat dan mendalami dengan lebih dekat lagi pengertian Kaul serta bagaimana perayaan ini disambut.

Ianya merupakan satu pengalaman bermakna bagi yang menyaksikannya buat pertama kali secara langsung.

Usaha untuk membawa elemen “upacara ritual” yang klasik ini dilihat satu pendekatan menarik disebabkan upacara tersebut telah dihidupkan semula atau diberi ‘nafas baru’ yang menjadikan ianya tarikan kuat untuk Pesta Kaul ini pada masa akan datang.

Upacara ritual dilakukan oleh Bapak Kaul

Berkumpul seawal jam 6.30 pagi di salah sebuah rumah di muara sungai, dilihat sebanyak lebih kurang 25 buah perahu kecil dan besar masing-masing bersama dengan muatannya bersedia untuk berarak ke kuala sungai sehingga ke tapak pesta tersebut iaitu Tugek, Pantai Kala Dana.

Perarakan perahu ini hendaklah diketuai oleh perahu yang membawa Bapak Kaul bersama dengan ‘Serahangnya’. Kemudiannya akan diikuti oleh perahu-perahu lain yang membawa penduduk-penduduk berserta dengan hidangan masing-masing yang akan menjadi hidangan umum sesampainya di tapak pesta tersebut nanti.

Serahang dibawa dari Kampung Tellian

‘Serahang’ ialah ‘kepala hantaran’ kepada Ipok. Ianya dibuat mengikut motif tertentu yang melambangkan imej Ipok laut, darat dan udara. Serahang yang diperbuat daripada buluh, tedieng, semat, daun nyipah muda, daun iseng dan daun tegoh akan disediakan terlebih dahulu beberapa sebelum Kaul diadakan.

Kebiasaannya Serahang ini akan dibuat oleh kaum wanita kerana motif-motif tertentu yang memerlukan ketelitian sesuai dengan sifat mereka. Perarakan yang mengambil masa lebih kurang empat puluh lima minit ini.

Rombongan yang turut mengiringi bot yang membawa Serahang

Sesampainya ditapak tersebut, rombongan perarakan kemudiannya disambut dengan persembahan silat pelbagai jenis yang dipersembahkan oleh kanak-kanak serentak dengan upacara pemujaan Serahang yang dilakukan Bapak Kaul.

Serahang yang kemudiannya diletakkan di satu sudut yang telah ditentukan dan upacara pemujaan kemudiannya dilakukan oleh Bapak Kaul bersama dengan beberapa penduduk yang lain.

Upacara membawa Serahang

Setelah beberapa minit, selesainya pemujaan Bapak Kaul akan menghantar ‘persembahan’ tersebut ke sungai dan menghanyutkannya.

Manakala, persembahan silat tadi berterusan mengiringi pengunjung yang hadir sambil mereka dijamu dengan pelbagai juadah yang telah disediakan oleh penduduk yang dibawa berarak bersama mereka dari awal pagi.

Setiap juadah yang dihidangkan merupakan makanan tradisional masyarakat Melanau. Sekitar jam 11.30 pagi, upacara ini selesai dan pengunjung beransur pulang mengosongkan tapak pemujaan tersebut.

Pengunjung yang hadir dijamu dengan pelbagai juadah yang telah disediakan oleh penduduk yang dibawa berarak bersama mereka dari awal pagi.

Selain daripada aktiviti perarakan yang menjadi tarikan utama dalam Pesta Kaul ini, terdapat juga salah satu permainan tradisional iaitu ‘Tibow’ antara yang menjadi tarikan pengunjung yang datang memeriahkan suasana pesta ini.

Tibow adalah sejenis permainan tradisi yang sangat popular. Juga dikenali sebagai Pisa Tibow’, permainan ini dilangsungkan oleh masyarakat kampung sebagai simbol perpaduan dan bersuka ria.

Ia juga merupakan salah satu permainan yang digemari terutamanya golongan remaja untuk mereka berkaul. Bermain Tibow mengikut tradisi Melanau tidaklah semudah yang dilihat. Terdapat beberapa pantang larang dan peraturan dalam permainan yang perlu dipatuhi untuk mengelakkan kecelakaan atau kecederaan kepada si pemain.

Peralatan untuk menyediakan Tibow ini juga hendaklah yang kukuh dan dibuat kemas agar tidak mendatangkan sebarang kemalangan ketika memainkan permainan ini.

Dengan mengikuti upacara seumpama ini kita dapat memahami serba sedikit tentang budaya masyarakat terbabit dan pengertian ini juga membolehkan kita lebih menghormati kepercayaan dan kebudayaan mereka.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]