RM657 Juta Untuk Pembinaan Projek Benteng Di Sebuyau

0
57

– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak October-December 2021 –

Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan kira-kira RM657 bagi membangunkan projek-projek benteng di kawasan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) bermula dari Asajaya sehingga ke Sebuyau, Gedong dan Sebangan.

Projek benteng ini dibahagikan kepada empat (4) pakej sedang dalam proses pembinaan dan kesemuanya dijangka siap dalam masa 24 bulan atau dua tahun.

Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek ini akan memberi kesan yang amat positif kepada masyarakat di kawasan persisiran kerana ia akan dapat menghalang air masin masuk ke kawasan pertanian.

Ketua Menteri semasa meninjau projek benteng di Sebuyau

Menurut beliau, projek Ini akan memberi kesan dari sudut pembangunan pertanian dan jalan di kawasan ini, tambahan pula kawasan di situ akan membangun cepat dengan adanya pembangunan infrastruktur yang dibangunkan oleh kerajaan di seluruh kawasan IRSDA.

Selain itu, aspek pembangunan sosioekonomi juga akan meningkat dengan adanya skim perumahan yang diluluskan untuk dibangunkan di kawasan Sungai Ladong untuk memberi kemudahan kepada masyarakat yang tinggal di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut menambah, pembangunan pertanian dan pelancongan dijangka akan membangun di kawasan tersebut dalam tempoh lima tahun akan datang apabila siapnya pembinaan jambatan Batang Lupar dan benteng yang sedang dalam pelaksanaan.

Ketua Menteri turut memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak akan membangunkan Bandar Baru Sebuyau (Sebuyau New Township) mirip seperti yang dibangunkan di Serian dan Borneo Development Corporation (BDC) akan membangunkan pusat pentadbirannya di sini.

Ketua Menteri bersama rombongan meninjau tapak projek benteng di Sebuyau

Lokasi untuk membangunkan Bandar Baharu Sebuyau telah pun dikenal pasti, dan serentak dengan itu juga, penduduk di Sebuyau akan turut menyaksikan pembangunan skim perumahan mampu milik ‘Spektra’ di bawah Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA).

Menurut kenyataan media pihak PELITA, Projek Perumahan Bandar Baru Sebuyau dirancang di kawasan seluas 41.36 ekar serta melibatkan pembinaan 235 unit rumah mampu milik untuk penduduk tempatan.

Pada masa ini, kerja penyediaan tapak dan kerja tanah sedang giat dilaksanakan oleh pihak PELITA manakala kerja pembinaan 39 unit rumah bagi Fasa Pertama dijangka bermula pada suku pertama tahun 2022.

Pembangunan projek perumahan Bandar Baru Sebuyau ini amat bertepatan dengan hasrat murni Kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik yang lengkap dengan infrastruktur dan kemudahan sosial untuk penduduk di kawasan luar bandar.

Selain daripada projek perumahan, Pelan Induk yang telah diluluskan oleh pihak Kerajaan Sarawak turut melibatkan komponen komersial seperti rumah kedai dua tingkat, rumah kedai tiga tingkat, medan selera, pasar tamu, premis industri kotej dan stesen minyak.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mendengar taklimat pembangunan oleh agensi di Pejabat Daerah Kecil Sebuyau dalam lawatan kerja ke Sebuyau pada 6 November 2021.

Ketua Menteri persiapkan diri ketika hendak meninjau persiapan projek High Level Tank Sebuyau

Lawatan kerja Ketua Menteri telah dimulakan dengan taklimat pembangunan oleh agensi di Pejabat daerah Kecil Sebuyau yang dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak YB Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah dan seterusnya diikuti dengan sidang media.

Beliau kemudiannya telah melawat ke tapak projek benteng Blok F Sebuyau fasa 1 sebelah Kampung Baru dekat Giat MARA dan seterusnya ke High Level Tank Sebuyau.

Ketua Menteri bersama rombongan merakam kenangan bersama setelah selesai melaksanakan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Bandar Baharu Sebuyau
Ketua Menteri melakukan upacara simbolik ringkas pecah tanah di tapak projek Perumahan Bandar Baru Sebuyau (Sumber gambar daripada CMO).

Selepas itu, beliau menyempurnakan Majlis Pecah tanah Tapak Projek Perumahan bandar Baru Sebuyau dan lawatan beliau kemudian diteruskan lagi ke Masjid baru Sebuyau sekali gus menunaikan solat zohor dan jamuan di situ.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]