Kursus Bangunkan Reka bentuk Basikal Buluh Yang Sesuai Untuk Pasaran

0
72

Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan Brooke and Breeze, Shanghai, Cina telah bekerjasama menganjurkan kursus “Bamboo Bike Training the Trainer” selama tiga (3) bulan bermula 20 Jun hingga 23 Ogos 2022.

Tujuan kursus tersebut adalah untuk melatih anggota PUSAKA membangunkan reka bentuk basikal buluh yang sesuai untuk pasaran selain melatih mereka untuk mengelola bengkel basikal buluh.

Sepanjang tempoh tiga bulan tersebut, sebanyak empat (4) model prototaip basikal buluh berjaya dihasilkan oleh 15 orang peserta bengkel iaitu Pandas (Mountain Bike), Crocodiles (Street Bike), Golden Eagles (Road/ Leisure Bike) dan Panthers (Road Bike).

Model prototaip basikal buluh yang berjaya dihasilkan oleh 15 orang peserta bengkel

Menurut Pengurus Besar PUSAKA, YBhg Datu Haji Hashim Bin Haji Bojet, pihak mereka telah mula menjalin kerjasama dengan Brooke and Breeze, Shanghai, China bagi projek pembuatan basikal buluh pada awal tahun 2021 sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan nilai tambah produk buluh.

Kerjasama tersebut juga merupakan salah satu usaha PUSAKA untuk meningkatkan pendapatan eksport negeri dari sumber bukan kayu (Non-Forest Timber Product) serta pendapatan per kapita masyarakat tempatan.

Pengurus Besar PUSAKA, YBhg Datu Haji Hashim Bin Haji Bojet menyampaikan ucapan sempena Penutupan Kursus Pembuatan Basikal Buluh

Inisiatif tersebut dijangka akan dapat membuka minda masyarakat tentang potensi spesies buluh negeri Sarawak untuk ditingkatkan kepada industri yang lebih besar seperti pembuatan basikal daripada buluh.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan Sempena Penutupan Kursus Pembuatan Basikal Buluh di Kompleks Industri Perabot PUSAKA Kota Samarahan (KIPPKS) pada 24 Ogos 2022.

Pengurus Besar PUSAKA, YBhg Datu Haji Hashim Bin Haji Bojet merakam kenangan bersama peserta-peserta bengkel

Beliau difahamkan, salah satu spesies buluh yang ditanam oleh PUSAKA sesuai untuk pembuatan basikal buluh ialah buluh Thai Silk (Bambusa nana) kerana sifatnya yang lebih padu, padat serta mempunyai lubang yang kecil menjadikan ia lebih senang untuk dibentuk dalam pembuatan basikal.

Berdasarkan kajian, berat basikal buluh ‘lightweight’ yang lengkap adalah antara 9.1-13kg bergantung dengan kualiti manakala basikal “aluminum road bike” yang lengkap pula adalah antara 8-9kg.

Bagi basikal “high end carbon road bikes” pula adalah seberat 6.8kg sementara berat prototaip basikal buluh yang dihasilkan oleh pelatih PUSAKA adalah antara 10 – 13 kg.

Berdasarkan kajian, penggunaan buluh dalam menghasilkan basikal berbanding bahan logam adalah lebih mesra alam (environment friendly) dan mengurangkan pelepasan tenaga.

Setiap basikal dapat mengurangkan sehingga 5kg pelepasan CO2 berbanding model basikal dari logam.

Justeru, beliau amat optimis bahawa industri pembuatan basikal buluh ini nanti akan dapat menukar persepsi masyarakat tentang potensi buluh.

Jenis buluh yang digunakan membuat basikal buluh

Sebagai peneraju dalam industri perkayuan negeri Sarawak, ini adalah matlamat PUSAKA agar industri dan masyarakat mula berfikir secara terbuka tentang produk nilai tambah yang dapat dihasilkan daripada buluh yang secara tradisinya kebanyakan digunakan untuk membuat produk anyaman serta pembinaan ringan sahaja.

Jelas beliau, setelah tamat latihan ini nanti, PUSAKA merancang untuk memberikan latihan insentif kepada para peserta bagi meningkatkan tahap kompetensi mereka dalam membuat basikal buluh.

Latihan insentif Ini akan dapat membantu mereka menambahbaik reka bentuk produk serta meningkatkan keyakinan diri dalam membuat pengeluaran basikal atas jenama Sarawak.

Di samping itu juga, PUSAKA akan meneruskan kerjasama dengan pihak Brook and Breeze bagi penghasilan basikal secara komersial selain melatih masyarakat untuk belajar membuat basikal buluh.

YBhg Datu Haji Hashim Bin Haji Bojet menguji salah satu basikal buluh yang telah dihasilkan
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]