Kerja-kerja Pengukuran Tanah Penting Penuhi Keperluan Pembangunan Sarawak

0
30

Seiring dengan keperluan pembangunan masa depan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS2030) sudah tentu memerlukan kesegeraan dalam kerja-kerja pengukuran tanah bagi mempercepatkan tempo sesuatu pembangunan beberapa sektor yang dikenal pasti bakal dimajukan

Atas kepentingan itu juga, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengumumkan Kerajaan Sarawak telah meluluskan 400 tambahan Juru Ukur bagi menangani keperluan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei (HIITS) 2022 di Kuching pada 17 September 2022.

Jelas Premier Sarawak, kerja-kerja pengukuran ini bukan sahaja diperlukan bagi tujuan sektor perumahan awam dan komersial serta pembukaan Kawasan dan bandar baharu, sukatan tanah NCR tetapi turut diperlukan bagi sektor pelaburan industri (pembukaan kilang dan loji baharu), sektor pertanian (pembukaan Kawasan pertanian), sektor infrastruktur (pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan Pesisir dan  Lebuh Raya Ke dua Sarawak) dan banyak lain-lain.

Kerja-kerja pengukuran yang efisien sudah pasti mempercepatkan lagi pelaksanaan projek pembangunan di Sarawak

Ini sudah pastinya memerlukan kerja-kerja sukatan serta pengukuran tanah dilakukan dengan segera. Berkaitan dengan tambahan 400 Juru Ukur tersebut, Premier Sarawak menjelaskan bagi memenuhi keperluan tersebut institusi Latihan perlulah bekerjasama dengan Jabatan Tanah dan Survei bagi menghasilkan juru ukur yang berkualiti dan terbaik.

Jelas beliau,  juru ukur diperlukan bukan sahaja dari sektor awam tetapi turut melibatkan sektor swasta kerana sektor awam ada limitasinya dan kerja-kerja pengukuran perlu dilakukan oleh sektor swasta yang turut digalakkan menambah bilangan juru ukur mereka.

Premier Sarawak yakin sekiranya tanah diuruskan dengan baik termasuk pengukuran tanah ia pastinya akan memberikan pulangan baik kepada pembangunan ekonomi yang akan berlaku di Sarawak.

Kuching mendapat skor tertinggi 28/30 di belakang Singapura (Rantau Asia) dan Taiwan (Global)

Sementara itu, terdahulu Pengarah Tanah dan Survei, YBhg Datu Abdullah bin Julaihi berkata penawaran tenaga teknikal juruukur di peringkat juruteknik atau sijil dan operasi yang rendah berbanding permintaan dan keperluan menyiapkan kerja ukur tanah melibatkan kadastra, kejuruteraan, topografi dan hidrografi serta pecah bahagi untuk pembangunan tanah termasuk strata yang tinggi, menjadikan kolaborasi antara institusi ini suatu kemestian.

Menurut beliau, semua projek pembangunan di Sarawak yang telah dan sedang dilaksanakan seperti diumumkan Premier Sarawak merangkumi infrastruktur dan pelbagai pembangunan amat memerlukan semua perlu diukur dan perlu tenaga manusia untuk mengukur.

Jelas beliau, lulusan produk kolaborasi ini nanti akan membekalkan modal insan terlatih di dalam disiplin ini bukan sahaja JTS, malah jabatan-jabatan lain serta sektor swasta.

Menurut beliau mereka ini berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma, malah ijazah pertama dan sarjana dengan adanya akreditasi kepada sijil yang mereka peroleh dari badan profesional, universiti, Jabatan Perkhidmatan Awam dan lain-lain

Kolaborasi strategik dan MoU yang telah dimeterai

Sementara itu, beberapa kolaborasi strategik dan persefahaman dicapai oleh JTS dengan institusi awam termasuk melalui Memorandum Perjanjian Perkhidmatan Mencetak dan Membekal Kertas Keselamatan bagi Surat Hak Milik Tanah dan Lesen Tanah, bersama Percetakan Nasional Malaysia Berhad.

Seterusnya, turut dimeterai ialah Memorandum Persefahaman bersama Universiti Teknologi Mara bagi mengadakan Kursus Pra-Perkhidmatan Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah; dan Memorandum Kerjasama Pelaksanaan Program Sijil Ukur Tanah di antara JTS, CENTEXS, Land Surveyors Board Sarawak dan The Association of Consulting Licensed Land Surveyors Sarawak (ACLS).

Memorandum Perjanjian Perkhidmatan Mencetak dan Membekal Kertas Keselamatan bagi Surat Hak Milik Tanah dan Lesen Tanah, bersama Percetakan Nasional Malaysia Berhad
Memorandum Persefahaman bersama Universiti Teknologi Mara bagi mengadakan Kursus Pra-Perkhidmatan Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah
Memorandum Kerjasama Pelaksanaan Program Sijil Ukur Tanah di antara JTS, Centexs, Land Surveyors Board Sarawak dan The Association of Consulting Licensed Land Surveyors Sarawak (ACLS)
Penyampaian Serahan Trofi Anugerah Pencapaian Khas dalam GIS (SAG) sempena Persidangan Pengguna ESRI 2022 kepada Premier Sarawak
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]