- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

Pustaka dan DBP Wujud Kerjasama Sediakan Kepakaran dan Tenaga Kerja

Must read

Kerjasama tersebut termasuklah dengan menyediakan kepakaran, tenaga kerja, maklumat dan sokongan yang diperlukan antara satu sama lain.

Pustaka dan DBP akan bekerjasama dalam menggalakkan bidang-bidang seperti berikut;

  • Pendidikan dan penyelidikan;
  • Pembangunan koleksi berkaitan Bahasa dan Sastera;
  • Penerbitan;
  • Promosi dan pemasaran produk yang diterbitkan; dan
  • Mana-mana bidang kerjasama lain yang akan dipersetujui bersama oleh pihak-pihak pada peringkat kemudian.
Ahli Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, YBhg. Prof. Dr. Shahren Ahmad Zaidi Adruce menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman diantara Pustaka Negeri Sarawak dan DBP Cawangan Sarawak

Memorandum Persefahaman ini akan berkuat kuasa pada tarikh termeterainya tandatangan daripada dua belah pihak dan akan berkuat kuasa untuk tempoh lima (5) tahun.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, YBrs. Tuan Haji Japri  Bujang Masli, Pustaka dan DBP telah pun bekerjasama dalam penganjuran aktiviti bersama sejak tahun 2015 sehingga sekarang.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, YBrs. Tuan Haji Japri Bujang Masli semasa sidang media menerangkan perspektif Pustaka

Sebanyak 14 aktiviti dan kerjasama telah dilaksanakan dari tahun 2015 sehingga 2022 di Pustaka Miri, Pustaka Sibu dan juga Pustaka Negeri Sarawak, Kuching.

Kini Pustaka Negeri Sarawak sedang bekerjasama dengan DBP untuk menerbitkan buku memoir hasil tulisan daripada para pegawai Pustaka sendiri dan projek buku ini dijangka siap pada penghujung bulan Disember 2022.

Aktiviti seterusnya yang akan diadakan ialah Bengkel Pemurnian Manuskrip pada 7 dan 8 November 2022 bersama-sama dengan pakar-pakar daripada DBP Cawangan Sarawak.

Manakala, program kerjasama Pustaka yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan termasuklah penerbitan buku-buku biblioterapi dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sarawak dan DBP Cawangan Sarawak.

Beliau berharap lebih banyak lagi hasil kerjasama akan dapat dilaksanakan demi manfaat kedua belah pihak, negeri Sarawak khasnya dan negara Malaysia amnya.

Dalam sidang media selepas upacara penandatanganan Memorandum, beliau mengusulkan untuk menghasilkan penulisan dan hasil-hasil kreatif yang lain.

Hasil-hasil kreatif yang dimaksudkan termasuklah dalam bentuk teater, bercerita dan sebagainya yang akan mengangkat kandungan tempatan dan kearifan tempatan bukan hanya dalam bidang budaya sahaja tetapi juga kearifan-kearifan yang lain seperti dalam bidang pertanian, ekonomi, sosial dan cerita-cerita rakyat.

Menurut berliau, ini adalah satu perkara yang penting kerana kita sudah sekian lama merujuk dan dirujuk kepada pakar-pakar luar apabila kita cuba berbuat sesuatu sama ada dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.

Maka tibalah masanya untuk kita mengangkat pengalaman dan pengetahuan orang-orang kita yang telah berpuluh-puluh tahun berkecimpung dalam bidang masing-masing dalam bentuk penerbitan dan bentuk-bentuk lain.

Dan dengan itu, beliau harap supaya mereka dapat memperkasakan lagi kemajuan dalam segala bidang bukan hanya dalam bidang bahasa sahaja, tetapi juga dalam bidang ekonomi dan sosial sekali.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran menyifatkan inisiatif pihak Pustaka dan DBP Cawangan Sarawak ini amat bertepatan dan sangat sesuai kerana kedua-dua organisasi ini merupakan “organisasi ilmu”.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran menyampaikan uacapan penghargaan

Cara kita hendak mendidik masyarakat adalah melalui aktiviti pembacaan dan kegiatan-kegiatan tertentu yang akan dilaksanakan nanti.

Beliau memuji pihak Pustaka kerana aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan amat bersesuaian dengan keperluan-keperluan semasa.

Beliau menzahirkan rasa bangga terhadap Pustaka yang merupakan antara perpustakaan yang moden, lengkap, cantik dan mempunyai perancangan yang sangat teliti dan teratur.

Beliau mencadangkan agar Pustaka membawa karya-karya Borneo ke Semenanjung sementara DBP akan mencari kaedah untuk mempromosikan karya-karya Borneo tersebut di Semenanjung.

Beliau yakin, Pustaka mempunyai banyak karya Borneo kerana Pustaka adalah satu-satunya tempat tersimpannya segala khazanah ilmu, khazanah persuratan dan khazanah budaya negeri Sarawak dengan baik.

Tambah beliau, khazanah-khazanah tersebut tidak patut disimpan sahaja sebaliknya harus diwar-warkan kepada masyarakat terutama sekali kepada rakan-rakan di Semenanjung.

Penyampaian cenderamata kepada Ahli Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, YBhg. Prof. Dr. Shahren Ahmad Zaidi Adruce
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article