- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 7:04pm

Peranan MIS Dalam Hal Ehwal Masyarakat Islam Sarawak

Must read

Majlis Islam Sarawak ditubuhkan pada 1 Mei 1955 di bawah Majlis Islam Incorporation Ordinance, 1954.

MAIS ditubuhkan sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab terhadap perkembangan dakwah, hal ehwal kebajikan dan kemajuan ekonomi masyarakat Islam di Sarawak berlandaskan undang-undang Islam

Dalam Bab 105, Ordinan Majlis Islam Sarawak menyatakan bahawa Majlis Islam Sarawak atau singkatannya MIS bertanggungjawab menggubal dasar dan mentadbir urusan hal ehwal Islam di Sarawak.

Seksyen 3 (1), Ordinan Majlis Islam Sarawak, 2001 memperuntukkan peranan MIS adalah untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam perkara-perkara berkaitan dengan hal ehwal Islam di Sarawak manakala Seksyen 5 ordinan sama pula menyatakan dengan jelas bahawa menjadi kewajipan MIS untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan ekonomi dan sosial dan kesejahteraan masyarakat Islam negeri ini selaras dengan Undang-undang Islam.

Menurut Yang Dipertua MIS, YBhg Datuk Haji Misnu bin Haji Taha yang ditemu bual RAKAN Sarawak, sebelum penubuhan MIS, telah wujud sebuah organisasi di Sarawak yang dinamakan Majlis Shuyukh Al-Islam suatu ketika dahulu.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MAIS), YBhg Datuk Haji Misnu bin Haji Taha

Majlis tersebut yang dipelopori oleh empat (4) orang tokoh, iaitu Mufti Abang Haji Nawawi, Imam Abang Haji Bahauddin, Abang Haji Julaihi dan Haji Mohammad Salleh Arif diwujudkan atas hasrat ingin melihat satu badan yang lebih utama kedudukannya dan berperanan lebih meluas berbanding dengan Mahkamah Datu-Datu (Datu’s Court) yang sudah pun wujud sejak pemerintahan Rajah Brooke.

Majlis yang ditubuhkan secara tidak rasmi itu berperanan dalam usaha dakwah dan kebajikan umat Islam serta bergerak sebagai pelengkap kepada Mahkamah Datu-Datu.

Penubuhan MIS merupakan episod awal kepada perkembangan Islam di Sarawak berasaskan undang-undang.

Hal ini dikatakan demikian kerana telah wujud satu organisasi (MIS) yang lebih terancang di bawah pemerintahan kerajaan British.

Penubuhan MIS yang berperanan menggantikan Mahkamah Datu-Datu adalah berasaskan cadangan asal yang dikemukakan oleh YB Datuk Bandar Abang Haji Musthapa bin Abang Haji Moasili.

Fungsi dan Peranan MIS

Hari ini, MAIS menjalankan fungsinya melalui penubuhan empat (4) lembaga di bawahnya, iaitu Lembaga Fatwa Negeri Sarawak, Lembaga Baitulmal dan Wakaf, Lembaga Masjid-masjid dan Lembaga Hal-Ehwal Islam dan Adat Melayu.

Lembaga Fatwa Negeri Sarawak berfungsi bagi membantu dan menasihati MIS atas semua perkara berhubung dengan Undang-undang Islam di Sarawak sementara Jabatan Mufti Negeri Sarawak menjadi penyelaras bagi memastikan lembaga ini menjalankan fungsinya.

Lembaga Baitulmal dan Wakaf ditubuhkan bagi menasihati MIS dalam semua hal berkaitan pengurusan Baitulmal dan Wakaf Negeri Sarawak dan Lembaga Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu berfungsi sebagai penasihat kepada MIS dalam perkara berkaitan dengan undang-undang dan adat Melayu.

Dalam memastikan penyampaian perkhidmatan disampaikan dengan efisien selaras dengan peranan MIS sebagai organisasi yang bertanggungjawab dalam urusan hal ehwal agama Islam di Sarawak, beberapa jabatan dan agensi juga ditubuhkan di bawah MIS seperti berikut:

  • Jabatan Agama Islam Negeri Sarawak

       Jabatan Agama Islam Negeri Sarawak (JAIS) ditubuhkan pada 17 Ogos 1990, berperanan sebagai sekretariat kepada MIS.

       Peranan utama JAIS boleh dilihat dalam hal berkaitan pengurusan dakwah, masjid, penguatkuasaan, nikah, cerai dan rujuk, halal, pendakwaan syariah, penyelidikan dan pengurusan projek.

  • Jabatan Mufti Negeri Sarawak

       Pejabat Mufti Negeri Sarawak ditubuhkan pada 1 Januari 1997 dan kini telah dinaik taraf kepada jabatan dan dinamakan sebagai Jabatan Mufti Negeri Sarawak pada 22 September 2014.

       Antara fungsi utama jabatan ini ialah menguruskan hal berkaitan fatwa dan falak. Bagi tujuan pemerkasaan ilmu falak, Jabatan Mufti Negeri Sarawak bercadang untuk membangunkan Kompleks Astronomi Borneo di Kuching selain menubuhkan Pusat Falak di Bahagian Bintulu dan Miri.

  • Tabung Baitulmal Sarawak

       Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) berfungsi sebagai perbendaharaan MIS yang berperanan utama dalam hal berkaitan zakat, sadaqah dan wakaf umat Islam di seluruh Sarawak.

  • Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak

       Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (BPP-MIS) yang ditubuhkan pada 2007 berperanan membantu MIS memperkasa umat Islam di Sarawak melalui pendidikan berasaskan komuniti.

       Pusat Pendidikan Komuniti yang berpusat di masjid-masjid merupakan program utama dan terbesar yang dijalankan oleh BPP-MIS.

       Biro ini menyasarkan semua masjid di Sarawak akan terlibat dalam program berkenaan yang memberi manfaat dalam melahirkan masyarakat berilmu dan berkemahiran selaras dengan aspirasi Sarawak maju menjelang tahun 2030.

  • Pusat Penerangan Islam

       Pusat Penerangan Islam (IIC) berperanan meningkatkan kefahaman masyarakat umum berkenaan keindahan agama Islam.

       Sejak ditubuhkan pada Ogos 2008, IIC telah merangka dan melaksanakan pelbagai program berkaitan dengan penerangan serta mempromosi keharmonian agama dalam usaha meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang Islam sebagai cara hidup dan keindahannya.

       Datuk Haji Misnu menambah, IIC berperanan sebagai ‘jambatan’ penghubung di antara masyarakat bukan Islam dengan masyarakat Islam.

Pencapaian Pelaksanaan Projek Fizikal

Ditanya mengenai pencapaian pelaksanaan projek pembangunan fizikal kendalian MIS, beliau memaklumkan terdapat dua (2) buah projek sedang dilaksanakan MIS pada ketika ini, iaitu Projek Bina Baharu SK Agama Kuching No. 2 dan Projek Bina Baharu SMK Agama (MIS) Bintulu.

Projek SK Agama Kuching No. 2 yang terletak di Jalan Sultan Tengah, Kuching adalah projek tunggal di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-e-11).

Walau bagaimanapun, projek berkenaan dilanjutkan ke RMKe-12 kerana memerlukan perancangan terperinci dan tempoh penyiapan yang agak panjang.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak adalah agensi pelaksana projek yang melibatkan skop pembinaan bangunan sekolah baharu berkapasiti 36 buah bilik darjah yang dilengkapi kemudahan seperti surau, kantin dan dewan serba guna.

Projek kedua di bawah kendalian MIS ialah Projek Pembinaan Baharu SMK Agama (MIS) Bintulu yang diluluskan di bawah RMKe-12.

Skop projek merangkumi pembinaan bangunan sekolah baharu berkapasiti 24 buah kelas yang juga dilengkapi dengan kemudahan surau, kantin dan dewan serba guna.

Projek tersebut dijangka bermula pada Disember 2022 selepas proses tender lantikan kontraktor dan perunding dimuktamadkan.

Penambahbaikan Perkhidmatan

Dari segi penambahbaikan perkhidmatan, MIS telah membangunkan Pelan Tindakan Majlis Islam Sarawak yang menggariskan perancangan 10 tahun secara bersepadu Agenda Pembangunan Ummah bermula tahun 2021 hingga 2030.

Pelan tersebut merupakan satu modus operandi yang terancang berdasarkan strategi, pendekatan serta tindakan yang perlu diambil oleh setiap pihak yang dipertanggungjawabkan.

Hala tuju yang digagaskan melalui Pelan Tindakan Majlis Islam Sarawak termasuklah membangunkan dan mendaya upayakan potensi ummah di Sarawak yang akhirnya melahirkan generasi ‘khairul ummah’ yang progresif dan dinamik.

Sehubungan dengan itu, agensi-agensi Islam harus sentiasa bekerjasama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan dan matlamat pembentukan khairul ummah dapat direalisasikan.

Selaras dengan hasrat dan hala tuju MIS untuk meningkatkan dan melestarikan kecemerlangan ummah, enam (6) bidang utama dijadikan fokus dalam pelan tindakan tersebut.

Bidang-bidang yang difokuskan ialah, Bidang Dakwah, Masjid, Pendidikan, Perundangan Islam, Ekonomi dan Sosiobudaya.

Pencapaian lain yang signifikan kepada MIS termasuklah pengambilalihan Ma’had Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub (MATTARY) pada Januari 2021.

MIS telah diberi kepercayaan oleh Kerajaan Sarawak untuk mengambil alih pengurusan dan pentadbiran MATTARY yang sebelum itu diletakkan di bawah pengurusan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) dalam usaha memartabatkan institusi tahfiz di Sarawak.

Hasilnya, Kurikulum Tahfiz Bersepadu Sarawak (KTBS) dibangunkan oleh MIS termasuklah Pelaksanaan Latihan Keguruan Islam bagi tenaga-tenaga pengajar MATTARY.

Cabaran yang Dihadapi MIS

Menyentuh mengenai cabaran yang dihadapi MIS dalam menjalankan fungsi dan peranannya, Datuk Haji Misnu memberikan contoh, JAIS sebagai salah satu jabatan di bawah MIS yang diamanahkan untuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan yang diperuntukkan oleh undang-undang menjalankan amanah dengan penuh cermat dan berhati-hati mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Namun begitu, menurut beliau, ada dalam kalangan masyarakat yang membuat tohmahan seolah-olah berlaku pelanggaran hak asasi manusia dalam aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan JAIS.

Menerangkan cabaran yang dihadapi sepanjang pandemik COVID-19, MIS melalui TBS menurut beliau telah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam membantu masyarakat yang dihimpit krisis ekonomi kesan daripada COVID-19.

Sejak peringkat awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), TBS telah mengambil langkah proaktif dalam mengagihkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Bantuan yang diagihkan tidak hanya terhad kepada golongan asnaf tradisi, malah juga melangkaui bangsa dan agama.

TBS secara proaktifnya telah mengagihkan Bantuan Khas COVID-19 berjumlah RM11.37 juta untuk tahun 2020 dan 2021.

Bagi memastikan peranan MIS diketahui masyarakat, promosi melalui platform media sosial seperti Facebook, Youtube, Instagram, Twitter dan sebagainya juga perlu dilakukan.

Jelas Datuk Haji Misnu, MIS sangat menghargai tugas kakitangan-kakitangan di semua jabatan dan agensi di bawahnya, akan tetapi, jika penyaluran maklumat tidak dilakukan dengan cekap dan berkesan, persepsi negatif terhadap kesemua jabatan dan agensi di bawah MIS sukar untuk dihapuskan.

Oleh yang demikian, MIS melalui jabatan dan agensi di bawahnya menjalankan promosi aktiviti secara proaktif di media sosial seperti mana yang dilakukan oleh pihak lain.

Walau apa pun cabaran, beliau menekankan bahawa seluruh warga MIS hendaklah menanganinya dengan bijaksana dan berhikmah demi kelangsungan umat Islam di Sarawak sambil memetik peribahasa yang berbunyi, “bagai menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak”.

Pejabat Majlis Islam Sarawak terletak di tingkat 16 dan 17 Kompleks Islam Sarawak, Jalan P. Ramlee, Kuching

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article