Kepentingan Ombudsman Dalam Pentadbiran

0
32

Persatuan Ombudsman Antarabangsa (IOA) menetapkan setiap hari Khamis kedua pada bulan Oktober diraikan sebagai Hari Ombuds Sedunia.

Hari Ombuds diraikan dengan matlamat untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang sejarah dan amalan profesion dalam pelbagai model ombuds, peranan yang dimainkan serta perkhidmatan yang ditawarkan.

Ombudsman dan integriti adalah asas kepada pentadbiran yang baik dan telus

Objektif lain sambutan termasuklah menggalakkan penggunaan lebih banyak program dan perkhidmatan ombuds dan menyerlahkan nilai yang dibawa oleh ombuds kepada sesebuah organisasi.

Sempena Hari Ombuds Sedunia 2022 yang bertemakan ‘Resilience, Respect, Resolve’, Sarawak dipilih sebagai lokasi pertama sambutan Hari Ombuds Kebangsaan yang telah disambut pada 13 Oktober lepas.

Sambutan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Dalam teks ucapan perasmian yang dibaca Datuk Amar Douglas Uggah, Premier Sarawak menekankan betapa pentingnya pengenalan portfolio Integriti dan Ombudsman di bawah Jabatan Premier Sarawak yang diperkenalkan pada Februari 2018.

Sambutan Hari Ombuds Kebangsaan di BCCK pada 13 Oktober 2022

Rombakan kabinet selepas Pilihanraya Negeri Ke-12 pada Disember 2021 turut menyaksikan portfolio Integriti dan Ombudsman yang diketuai seorang Timbalan Menteri dikekalkan dan terus menjadi keutamaan dalam pentadbiran Kerajaan Sarawak.

Premier Sarawak memberi jaminan, ombudsman negeri ini akan berdiri bebas tanpa campur tangan pihak lain.

Kerajaan Sarawak pada ketika ini juga menurut beliau begitu serius memerangi rasuah di samping menyemai dan mendidik masyarakat dengan nilai integriti serta memacu pertumbuhan sosioekonomi demi mencapai aspirasi Sarawak maju menjelang tahun 2030.

Susulan pengenalan portfolio Integriti dan Ombudsman dalam kabinet Sarawak, Unit Integriti dan Ombudsman, Jabatan Premier Sarawak atau singkatannya UNION telah ditubuhkan.

Objektif penubuhan UNION adalah bagi mewujudkan kesaksamaan, akauntabiliti dan ketelusan dalam sektor Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, menyelesaikan aduan ombudsman dengan cekap, adil dan berkesan, memperkukuh sistem kawalan dalaman organisasi yang lebih berkesan sebagai asas ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih baik selain merancang program berkaitan integriti.

Selari dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebuah negeri maju, UNION menetapkan visi sebagai peneraju menjadikan negeri ini berintegriti tinggi dan komited dalam misi membudayakan integriti dalam kalangan masyarakat, mempromosi kesaksamaan, akauntabiliti dan ketelusan dalam perkhidmatan awam dan memastikan pengurusan ombudsman yang cekap dan berkesan.

Dari segi definisi, ombudsman bermaksud pegawai atau badan rasmi ataupun separa rasmi yang bertanggungjawab menerima dan menyiasat aduan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan apa-apa perkara yang berkaitan dengan jentera kerajaan (Kamus Dewan Edisi Keempat).

Menurut IOA, di kebanyakan negara, terdapat ombudsman yang menangani aduan daripada orang ramai berkaitan keputusan, tindakan atau kesilapan pentadbiran awam.

Walaupun peranan ombudsman mungkin berbeza, namun pegawai ombudsman biasanya dipilih oleh parlimen atau dilantik oleh ketua negara ataupun kerajaan mahupun atas nasihat parlimen.

Peranan ombudsman adalah untuk melindungi rakyat daripada pencabulan hak, penyalahgunaan kuasa, kesilapan, kecuaian, ketidakadilan dan kesilapan pentadbiran selain untuk meningkatkan pentadbiran awam dan pada masa yang sama menjadikan tindakan kerajaan lebih terbuka dan lebih bertanggungjawab terhadap orang ramai.

Di sesetengah negara, ombudsman mempunyai peranan dan kuasa yang lebih besar seperti menyoal siasat kes rasuah sama ada terhadap pegawai kerajaan mahupun hakim mahkamah tinggi.

Secara dasarnya, fungsi dan peranan ombudsman berkait rapat dengan pembudayaan nilai integriti.

Dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, Unit Integriti yang diketuai seorang Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) ditubuhkan di setiap kementerian dan jabatan Kerajaan Negeri termasuk badan-badan berkanun negeri seperti diumumkan Premier Sarawak dalam Majlis Amanat Perdana Integriti (MAPI) pada Februari 2019.

Selain itu, seorang pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut ditempatkan di UNION untuk membantu dalam hal-hal berkaitan pembudayaan integriti dan pada masa yang sama meningkatkan akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus dalam pentadbiran.

Menurut Premier Sarawak, ombudsman berperanan membuat cadangan penambahbaikan terhadap proses dan prosedur atau perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pentadbiran awam.

Selain mengurus aduan, ombudsman di Sarawak turut berperanan memastikan pelaksanaan projek pembangunan dilaksanakan dengan betul dan mencapai matlamat sambil memberi perhatian terhadap projek yang tertangguh dan kritikal bagi memastikan komitmen kerajaan kepada rakyat dipenuhi.

Inisiatif pentadbiran Kerajaan Sarawak memperkenalkan portfolio Integriti dan Ombudsman sehinggalah wujudnya UNION adalah begitu signifikan dalam usaha menjadikan Sarawak maju menjelang 2030.

Hal ini dikatakan demikian kerana ombudsman dan integriti merupakan asas kepada tadbir urus yang baik yang melindungi sesebuah organisasi dan negara daripada tingkah laku yang melemahkan dan merencatkan rancangan pembangunan seperti amalan rasuah dan yang lebih penting, membantu sesebuah negara mencapai matlamat yang ditetapkan.

Banting rasmi sambutan Hari Ombuds Sedunia 2022
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]