- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

IIC Bereputasi dan Dinamik

Must read

Pusat Penerangan Islam Majlis Islam Sarawak (IIC) telah ditubuhkan pada 17 Ogos 2008 dengan tujuan utama menjadi pusat penerangan Islam yang bereputasi dan dinamik serta mempermudahkan pemahaman tentang Islam kepada masyarakat umum melalui pengurusan ilmu yang aktif dan berkesan.

Idea penubuhan IIC adalah bagi memupuk pemahaman yang lebih baik dan penghayatan antara satu sama lain tanpa mengira kepercayaan atau tradisi agama dan latar belakang budaya agama lain.

Objektif penubuhan IIC ialah mempromosikan pemahaman yang jelas tentang kesempurnaan, dasar dan nilai-nilai Islam sebagai cara hidup, mengumpul data, menjana serta berkongsi informasi tentang isu-isu kontemporari yang memberi impak kepada masyarakat umum dan masyarakat Islam, khususnya dan mempromosikan keharmonian agama serta memberi pemahaman yang lebih jelas tentang Islam.

IIC juga mempunyai matlamat untuk menjadi peneraju dalam memacu pemahaman dan penghayatan Islam sebagai rahmat untuk semua makhluk di muka bumi.

Dalam beberapa tahun awal penubuhannya, IIC berdepan cabaran dalam memenuhi peranan dan fungsi organisasi.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif IIC, Dr. Hajah Asmah binti Othman, ketika beliau ditemu bual oleh RAKAN Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif IIC, Dr. Hajah Asmah binti Othman

Menurut beliau, cabaran utama yang dihadapi IIC-MIS ketika itu ialah kesukaran melaksanakan penandaarasan kerana sukar untuk mencari agensi ataupun organisasi yang mempunyai fungsi dan peranan yang sama dengan IIC dalam menyampaikan informasi dan penerangan tentang Islam.

“Sebelum saya berkhidmat di sini, saya dimaklumkan bahawa dalam tempoh tujuh tahun setelah ditubuhkan, IIC berdepan kesukaran dalam mencari agensi yang boleh dijadikan tanda aras untuk IIC menjalankan fungsi dan peranannya.

“Sejak itu, IIC berusaha mengadakan lawatan penandaarasan di luar negara ataupun mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi luar untuk mendapatkan beberapa informasi bagi menjana pembangunan IIC pada masa itu,” jelas beliau.

Antara agensi yang telah dilawati ialah Majlis Ugama Islam Singapura, Darul Alqam Singapura, Kementerian Agama Jakarta, Indonesia, Kementerian Hal Ehwal Ugama Islam Brunei Darussalam, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan lain-lain.

Cabaran lain yang dihadapi pada awal penubuhan IIC menurut beliau termasuklah mendapatkan kepercayaan masyarakat dari pelbagai kaum dan agama dalam memenuhi peranan dan fungsi organisasi untuk menyediakan perkhidmatan dan menyampaikan informasi mengenai Islam, khususnya.

Bagi mengatasi kekangan tersebut, IIC telah melaksanakan beberapa program dan aktiviti yang memfokuskan pada pembinaan hubungan kerjasama untuk kumpulan sasar seperti belia, wanita dan badan bukan berkanun (NGO) Islam.

Program perkongsian ilmu anjuran IIC yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah
Program dialog antara agama yang dianjurkan IIC pada Mac 2020

Bentuk program dan aktiviti yang dijalankan adalah seperti dialog antara agama melalui program IIC Cares, Talk with Media dan My Islam Shares untuk saudara baharu.

Dr. Hajah Asmah menambah, IIC turut berdepan cabaran dalam memastikan maklumat yang disampaikan relevan dan seiring dengan peredaran zaman dan arus teknologi.

Susulan itu pada 2016, IIC telah menambah baik Pelan Strategik IIC bagi mencapai hala tuju visi dan misi organisasi.

Dalam menangani isu semasa dan persekitaran masyarakat, IIC mengajak penglibatan masyarakat pelbagai agama untuk sama-sama menanganinya dengan baik.

“Apabila kita menyantuni masyarakat berbilang agama, kita bercakap mengenai persekitaran dalam masyarakat dan isu-isu seperti kebajikan kanak-kanak, masalah penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

“Sebagai contoh, pandemik COVID-19 yang memberi kesan emosi sehingga ada yang membunuh diri, IIC telah mengadakan satu program yang dipanggil ‘You Are Not Alone’, iaitu kami mengajak semua dari pelbagai latar belakang dan agama untuk sama-sama berbincang dan mengatasinya.

“Walaupun berbeza dari segi agama, namun kita sebenarnya bercakap mengenai kebimbangan yang sama berpandukan pada pendekatan dan ajaran agama masing-masing,” ujar beliau.

IIC mengajak semua pihak tanpa mengira latar belakang agama untuk sama-sama menangani pelbagai isu yang dihadapi masyarakat termasuk dalam hal kebajikan kanak-kanak

Dari segi pencapaian projek dan program pembangunan, IIC telah melaksanakan usaha pembangunan sama ada dalam bentuk fizikal dan kandungan maklumat.

Usaha-usaha yang telah dilaksanakan dalam tempoh tahun-tahun tertentu adalah seperti berikut:

  1. 2015 – 2019
  2. Mengkaji semula Pelan Strategik IIC berikutan penambahan fungsi dan fokus baharu;
  3. Menjalankan penyelidikan rintis seterusnya menerbitkan monograf IIC – Islamic Knowledge and Interfaith Perceptions by Zayn Al-Abideen Gregory yang bertujuan untuk membuat analisis berkenaan program dan aktiviti IIC;
  4. Program Radio Pelbagai Bahasa merangkumi Bahasa Melayu, Mandarin, Inggeris, Iban, Bidayuh dengan objektif menjalinkan hubungan dengan Rangkaian Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak;
  5. Menjalinkan kerjasama dengan NGO, agensi kerajaan serta institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS) dalam menerbitkan bahan terbitan, pameran program dan aktiviti yang dijalankan oleh IIC.
  6. 2020
  7. IIC telah dilantik menjadi custodian data bagi Data Ummah di Sarawak. Pengumpulan data membantu agensi-agensi Islam di Sarawak membentuk program dan aktiviti pembangunan ummah di Sarawak.
  8. Pembangunan Rangka Kerja Data Analitik bagi tahun 2020-2025;
  9. Penggunaan media arus perdana dan media sosial dalam penyampaian informasi seperti dalam program Digital Dakwah, Musolla Series di Radio dan Facebook.
  10. 2021
  11. Cadangan membangunkan Galeri Ibnu Khaldun di tapak IIC yang bakal menjadi galeri yang ternama dan dinamik dengan mempamerkan dan mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan ilmu pengetahuan warisan Islam, cendekiawan dan pewaris Islam di Sarawak melalui kerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS);
  12. Kerjasama dengan TV Sarawak (TVS) menerusi penganjuran bengkel penulisan skrip untuk terbitan Kapsul Ramadan 2022;
  13. Pengubahsuaian kemudahan yang terdapat di IIC.

Dr. Hajah Asmah turut memaklumkan, untuk projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12, pihak beliau akan membangunkan kandungan dan pengisian untuk galeri interaktif Ibnu Khaldun yang akan dibina di dalam kawasan IIC.

Pembangunan kandungan galeri tersebut bertujuan untuk menjana, mengumpul, berkongsi dan memulihara maklumat dan pengetahuan tentang Islam dan umat Islam di Sarawak dan di seluruh dunia melalui pembelajaran interaktif dan digital.

“Galeri Ibnu Khaldun merupakan bangunan tambahan berkonsepkan seni bina Melayu yang juga akan menyimpan khazanah Islam, sejarah perkembangan Islam di Sarawak dan sebagainya.

“Yang menariknya, kita juga akan memasukkan elemen teknologi dan digital di dalam galeri tersebut,” tambah beliau.

Berdasarkan perancangan awal, galeri berkenaan juga akan dilengkapi dengan paparan visual antaranya adalah seperti perjalanan haji dan umrah, iaitu para pengunjung seolah-olah merasai pengalaman sebenar mengerjakan ibadah haji dan umrah.

Apabila siap kelak, pihak IIC berhasrat untuk menjadikan Galeri Ibnu Khaldun sebagai pusat tarikan pelancong.

Kos untuk membina bangunan galeri berkenaan akan dibiayai oleh Batulmal Sarawak. Walau bagaimanapun, Dr. Hajah Asmah tidak mendedahkan jumlah peruntukan keseluruhan memandangkan projek tersebut masih di peringkat awal perancangan.

Pengumpulan dan penyebaran maklumat kepada masyarakat umum adalah tugas hakiki IIC. Sehubungan itu, IIC telah melaksanakan penambahbaikan untuk memastikan maklumat dapat disalurkan dengan lebih berkesan.

Antaranya ialah dengan memanfaatkan kemudahan platform media sosial seperti Facebook dan Instagram, terutamanya penyebaran maklumat digital daripada agensi-agensi Islam.

Menurut Dr. Hajah Asmah, pihak beliau kini sedang melaksanakan Pembudayaan Data Analitik, iaitu satu usaha pembudayaan pengumpulan data bagi pembangunan Data Ummah di seluruh Sarawak selain menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Data Analitik, Jawatankuasa Penyelidikan dan Jawatankuasa Penerbitan yang bertujuan untuk membantu dan memberi nasihat strategik berkaitan pelaksanaan projek dan program IIC.

Usaha-usaha penambahbaikan yang lain termasuklah menubuhkan pasukan petugas yang akan membangunkan dan menjana kandungan berkaitan perkembangan Islam seperti warisan Islam, golongan ulama dan cendekiawan Islam di Sarawak untuk dimuatkan di Galeri Ibnu Khaldun.

Jelas beliau lagi, IIC turut menjalankan usaha pemuliharaan manuskrip dengan kerjasama Jabatan Muzium Sarawak.

Antara aktiviti yang telah dijalankan dalam usaha tersebut adalah seperti mengadakan Bengkel Pemuliharaan Manuskrip, Kataloging Manuskrip serta melantik pegawai khas untuk melakukan kerja-kerja pemuliharaan manuskrip di IIC.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article