- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 7:29pm

Bank Komersial Bagi Membantu PKS Bakal Ditubuhkan

Must read

Cadangan Kerajaan Sarawak menubuhkan bank komersial milik sendiri bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah satu lagi inisiatif untuk memperkasakan golongan usahawan di Sarawak dalam sektor PKS.

Semasa menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Gedong pada 30 April 2023, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg memberi bayangan bahawa penubuhan bank berkenaan akan direalisasikan dalam masa terdekat, sama ada dalam tahun ini ataupun tahun hadapan.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, cadangan tersebut masih di peringkat perbincangan dan perlu diteliti bersama-sama dengan majoriti pihak yang terlibat.

Penubuhan bank komersial bagi membantu memudahkan pembiayaan kewangan usahawan dijangka akan meningkatkan lagi penglibatan usahawan dalam sektor PKS

Idea penubuhan bank komersial berkenaan adalah berdasarkan pada jangkaan bahawa sektor ekonomi Sarawak yang terus meningkat dan penting untuk kerajaan mencari jalan dalam membantu sektor PKS untuk turut sama memajukan ekonomi.

Beliau juga tidak menafikan terdapat perusahaan yang dijalankan PKS mempunyai potensi untuk dimajukan, namun ada kalanya mereka tidak layak untuk mendapatkan pinjaman kewangan untuk mengembangkan perniagaan.

Sekiranya hasrat Premier Sarawak itu dapat direalisasikan, bank berkenaan akan memudahkan usahawan PKS mendapatkan pembiayaan kewangan, seterusnya meningkatkan penglibatan golongan tersebut dalam kemajuan ekonomi.

Secara amnya, sektor PKS merupakan tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi di Malaysia dengan hampir 98 peratus perniagaan di negara melibatkan golongan tersebut.

Menyedari hal ini, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membantu PKS tempatan.

Antaranya ialah memperkenalkan Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) dan bantuan geran Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) dan program Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV).

PKS adalah tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi
  • Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menyumbang 90% perusahaan dan 50% pekerjaan di seluruh dunia (Bank Dunia 2021)
  • Seramai 35,000 usahawan PKS Sarawak telah mendapat manfaat daripada pelbagai program seperti skim bantuan kewangan, kursus pembinaan kapasiti, ePerniagaan dan promosi produk
  • Lebih 400 program dengan 83,000 penyertaan PKS telah dikendalikan di Sarawak oleh agensi Kerajaan Sarawak dan Agensi Persekutuan

Rujukan:

https://www.utusan.com.my/nasional/2023/04/sarawak-bakal-tubuh-bank-komersial-bagi-bantu-pks/

https://www.sinarharian.com.my/article/256334/bisnes/sarawak-rancang-tubuh-bank-komersial-sendiri-bantu-pks

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article