- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 8:09pm

Projek Pembangunan Penuhi Aspirasi Masyarakat Luar Bandar

Must read

Sejak beberapa tahun lalu, Kerajaan Sarawak begitu komited melaksanakan projek-projek pembangunan berimpak tinggi menerusi RTP dan PTLB sebagai usaha mempercepatkan pembangunan infrastruktur secara terancang, tersusun dan seimbang di kawasan luar bandar.

Sebelum ini, RAKAN Sarawak pernah mengadakan tinjauan ke Bahagian Sri Aman untuk melihat sendiri projek-projek pembangunan yang dilaksanakan serta impaknya kepada masyarakat.

Semasa di Sri Aman, RAKAN Sarawak berkesempatan mengadakan lawatan ke Rh Johnson Intai anak Pol yang terletak di Seduku Panjai, Lingga, Sri Aman.

Rh Johnson Intai adalah antara rumah panjang yang terpilih di bawah PTLB kerana ia masih bersifat tradisi dan serba kekurangan namun, sangat berpotensi dari aspek pembangunan sosial, ekonomi, infrastruktur dan modal insan.

Gerbang masuk ke Rh Johnson Intai anak Pol

PTLB di Rh Johnson Intai telah bermula pada tahun 2019 dan ia masih diteruskan hingga sekarang dimana setakat tahun 2022 sebanyak 49 program telah diadakan melibatkan kos sebanyak RM1,598,332.48.

Pada 2019, sebanyak 13 program telah dilaksanakan melibatkan kos sebanyak RM501,130.00; 20 program dilaksanakan pada 2020 melibatkan kos sebanyak RM391,582.48; dan untuk 2021/2022, sebanyak 16 program melibatkan kos berjumlah RM702,620 telah dirancang untuk dilaksanakan. (Sumber maklumat adalah daripada Pejabat Daerah Sri Aman).

Matlamat sebenar setiap program yang dilaksanakan adalah untuk melahirkan masyarakat rumah panjang yang patriotik, berinisiatif, berilmu, berdikari serta meningkatkan kualiti dan taraf hidup masyarakat rumah panjang.

Sempena lawatan ke Rh Johnson, RAKAN Sarawak telah menemuramah beberapa orang penduduk rumah panjang untuk mendengar pandangan mereka tentang perubahan yang telah disaksikan di Seduku, khasnya di rumah panjang mereka.

Puan Winna anak Ajai, memberitahu kehidupan mereka satu ketika dulu amat sukar kerana pada masa itu mereka hanya bergantung kepada pengangkutan sungai.

Puan Winna anak Ajai

Menurutnya, perjalanan dari Sri Aman hingga ke Lingga mengambil masa lebih kurang tiga jam berbanding sekarang hanya 45 minit menggunakan pengangkutan darat.

Tambah beliau, banyak perubahan telah disaksikan sejak adanya jalan raya, seperti yang kita lihat di rumah panjang ini sudah ada bekalan air bersih, elektrik, talian telefon, internet dan sebagainya.

Walaupun sudah ada internet, penduduk di rumah panjang masih berharap agar kelajuan internet dapat dipertingkatkan kerana golongan yang bersekolah dan bekerja banyak bergantung kepada internet.

Beliau juga berharap agar kerajaan menyediakan banyak peluang kepada generasi-genarasi muda di rumah panjang ini menyertai pelbagai program yang dilaksanakan seperti yang diadakan di rumah-rumah panjang atau kampung-kampung yang lain.

Puan Gloria anak Johnson, turut menceritakan kepayahan hidup penduduk di Lingga sebelum adanya jalan raya dimana mereka hanya bergantung kepada pengangkutan sungai.

Puan Gloria anak Johnson

Kini, keadaan sudah banyak berubah dan banyak kemudahan-kemudahan infrastruktur telah dibina oleh kerajaan di sekitar rumah panjang mereka.

Menurut beliau, tahun 2002 adalah tahun terakhir mereka bergantung kepada pengangkutan sungai kerana kerajaan sudah membina jalan raya dari Sri Aman ke Lingga.

Sejak itu, mereka mula melihat kawasan mereka membangun sedikit demi sedikit terutama dari aspek sosio ekonomi dan taraf hidup penduduk.

Namun begitu, sejujurnya, puan Gloria berpendapat bahawa rumah panjang mereka masih banyak kekurangan berbanding dengan rumah panjang yang lain.

Encik George anak Awan, yang bekerja sebagai petani, berasa amat bersyukur apabila melihat banyak pembangunan dibawa ke kawasan Seduku terutama di rumah panjang mereka.

Puan Gloria anak Johnson

Bagi beliau, kemudahan internet sangat diperlukan oleh penduduk di rumah panjang ketika ini memandangkan pelajar-pelajar sekolah banyak bergantung kepada kemudahan internet.

Walaupun kerajaan sudah menyediakan perkhidmatan WiFi menggunakan VSAT (Very Small Aperture Terminal Aperture) di kawasan rumah panjang ini, ia belum dapat menyelesaikan masalah sepenuhnya kerana kadang-kadang internet langsung tidak dapat diakses.

Namun begitu, beliau amat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg kerana banyak mendengar rintihan penduduk luar bandar terutama di kawasan mereka.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article