- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

MPKS Laksana Inisiatif Pembangunan Berasaskan Kepada Projek Bandar Sejahtera

Must read

Dalam menempuh arus dan transformasi pembangunan pada masa ini, Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) amat memandang berat akan peranan serta fungsinya sebagai Majlis Perbandaran malah sentiasa berusaha sedaya upaya untuk memenuhi kehendak orang ramai.

Atas usaha dan kerjasama yang mantap daripada kakitangan-kakitangan Majlis, pada 2022, MPKS telah berjaya merangkul Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak 2022.

Menurut Pemangku Setiausaha MPKS, Encik Mirwan Bin Abdul Karim ketika ditemu bual oleh RAKAN Sarawak, penganugerahan itu amat signifikan kepada MPKS kerana polisi persekitaran adalah sejajar dengan visi dan misi MPKS.

Pemangku Setiausaha MPKS, Encik Mirwan Bin Abdul Karim

Selain itu, usaha, inisiatif, polisi dan aktiviti persekitaran MPKS dapat diperkukuhkan dengan pengiktirafan tersebut sejajar dengan hala tuju atau aspirasi Kerajaan Sarawak.

Pengiktirafan serta penganugerahan tersebut dapat dijadikan sebagai pelan tindakan bagi hala tuju polisi persekitaran MPKS ke arah persekitaran awam dan persekitaran sejahtera.

Mengulas lanjut tentang kejayaan tersebut, beliau memberitahu bahawa pelaksanaan dan penilaian Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak 2022 ini adalah mengikut proses “Plan, Do, Check and Action (PDCA)” tanpa mengabaikan MS ISO 9001:2015 Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG);

Tidak juga mengabaikan polisi dan inisiatif MPKS; dan paling penting, segala inisiatif serta projek yang dilaksanakan adalah berasaskan kepada projek Bandar Sejahtera (Low Carbon City) atau Sustainable Development Goals (SDG).

Gambar menunjukkan pekerja MPKS sedang menjalankan aktiviti pemangkasan pokok di sekitar Kota Samarahan

Dari segi aspek penerapan elemen pengurusan dan amalan baik alam sekitar pula, beliau memberitahu aktiviti atau projek yang dirancang perlulah disertakan laporan kajian impak alam sekitar (EIA) seperti yang disarankan oleh pihak Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB).

Dengan ini, perancangan pembangunan dapat dilakukan dengan lebih baik sebelum projek dimulakan dan selepas projek siap dibina untuk orang awam.

Manakala, dari segi pendekatan sosial, MPKS akan membuat survei atau dialog bersama penduduk, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pihak berkepentingan (stakeholders) kawasan sebelum memulakan sesuatu projek.

Langkah ini amat penting kerana melaluinya, pihak majlis dapat mengetahui keperluan yang diperlukan oleh pengguna atau penduduk sebelum projek dimulai.

Dari aspek tadbir urus pula, pihak MPKS akan mengadakan pembentangan dan perbincangan bersama ahli-ahli majlis sebelum apa-apa projek dimulakan.

Beliau memberitahu pada tahun 2022, sebanyak 67 projek bernilai RM47,101,074.30 di bawah peruntukan Kerajaan Negeri telah dilaksanakan manakala 70 projek bernilai RM4,078,661 di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan telah dilaksanakan.

Manakala pada tahun 2023, sebanyak 42 projek bernilai RM59,570,000 di bawah peruntukan Kerajaan Negeri akan dilaksanakan dan 81 projek bernilai RM5,668,000 di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan akan dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan bahawa MPKS tidak pernah terkecuali berdepan dengan cabaran dalam perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan misalnya halangan dalam kekurangan kakitangan kerja.

Kekurangan tenaga kerja ini biasanya berlaku apabila jumlah projek yang dilaksanakan terlalu banyak, maka salah satu cara MPKS mengatasi masalah tersebut adalah dari segi bekerja secara berkumpulan dalam menyelesaikan tugasan yang diberi dengan menerapkan pengurusan masa yang baik.

Dalam pelaksanaan projek pembangunan, banyak elemen yang perlu diselaraskan dan dipantau dengan baik misalnya elemen keselamatan di tapak projek.

Dalam memastikan keselamatan di tapak projek menjadi keutamaan, pihak MPKS turut melantik Inspector of Works (IOW) untuk memantau status projek, kualiti dan keselamatan di tapak projek sepanjang perjalanan projek.

Tambahan pula, MPKS akan mengadakan mesyuarat tapak projek (site meeting) sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk setiap projek bagi mengetahui isu atau masalah serta status projek tersebut.

Untuk elemen keselamatan projek di tapak binaan, pihak majlis menerapkan piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) sepanjang pembinaan.

Menyentuh tentang penambahbaikan yang telah dilakukan pula, beliau memaklumkan bahawa MPKS telah melaksanakan pendigitalan sepenuhnya terhadap pengurusan aduan melalui Talikhidmat.

Sumber aduan melalui panggilan telefon, surat, e-mel dan borang disalurkan ke bahagian atau seksyen berkenaan dalam tempoh 24 jam untuk tindakan selanjutnya.

MPKS turut menyediakan perkhidmatan pendigitalan untuk cukai pintu di mana bil cukai pintu die-mel kepada pemilik rumah kerana ia akan dapat menjimatkan masa dan selain mengurangkan penggunaan kertas sejajar dengan kemajuan teknologi masa kini.

Selain daripada itu, orang awam juga boleh melakukan pembayaran melalui aplikasi SNAP dan PAY bagi memudahkan mereka membuat pembayaran tanpa perlu ke kaunter MPKS.

Maklumat Ringkas Mengenai MPKS

MPKS yang terletak kira-kira 30-kilometer dari bandar Kuching telah diwartakan pada 27 Disember 1984 dan memainkan peranan penting dalam melaksanakan kuasa untuk mentadbir kawasan-kawasan di bawah jagaannya bermula 1 Januari 1985.

Kawasan-kawasan yang terletak di bawah kawalan MPKS termasuk Daerah Kecil Asajaya dan Daerah Kecil Sadong Jaya.

Pengerusi Majlis atau lebih dikenali sebagai Wali-Kota, mengetuai MPKS berdasarkan peruntukan di bawah Ordinan Kuasa-Kuasa Tempatan (The Local Authority Ordinance).

Daerah Samarahan mempunyai keluasan 593.9-kilometer persegi dimana rupa bentuk muka buminya adalah rata dan kebanyakannya terdiri dari tanah pamah atau gambut yang sesuai untuk menjalankan kegiatan pertanian.

IADA telah menjalankan beberapa projek tanaman komoditi seperti limau manis, kelapa, kelapa sawit nanas dan tanaman kontan yang popular iaitu padi sawah, tembikai, jagung manis dan sayur-sayuran.

Namun begitu terdapat juga kawasan perindustrian (Samarahan Industrial Zone) seluas 62.213 hektar yang terletak bersebelahan Kampung Tanjung Bundong.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article