- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 8:53pm

Lembaga Pembangunan Industri Rumbia Sarawak Memaju dan Membangunkan Industri Rumbia

Must read

– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak January – March 2020 –

“Balau” atau lebih dikenal sebagai rumbia merupakan sumber ekonomi utama masyarakat Melanau di Bahagian Mukah sejak dulu kala sehingga kini dan disebabkan itu juga, tidaklah mustahil apabila Mukah diiktiraf sebagai kawasan penanaman rumbia yang paling luas di Sarawak.

Jumlah keluasan kawasan tanaman rumbia di Sarawak ialah 51,518 hektar dan 45,392 hektar daripadanya di kawasan Mukah yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori pekebun kecil seluas 40,642 hektar dan kategori estet atau mini estet seluas 4,750 hektar.

Namun begitu, belum tentu semua rakyat di negeri ini percaya bahawa hasil rumbia merupakan eksport ketiga terbesar selepas kelapa sawit dan lada hitam di mana Sarawak adalah pengeksport tepung sagu terbesar di dunia ketika ini.

Kerana itulah, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dengan bersetuju untuk menubuhkan Lembaga Pembangunan Industri Rumbia Sarawak (LPIRS) bagi menumpukan perhatian kepada usaha memaju dan membangunkan industri rumbia di negeri ini.

Tidak hanya dengan itu, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg juga turut meluluskan dana khas berjumlah RM5 juta sebagai dana permulaan untuk pembangunan industri rumbia tersebut.

LPIRS memainkan peranan penting sebagai satu sebuah organisasi yang akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pembangunan industri rumbia di negeri ini bagi membantu melonjakkan taraf hidup pekebun kecil rumbia.

Keratan batang rumbia diikat dan diapungkan di sungai untuk dibawa ke kilang
Batang rumbia diparut menggunakan mesin yang disebut “mijin balau” untuk mendapatkan serat rumbia
Biji sagu dibakar di atas dapur yang diperbuat daripada tanah liat
Tepung sagu antara produk yang dihasilkan daripada rumbia

Untuk memastikan LPIRS dapat diurus dan ditadbir dengan berkesan, ia telah diletakkan di bawah pengurusan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (dahulunya dikenali sebagai Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah).

Ternyata, penubuhan LPIRS ini merupakan berita gembira buat pekebun kecil rumbia kerana rata-rata mereka bergantung dengan komoditi tersebut sebagai sumber ekonomi keluarga.

Sehubungan itu, satu kajian akan dijalankan bagi mengenal pasti kaedah yang lebih efisien dalam membantu pengeluaran dan penanaman rumbia.

Memandangkan industri rumbia berpotensi untuk dikomersialkan di pasaran luar negara, usaha sistematik dan profesional untuk mempelbagaikan penghasilan produk berasaskan rumbia perlu diperhebat lagi kerana ia mampu merangsang industri berkenaan.

Kerajaan turut memberi tumpuan terhadap pelaksanaan projek infrastruktur bagi membantu pekebun kecil rumbia mengusahakan dan memasarkan hasil tanaman mereka.

Pada tahun 2019, Jabatan Pertanian Sarawak telah membersihkan enam (6) batang sungai sepanjang 18.5 kilometer (km) di Bahagian Mukah dengan kos RM0.7 juta dan membina empat (4) kanal sepanjang 3.4 km di Bahagian Sibu, Sarikei dan Mukah dengan kos RM0.56 juta.

Bagi tahun 2020, Jabatan Pertanian Sarawak telah merancang untuk melaksanakan pelbagai projek infrastruktur seperti membina, menyelenggarakan dan menaiktarafkan jalan akses, jalan ladang, kanal, landasan kereta api mini dan pembersihan sungai dengan peruntukan sebanyak RM5 juta yang telah diberikan.

Jabatan Pertanian Sarawak turut menyediakan bantuan peningkatan produktiviti yang merangkumi pemberian alat-alat tuaian rumbia kepada pekebun-pekebun kecil rumbia yang aktif.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article