- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 7:10pm

Teknologi Digital Bukan Hanya Mendatangkan Faedah Dan Manfaat

Must read

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg tidak menafikan bahawa, kita sekarang sedang menghadapi jenayah yang agak ‘kompleks’ dan ‘canggih’ melalui penggunaan teknologi.

Kerana itu, beliau menyifatkan bahawa program ‘Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Sarawak’ yang diadakan ini sangat penting dalam kita berkongsi pengalaman selain memantapkan lagi kegunaan teknologi.

Tambah beliau, secara dasarnya terdapat kebaikan dan keburukan daripada penggunaan teknologi ini, maka itulah sebabnya, agenda Ekonomi Digital dilancarkan semasa beliau mengambil alih jawatan Ketua Menteri Sarawak pada 2017.

Premier Sarawak berucap pada Majlis Perasmian Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Sarawak di Auditorium Muzium Budaya Borneo (Foto: JAPEN Sarawak)

Mengulas kenyataan tersebut, beliau menyatakan bahawa risiko teknologi digital ini tidak ubah macam ‘pisau’ namun ia sebenarnya bergantung kepada diri kita sendiri sama ada kita menggunakannya untuk tujuan baik atau buruk.

Sebab itulah Kerajaan Sarawak melancarkan Ekonomi Digital dan pada masa yang sama, bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk mendidik rakyat tentang cara menggunakan teknologi dan memahami risiko yang terlibat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Sarawak di Auditorium Muzium Budaya Borneo pada 2 September 2023 (Sabtu).

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg melancarkan Program ‘Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Kebangsaan’ (Foto: JAPEN Sarawak)

Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 dianjurkan bersama CyberSecurity Malaysia, CelcomDigi dengan kerjasama Gabungan Bertindak Anti-Scam (GBAS) serta sokongan Kementerian Komunikasi dan Digital selama dua hari mulai 2 sehingga 3 September 2023.

Program itu bertujuan untuk berkongsi informasi mengenai landskap keselamatan siber semasa, jenis-jenis ancaman scam atau penipuan, modus operandi terkini serta perkongsian tip dan amalan terbaik bagi mengelak daripada menjadi mangsa jenayah itu.

Gambar sekitar Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Sarawak di Auditorium Muzium Budaya Borneo (Foto: JAPEN Sarawak)

Mengulas lanjut, Premier Sarawak berkata secara keseluruhan kerajaan sememangnya memerlukan teknologi kerana penggunaan kecerdasan buatan (AI) amat penting terutama dalam sektor penjagaan kesihatan dan sebagainya.

Justeru, beliau menekankan keperluan untuk mempunyai lebih ramai pakar dalam sektor keselamatan siber bagi mengelakkan lebih ramai mangsa jenayah siber.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, mengikut Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak telah merekodkan sebanyak 2,461 kes penipuan, pecah amanah, jenayah siber, pemalsuan dan sebagainya pada tahun 2022.

Dari jumlah kerugian, sebanyak RM63.7 juta, antara kes yang melibatkan mangsa paling ramai di Sarawak adalah kes penipuan dalam talian (453 kes dengan jumlah kerugian RM2.5 Juta); tipu tawaran kerja secara dalam talian (225 kes dengan kerugian RM2.9 juta); dan tipu menyamar kenalan (183 kes dengan kerugian RM4.2 juta).

Maka, kesedaran tentang risiko berkaitan dengan aktiviti dalam talian di kalangan pengguna perlu dilakukan secara berterusan dimana ia memerlukan semua pihak bertindak lebih pantas dan seiring dengan pembangunan pesat oleh produk teknologi dan sistem automasi yang lebih pintar.

Beliau memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak sedang berusaha dan membina budaya keselamatan di seluruh Sarawak dengan kesedaran siber tentang serangan siber, pemahaman risiko siber, dan tanggungjawab peribadi dalam menguruskan keadaan ini.

Dalam melaksanakan dasar ini, beliau dan jentera-jentera Kerajaan Sarawak telah merancangkan satu program, dan syukur pada hari ini mereka bersama dengan Kerajaan Pusat dapat merealisasikan program untuk mendidik masyarakat bagaimana menggunakan teknologi, mengenalpasti risikonya, dan dari sudut kesedaran kita mengenai penggunaan teknologi ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Dan Digital Malaysia, YB Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa evolusi teknologi digital yang berkembang pesat membawa banyak faedah dan manfaat kepada semua.

Menteri Komunikasi Dan Digital Malaysia, YB Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Perasmian Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Sarawak di Auditorium Muzium Budaya Borneo (Foto: JAPEN Sarawak)

Namun, penggunaan teknologi dan kebergantungan terhadap teknologi turut mendedahkan kita semua kepada pelbagai risiko ancaman dan serangan siber.

Seperti negara-negara lain di dunia, Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi ancaman dan serangan siber.

Walaupun pelbagai langkah diambil, ia masih tidak dapat menjamin 100 peratus keselamatan semasa menggunakan teknologi dan Internet.

Hal ini kerana penjenayah siber turut mengambil peluang atas kemajuan teknologi yang sama dengan meningkatkan keupayaan dan pengetahuan mereka bagi melakukan ancaman dan serangan siber.

Bukan hanya organisasi, malah pengguna individu termasuk golongan berpendidikan dan professional turut menjadi mangsa scam dan penipuan dalam talian.

Teknik dan modus operandi yang digunakan oleh ‘scammer’ juga semakin licik dan terancang sehingga beberapa agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) turut terkait menjadi mangsa kegiatan jenayah scam ini.

Berdasarkan laporan yang diterima oleh agensi penguatkuasaan serta hebahan berita oleh pihak media, kes scam dan penipuan dalam talian berlaku hampir setiap hari dan ini bermakna, ancaman tersebut masih berleluasa.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article