- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 9:04pm

Teras Pembangunan Luar Bandar 2023

Must read

Belanjawan Negeri 2023 yang berorientasikan pembangunan terus memfokus kepada kawasan luar bandar di mana sejumlah RM7.506 bilion yang dicadangkan di bawah Anggaran Perbelanjaan Pembangunan (2023), RM RM4.540 bilion (60%) akan digunakan untuk membangunkan luar bandar.

Peruntukan RM4.54 bilion itu bukan sahaja bukti komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus membangunkan luar bandar, malah ia juga sebagai menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) yang mengubah kesejahteraan sosioekonomi rakyat Sarawak.

Bajet 2023 bukan hanya pelan fiskal semata-mata, tetapi ia adalah asas untuk masa depan Sarawak dengan menggariskan 11 teras strategik dan pelbagai inisiatif dilaksanakan.

Infografik 11 Teras Strategik Belanjawan Sarawak 2023

Antara inisiatif pembangunan yang terus giat dilaksanakan adalah projek berpaksikan rakyat seperti Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan peruntukan RM420 juta, Projek Rakyat RM500 juta dan Projek Khas RM237 juta.

Program RTP adalah langkah yang paling efektif untuk membangunkan sesebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh yang singkat kerana rata-rata RTP memfokuskan projek berisiko rendah tetapi impak yang besar (at low risk but high impact).

Sarawak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang melaksanakan RTP dan telah berhasil memberi impak yang amat besar kepada rakyat khususnya masyarakat di luar bandar.

Tidak dapat dinafikan sejak program ini mula dilaksanakan sejak 2015, ianya telah banyak merubah landskap pembangunan infrastruktur di kampung-kampung terutama di kawasan luar bandar.

Selain itu, Kerajaan Sarawak telah menyediakan peruntukan yang besar sebanyak RM11.78 bilion sejak tahun 2018 untuk pembangunan infrastruktur utiliti dan telekomunikasi di Sarawak bagi mencapai hasrat negeri maju yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 selaras dengan PCDS 2030.

Merujuk maklumat daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 (bulan Mei 2023), liputan bekalan air seluruh Sarawak setakat suku pertama tahun 2023 adalah 84.1% di mana 67.8% bagi kawasan luar bandar dan 99% bagi kawasan bandar.

Liputan bekalan air seluruh Sarawak setakat suku pertama tahun 2023 adalah 84.1%

MUT komited untuk menggandakan usaha meneruskan pelaksanaan pembangunan infrastruktur bekalan air bagi mencapai sasaran liputan penuh menjelang tahun 2030 berdasarkan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.

Untuk jangka masa pendek di bawah Pelan Induk tersebut, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM4 bilion untuk melaksanakan Program Grid Bekalan Air Sarawak untuk Kawasan Tertekan yang melibatkan 298 projek bekalan air termasuk Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).

Sehingga Mei 2023, 229 buah projek (76.8%) daripada jumlah keseluruhan projek tersebut telah disiapkan manakala 52 projek dijangka siap pada tahun ini dan 12 buah projek dijangka siap pada tahun 2024.

Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) Kampung Penasu (Foto: https://exxor.com.my/project/sawas/)

Baki lima buah projek lagi kini dalam peringkat tender di mana pembinaan dijangka bermula pada tahun ini juga.

Program Grid Bekalan Air Sarawak untuk Kawasan Tertekan telah memberi impak yang ketara dalam menangani masalah bekalan air yang serius serta masalah tekanan air terutamanya di kawasan luar bandar Sarawak.

Program ini melibatkan skop utama antaranya, 15 buah loji rawatan air yang dinaik taraf, 42 buah stesen pam penggalak serta 58 buah tangki air aras tinggi yang baharu dan saluran paip sepanjang 1,969 km dibina.

Projek-projek yang telah siap di bawah program ini telah dapat menyelesaikan masalah tekanan dan bekalan air khususnya di kawasan luar bandar.

Antaranya di Bahagian Samarahan seperti Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau, Eco Garden di Sibu, Kuala Balingian, Balingian, Serupai, Ulu Bayan, Pekan Sebauh, Pekan Tatau, Beluru, sebahagian Marudi dan juga Pekan Lawas.

Selain itu, sebanyak 14 pakej SAWAS dalam Fasa 2 di dalam program ini telah siap, manakala, lapan (8) pakej lagi masih dalam pelaksanaan yang akan memberi manfaat kepada 1,548 isi rumah.

Bagi menangani ketidakcukupan kapasiti loji rawatan air sedia ada di kawasan yang mendesak, MUT melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak telah melaksanakan inisiatif Acute Water Treatment Plant (loji pakej modular yang boleh dipasang segera sekiranya diperlukan).

Inisiatif ini merupakan penyelesaian jangka masa pendek, sementara menunggu pembinaan loji rawatan air utama disiapkan seperti yang dirancangkan dalam Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.

Pelaksanaan projek Acute Water Treatment Plant ini adalah berdasarkan Performance Based Contract di mana pembayaran adalah bergantung kepada kuantiti penghasilan air terawat yang dibekalkan kepada agensi air.

Sehingga Mei 2023, terdapat 12 Acute Water Treatment Plant yang telah beroperasi iaitu di Sematan, Lundu, Padawan, Sampat, Pusa, Spaoh, Beladin, Maludam, Temadak, Kanowit, Pulau Bruit dan Long Lama.

Berkenaan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB),liputan elektrik luar bandar di seluruh Sarawak setakat ini adalah 97.9%.

Kerajaan Sarawak komited laksanakan projek SARES di kawasan luar bandar (foto: https://borneotoday.net/sares-power-project-changing-lives-in-rural-sarawak/)

Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM2.37 bilion untuk melaksanakan projek bekalan elektrik di luar bandar melibatkan 188 buah projek.

Setakat Mei 2023, 116 buah projek daripada jumlah keseluruhan projek tersebut telah disiapkan, manakala 69 buah projek sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, dan tiga buah projek lagi dalam peringkat tender, kesemua projek dijangka memberi manfaat kepada 29,500 isi rumah.

Dalam memperkasakan bekalan elektrik luar bandar, MUT melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) telah merangka secara komprehensif Pelan Induk Pembangunan Elektrik Luar Bandar 2030 (Rural Electricity Development Master Plan 2030).

Pelan ini memfokuskan kepada penambahbaikan dan penaiktarafan sistem bekalan elektrik luar bandar Sarawak selaras dengan inisiatif PCDS 2030.

Selaras dengan pelan induk tersebut, MUT telah mengemukakan projek-projek di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK-12) dengan nilai siling peruntukan RM118.3 juta yang meliputi perkara seperti berikut:

Pembangunan Bandar Baharu, Pekan Baharu dan Pusat Perkhidmatan di luar bandar turut diberi perhatian khusus bagi memastikan jurang ekonomi antara kawasan bandar dengan luar bandar dapat dirapatkan.

Pembangunan ini membolehkan rakyat menikmati hasil pembangunan secara saksama selaras dengan aspirasi PCDS 2030 iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

Oleh itu, Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 akan meneruskan projek-projek tersebut yang berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Setakat 30 April 2023, pembinaan Pusat Perkhidmatan Ulu Merapok (Blok 1) di Lawas, Pusat Perkhidmatan Lingga (Fasa 1) di Sri Aman dan pembinaan Medan Selera (Fasa 1) Pusat Perkhidmatan Matadeng di Mukah telah pun disiapkan.

Kerajaan Sarawak akan meneruskan kerja-kerja penyediaan infrastruktur dan pembinaan komponen lain seperti perumahan, pasar tamu, kedai mampu milik dan industri kotej dalam pembangunan bandar baharu dan pusat perkhidmatan ini mengikut skop yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memastikan pembangunan infrastruktur luar bandar sentiasa dipertingkatkan supaya tiada lagi jurang perbezaan dengan kawasan bandar.

Perkhidmatan jalur lebar satelit berkelajuan tinggi yang menyediakan akses Internet kepada masyarakat luar bandar
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article