- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 6:58pm

GKCDA Memastikan Pelaksanaan Projek Berjalan Lancar

Must read

Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching atau Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) adalah agensi yang telah ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak untuk menyelaras kesemua projek pembangunan yang telah diluluskan.

Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Pengerusi GKCDA, YB Datuk Roland Sagah Wee Inn ketika ditemu bual RAKAN Sarawak, sembilan (9) kawasan yang terlibat di bawah GKCDA ialah Tanjung Datu, Opar, Tasik Biru, Serembu, Mambong, Tarat, Tebedu, Bukit Semuja, Kedup dan Daerah Kecil Balai Ringin.

Pengerusi GKCDA, YB Datuk Roland Sagah Wee Inn ketika ditemu bual RAKAN Sarawak

Pada mulanya, GKCDA hanya meliputi kawasan Bidayuh sahaja, namun selepas diperhalusi, maka kawasan Tanjung Datu dan kawasan Balai Ringin telah dimasukkan ke dalam kawasan GKCDA ini.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa idea penubuhan GKCDA ini sebenarnya telah wujud sejak beberapa tahun yang lalu di mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bidayuh mengutarakan pendapat agar adanya satu badan khas ditubuhkan bagi menyelaras projek-projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan mereka.

Peta menunjukkan sembilan kawasan yang terlibat di bawah GKCDA

Perkara ini juga telah dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) d imana ADUN Bidayuh telah memohon cara khas untuk membangunkan kawasan mereka.

Kebetulan selepas itu, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah menubuhkan beberapa agensi untuk merancakkan lagi pembangunan di beberapa kawasan luar bandar.

Antaranya ialah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HAD) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

Selepas itu, Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) dan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) turut ditubuhkan untuk merancang serta mengkoordinat semua pembangunan yang dilaksanakan di kawasan tersebut.

Susulan itu, cadangan ADUN Bidayuh tersebut telah dibawa ke mesyuarat kabinet dan akhirnya pada 2022, Premier Sarawak telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah badan yang dikenali sebagai GKCDA bagi menyelaras pembangunan di kawasan luar bandar Kuching.

Cadangan penubuhan GKCDA ini telah diumumkan oleh Premier Sarawak semasa Majlis Rumah Terbuka Gawai yang diadakan di Dewan Suarah Bau pada 11 Jun 2022.

Premier Sarawak pada masa itu juga komited untuk mengkaji bagaimana GKCDA berfungsi dan akan berbincang dengan ketua-ketua Bidayuh untuk menghasilkan rangka kerja.

Beberapa bulan selepas pengumuman dibuat oleh Premier Sarawak di Dewan Suarah Bau, penubuhan GKCDA telah diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan pada 29 September 2022.

Ringkasan keseluruhan projek yang dicadangkan untuk dilaksana dalam fasa pertama

Datuk Roland Sagah menyifatkan penubuhan GKCDA ini sebagai satu strategi kerajaan Sarawak untuk mempercepatkan pembangunan di negeri ini terutamanya melibatkan kawasan bahagian Kuching dan Serian.

Dengan penubuhan GKCDA ini, ahli-ahli jawatankuasa telah membuat beberapa mesyuarat serta beberapa lab (mini lab) di peringkat kawasan ADUN.

Penganjuran ‘Mini Lab’ ini adalah untuk mengumpul idea dan pandangan dalam memastikan usaha yang lebih bersepadu demi pembangunan yang strategik di kawasan masing-masing.

Peserta mini lab ini melibatkan Jabatan atau Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri di Bahagian Kuching dan Serian, Ahli-ahli Majlis, Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua-ketua Kaum.

Fokus utama dalam ‘mini lab’ ini adalah terhadap pembangunan rakyat dengan para peserta diberi peluang untuk memberi cadangan projek atau program yang sesuai untuk dilaksanakan di kawasan mereka.

Selepas ‘mini lab’ diadakan, Pegawai Tadbir Khas akan memperhalusi cadangan-cadangan tersebut bersama ADUN untuk dibawa ke ‘main lab’.

Antara pembangunan yang giat dilaksanakan di Serian

Sehubungan itu, beberapa jawatankuasa turut dibentuk mengikut jenis projek yang akan dilaksanakan iaitu;

  1. Jawatankuasa Pembangunan infrastruktur
  2. Jawatankuasa Utiliti dan komunikasi
  3. Jawatankuasa berkaitan pertanian
  4. Jawatankuasa berkaitan dengan Pembangunan ekonomi yang tidak terlibat dengan pertanian
  5. Jawatankuasa Pembangunan sosial

Secara dasarnya, peranan GKCDA yang utama adalah untuk melihat apakah jenis pembangunan yang perlu dilaksanakan untuk meningkatkan sosio ekonomi di kawasan berkaitan berpandukan kepada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Ranchan adalah salah satu tempat menarik di Serian
Lundu antara kawasan yang berada di bawah GKCDA

Walaupun demikian, peranan GKCDA juga adalah untuk melihat bagaimanakah pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan di bawah peruntukan yang lain seperti peruntukan di peringkat Negeri ataupun Persekutuan.

Menurut beliau, kalau dikira mengikut pecahan, kebanyakan projek pembangunan yang dilaksanakan lebih kepada pembangunan infrastruktur seperti naiktaraf jalan dan pembinaan jalan baharu termasuk jalan-jalan ladang.

Pada fasa yang pertama, sebanyak 228 projek bernilai RM1, 428, 000, 000.00 telah dicadang untuk dilaksanakan di kawasan GKCDA iaitu;

PerkaraPembangunan InfrastrukturEkonomi Bukan Berkaitan PertanianUtiliti dan TelekomunikasiPembangunan PertanianPembangunan Sosial
Bilangan Projek11441282817
Kos Projek (RM)697,400,000.00357, 750,000.0098,500,000.00172,350,000.00102,000,000.00
Peratusan49%25%7%12%7%

Walau bagaimanapun, kesemua projek yang dinyatakan di atas masih lagi berada di peringkat awal (perancangan) dan perkara ini akan dibincangkan bersama dengan Pejabat Kewangan Negeri.

Mengikut perancangan, projek-projek ini sepatutnya mula dilaksanakan pada tahun hadapan (2024) susulan mesyuarat yang telah diadakan dengan semua agensi atau jabatan-jabatan yang terlibat.

Projek pembinaan jambatan Rambungan di kawasan Lundu
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article