- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 8:51pm

Modul Integriti Penguat Kuasa Sarawak

Must read

Kerajaan Sarawak melalui Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak (UNIONS) menjalinkan kerjasama dengan Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi menghasilkan Modul Integriti Penguat Kuasa Sarawak (MIPS).

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk mewujudkan kerjasama dalam usaha advokasi, kesedaran, latihan dan penyelidikan dalam penerapan dan pembudayaan nilai integriti, governans dan antirasuah di antara kedua-dua pihak telah diadakan pada 7 September 2023, seterusnya membawa kepada penghasilan modul tersebut.

Bersempena dengan Majlis Amanat Integriti 2023 (MAP-i 2023) dan Perasmian Persidangan Integriti Kebangsaan (PINK) yang berlangsung pada 14 September 2023, MIPS bersama-sama dengan Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) telah dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Menurut Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki, penghasilan modul tersebut menekankan kesedaran, penerapan nilai integriti dan tadbir urus dalam kalangan penjawat awam yang menjalankan fungsi penguatkuasaan di Sarawak.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki

MIPS dihasilkan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 bagi mencapai status Sarawak maju menjelang 2030.

Pihak IIM menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa inisiatif pembangunan modul tersebut berupaya mendokong aspirasi ‘Pertiwiku Berintegriti’ dalam memperluas perkongsian mengenai integriti ke peringkat akar umbi.

Langkah tersebut secara langsung dapat membawa kepada penyampaian perkhidmatan yang berkesan, seterusnya mewujdukan nilai pembangunan yang mampan kepada rakyat Sarawak.

Modul Integriti Penguat Kuasa Sarawak (MIPS) menekankan kesedaran, penerapan nilai integriti dan tadbir urus dalam kalangan penjawat awan yang menjalankan fungsi penguatkuasaan di Sarawak

Ke arah itu, MIPS telah dilaksanakan bermula pada 12 Jun lepas sebagai komitmen IIM bersama dengan UNIONS dalam meningkatkan kefahaman dan penghayatan pegawai penguat kuasa Sarawak mengenai integriti dan etika dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.

Sejak dilaksanakan, seramai 59 anggota penguat kuasa dari pelbagai agensi dalam perkhidmatan awam Sarawak telah mendapat manfaat melalui penerapan tiga (3) submodul utama yang mengambil kira konsep dan falsafah integriti, integriti sebagai seorang penguat kuasa dan pembudayaan integriti dalam organisasi.

Tiga (3) submodul berkenaan ialah Pengenalan Etika dan Integriti, ‘Do The Right Thing vs Do Things Right’ dan Pembudayaan Integriti Dalam Organisasi.

Submodul utama MIPS mengambil kira konsep dan falsafah integriti termasuk integriti sebagai penguat kuasa dan pembudayaan integriti dalam organisasi
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article