- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

RDD Pusat Penyimpanan Khazanah Flora Dan Fauna

Must read

RDD memainkan peranan yang sangat penting dalam menyediakan maklumat yang diperlukan bagi merumuskan dasar pengurusan yang kukuh mengenai penggunaan sumber hutan melalui penyelidikan intensif dan terapan dalam bidang botani, ekologi, entomologi, patologi, silvikultur, dan tanah.

Pelbagai program penyelidikan diletakkan di bawah RDD seperti botani, ekologi, mikologi, entomologi, pemuliharaan, bioteknologi, kimia tanah dan alam sekitar.

Menurut Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Penyelidikan dan Inovasi (RDID) JHS, Puan Runi anak Sylvester Pungga ketika ditemu bual RAKAN Sarawak, RDD telah mencapai pelbagai kejayaan sejak kewujudannya.

RDD telah mengumpulkan 550,000 spesimen terdiri daripada semut, rama-rama, kupu-kupu dan pelbagai serangga

Antara kejayaan yang telah dicapai ialah, RDD telah berjaya mengumpulkan 300,000 spesimen yang terdiri daripada spesimen voucer (voucher specimens); Karpologi (carpological); koleksi spirit (spirit collection); TYPE; dan spesimen etnobotani (ethnobotanical specimens).

RDD JHS menyimpan pelbagai koleksi pada zaman Brooke mengikut kategori iaitu Kategori Family (267); Kategori Genus (1,719); dan Kategori Species (11, 043).

Antara koleksi serangga yang disimpan di bilik koleksi entomologi

Disebabkan inilah RDD JHS telah menjadi tumpuan kepada Pegawai-Pegawai Penyelidik lain datang ke sini untuk melihat sendiri spesimen-spesimen serta mendapatkan apa saja maklumat yang ada.

Di pusat penyelidikan ini, terdapat bilik data ekologi yang menyimpan maklumat mengenai plot penyelidikan kekal, plot hasil dan plot pemulihan dari seluruh Sarawak.

Data dikumpulkan dari 38 lokasi meliputi pelbagai jenis hutan yang terletak di kawasan perlindungan sepenuhnya dan hutan simpan kekal.

RDD juga telah berjaya mengumpulkan sebanyak 550,000 spesimen yang terdiri daripada semut, rama-rama, kupu-kupu dan pelbagai jenis serangga sehingga menjadi daya tarikan terutama di kalangan para pelajar.

Pegawai Penyelidik, Puan Noorhana binti Mohd. Sapawi semasa tinjauan ke bilik rujukan mikologi

RDD mempunyai bilik koleksi insektorium yang menyimpan koleksi-koleksi serangga untuk memastikan serangga-serangga tersebut kekal dari segi bentuk dan sebagainya.

Selain itu, RDD juga telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 6,000 spesimen fungarium (kulat) di seluruh Sarawak dalam bentuk badan berbuah kering dan basah dengan spesimen tertua berusia lebih daripada 100 tahun.

Koleksi fungarium ini sangat penting kerana ia dijadikan sebagai sumber maklumat dan rujukan mengenai kulat di Sarawak serta pengenalpastian spesies kulat.

Menurut beliau, kes keracunan kulat pernah berlaku di Sarawak sehingga pegawai kesihatan telah merujuk kepada pakar yang ada di RDD untuk mengesahkan sama ada kulat tersebut memang beracun ataupun keracunan disebabkan perkara lain.

Pembantu penyelidik sedang mengakses pangkalan data (database) untuk mencari maklumat mengenai fungarium

RDD turut menyimpan sebanyak 15,265 koleksi kayu yang disebut sebagai Xylariumn (Wood Anatomy).

Tujuan koleksi kayu ini adalah untuk identifikasi kerana ada di kalangan kontraktor yang hendak membuat jambatan, rumah, bangunan dan sebagainya perlu mengesahkan jenis kayu yang digunakan untuk memastikan ia adalah betul-betul kayu berlian ataupun bukan.

Jadi, apabila mereka hendak membuat pengesahan, mereka akan datang ke RDD dan berjumpa dengan Pegawai Penyelidik yang dikhaskan untuk membuat pengesahan jenis kayu tersebut.

RDD juga mempunyai makmal Bioteknologi untuk membuat tisu kultur terhadap tumbuh-tumbuhan yang terancam serta makmal untuk kajian tanah dan juga kimia.

Pada masa ini, RDD JHS sedang membangunkan makmal genetik selain sedang berkolaborasi dengan beberapa pihak dari luar.

RDD telah mengumpulkan sebanyak 15,265 koleksi Xylariumn (Wood Anatomy)

Selain orkid dan tumbuh-tumbuhan yang terancam, RDD juga mempunyai koleksi germplasm iaitu bahan genetik dari tumbuhan atau haiwan yang digunakan untuk pembiakan, penyelidikan, atau pemuliharaan spesies.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa RDD kini dalam proses membina bangunan orkid.

Menurut beliau, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah memberi peruntukan sebanyak RM5,000 000 untuk membina bangunan tersebut.

Apabila projek ini terlaksana, ia akan memberi kemudahan untuk orang luar datang membuat kajian dengan lebih mendalam mengenai orkid yang ada di Sarawak, secara langsung ia akan dapat menyumbang kepada industri Hortikultur (Horticulture).

RDD turut membangunkan pangkalan data (database) secara digital untuk menyimpan maklumat-maklumat yang ada.

Melalui kerjasama dengan Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS), RDD telah membangunkan sistem khas untuk memasukkan serta mengemaskini semua data yang ada.

Inisiatif ini telah dimulakan dengan koleksi fungarium, dan apabila sudah stabil, ia akan dikongsikan dengan agensi-agensi yang lain.

Untuk tumbuh-tumbuhan atau botani, RDD telah membangunkan sistem yang dikenali sebagai BRAHMS (Botanical Research and Herbarium Management System).

RDD juga telah membangunkan pangkalan data baharu yang dicipta khas untuk kegunaan di Sarawak, dikenali sebagai FORISS (Forest Research Information System of Sarawak).

Antara kejayaan lain, RDD telah berjaya menghasilkan sebanyak 15 penerbitan penyelidikan yang diterbitkan dalam Jurnal, Buku dan Prosiding (Kertas lisan dan pembentangan Poster) pada tahun 2023.

Berikut merupakan aktiviti penyelidikan yang dilaksanakan oleh RDD sepanjang 2023;

  1. Pembangunan Sistem dan Pelaksanaan Sistem Aplikasi dan Penukaran Data (Subkomponen Pengurusan Flora dan Fauna Projek TEAMS) – Sistem Maklumat Penyelidikan Perhutanan Sarawak (FORISS)
  2. Memanfaatkan kebolehcapaian dan nilai koleksi rujukan di Jabatan Hutan Sarawak melalui pendigitalan spesimen Herbarium dan Fungarium terpilih
  3. Projek kerjasama dengan institusi penyelidikan kebangsaan dan antarabangsa
  4. Penyelidikan dan penilaian biodiversiti dalam PFE dan FMU
  5. Penilaian Ramin di Hutan Pertukaran Gambut
  6. Pengesahan kewujudan dan status Plot Penyelidikan (RP) dan Plot Hasil (YP) di Sarawak
  7. Kepelbagaian makrokulat di landskap tanah gambut semenanjung Maludam
  8. Penubuhan Rangkaian Plot Sampel Kekal di Sarawak
  9. Projek Penyelidikan Sambungan Bolted Kayu Keras Sarawak
  10. Kecerdasan Buatan (AI) Dan Pengenalpastian Kayu Forensik untuk Perlindungan Hutan dan Penjanaan Hasil
  11. Penambahbaikan Pokok Eucalyptus dan Penubuhan Taman Lindung Nilai
  12. Taman Lindung Nilai Buluh
  13. Padanan spesies tanah untuk Paulownia sp
  14. Mengukur Stok Karbon Hutan di Sarawak
  15. Penilaian saiz zon penampan berkesan untuk pemuliharaan dan pengurangan kesan pembalakan ke atas PFE
  16. Permohonan Bayaran Perkhidmatan Teknikal (Latihan, Analisis Makmal dan Maklumat)
  17. Global Prominence & Visibility in Forest Research
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article