- Advertisement -spot_img
4,794
published news
and counting

Teknologi AI Diperkenal Dalam Program Pendigitalan Usahawan Desa

Must read

Teknologi kecerdasan buatan (AI) membantu mengautomasikan tugas rutin yang menjimatkan masa, memaksimumkan produktiviti serta mampu mengurangkan risiko kesilapan manusia.

Sebagai contoh, teknologi AI berupaya membantu dalam perakaunan dan kewangan, perkhidmatan pelanggan, keselamatan siber, jualan, pemasaran, logistik dan pelbagai lagi aspek penting dalam perniagaan.

Dalam urusan pemasaran misalnya, AI dapat memperbaik proses pembahagian dan personalisasi pelanggan, membuat analisis pemasaran ramalan dan meningkatkan proses analisis terhadap para pesaing dan penyelidikan pasaran.

Menyedari hal ini, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan penggunaan AI dan Consumer Intelligence (CI) dalam pelaksanaan Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU).

Kedua-dua teknologi tersebut berupaya menganalisis keperluan setiap usahawan desa yang menyertai PPU bagi mengenal pasti dan mencadangkan solusi digital yang bersesuaian yang diperlukan dalam mendigitalkan pengurusan dan pengoperasian perniagaan yang diusahakan.

PPU yang merupakan inisiatif tambahan di bawah program Desamall oleh KKDW bertujuan untuk merapatkan jurang digital dengan membantu usahawan desa meningkatkan produktiviti dan kecekapan sebagai persediaan kepada mereka menjalankan perniagaan secara dalam talian selari dengan perkembangan teknologi terkini dan situasi ekonomi semasa.

Program Desamall telah dirangka oleh KKDW dengan matlamat untuk memperluas rangkaian perniagaan di samping meningkatkan hasil jualan produk-produk usahawan desa dengan sasaran hasil peningkatan pendapatan antara 10% hingga 30% selepas tempoh setahun produk dipasarkan dalam talian.

PPU ialah inisiatif tambahan dalam program Desamall di Bawah KKDW yang bertujuan untuk merapatkan jurang digital dengan membantu usahawan desa memasarkan produk dalam talian – Foto DesamallOnline_Official

Dalam memacu daya saing untuk pertumbuhan mampan, KKDW akan mengambil langkah untuk mempertingkat penerimagunaan teknologi dan pendigitalan, meningkatkan pemerolehan bakat, memperkukuh rantaian nilai dan menambah baik mekanisme tadbir urus.

Bagi memastikan PPU relevan dan selari dengan trend perniagaan digital semasa, KKDW telah menjalin kerjasama strategik dengan rakan-rakan strategik terpilih yang berpengalaman dan terlibat secara langsung dalam perniagaan digital.

Usahawan yang terlibat diberi pendedahan secara langsung dan praktikal dalam 12 modul yang telah ditetapkan seperti Pendigitalan Kewangan, Point-of-Sale (POS)/Gudang Digital, eWallet/Payment Gateway, Perkhidmatan Internet, Aplikasi Perkhidmatan On Demand, Platform E-Dagang dan WhatsApp Business, Peruncitan Digital, Route to Halal, Tanda Dagangan, Penghasilan Kandungan dan Pemasaran Afiliasi, SMEs: Step Up Digital serta AI dan CI.

Sejak diperkenalkan pada 2021, PPU telah melatih seramai 3,249 usahawan desa manakala 6,000 produk usahawan desa pula telah dimasukkan ke dalam rekod sistem dagang Desamall

Sejak diperkenalkan pada 2021, PPU telah melatih seramai 3,249 usahawan desa manakala 6,000 produk usahawan desa pula telah dimasukkan ke dalam rekod sistem dagang Desamall.

Inisiatif memperkenalkan penggunaan AI dan CI dalam pelaksanaan PPU adalah sebagai respons KKDW terhadap pengumuman Microsoft untuk melabur sebanyak RM10.5 bilion dalam aspek infrastruktur pengkomputeran awan dan AI di Malaysia yang dijangka akan menjadi pengubah keadaan (game changer) kepada ekonomi negara, khusus dalam memperkasa usahawan luar bandar melalui penciptaan peluang kemahiran tambahan dalam bidang AI untuk 200,000 rakyat Malaysia serta penubuhan Pusat Kecemerlangan AI Nasional.

Melihat pelaburan oleh Microsoft sebagai satu transformasi digital untuk usahawan luar bandar, KKDW menyarankan usahawan-usahawan desa untuk mengambil peluang, khususnya dari segi manfaat daripada akses yang lebih baik kepada teknologi, latihan kemahiran yang berkaitan dan sumber daya yang diperlukan untuk terus relevan dalam ekonomi digital yang semakin berkembang.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YB Datuk Rubiah binti Wang ketika merasmikan PPU Siri 4 di Kuching pada Ogos lepas menggalakkan usahawan desa mengambil peluang inisiatif Program Pemecutan Digital Alibaba Cloud di Malaysia yang dapat membantu membangunkan model AI lebih kecil dan sesuai dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Antara inisiatif utama yang ditekankan dalam program tersebut ialah latihan dan pembiayaan untuk syarikat pemula pendigitalan, jalinan kerjasama dengan universiti dan model studio untuk pembangunan AI generatif.

Seiring dengan perkembangan transformasi digital dan hasrat kerajaan untuk bergerak ke arah ekonomi digital, pihak KKDW menekankan betapa pentingnya usahawan desa menjadi celik digital dan dilengkapi dengan kemahiran dalam penggunaan teknologi terkini dalam menjalankan perniagaan secara lebih cekap dan produktif, mampu berdaya saing, berdaya tahan dan lebih bersedia dalam menghadapi teknologi baharu.

Oleh yang demikian, KKDW menyeru usahawan-usahawan desa untuk melengkapkan diri dengan teknologi terkini yang berkaitan dengan keusahawanan supaya mereka tidak ketinggalan dan mampu bersaing seterusnya mampu bertahan lama dalam perniagaan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article